mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kaitan likur dan lailatulqadar

JARANG-JARANG sekali kita mendengar perkataan likur kecuali dalam bulan Ramadan, oleh sebab adanya malam tujuh likur. Waktu itu masyarakat Melayu memasang pelita di keliling rumah buat tiga malam terakhir Ramadan. Biasanya pemasangan pelita diteruskan juga beberapa malam selepas Hari Raya Aidilfitri.


Nombor Melayu, yang dikenali sebagai likur mempunyai perkaitan rapat dengan lailatulqadar.

Mengikut kalendar Islam (yang berpandukan kepada peredaran bulan), sesuatu hari itu bermula apabila masuk maghrib, iaitu waktu terbenam matahari sehingga hilang cahaya merah di ufuk barat dan berakhir pada waktu maghrib berikutnya.

Sedangkan mengikut kalendar masihi (Barat - yang berpandukan kepada peredaran matahari), sesuatu hari itu bermula pada tengah malam; tarikh masihi berubah pada tengah malam. Perbandingan ini dipaparkan dalam jadual 1.

Contohnya, baru-baru ini upacara melihat anak bulan untuk menentukan permulaan puasa pada tahun ini, telah diadakan pada hari Jumaat (Barat), 27 Jun 2014, bersamaan 29 Syaaban 1435 (sebenarnya pada waktu maghrib hari tersebut telah bermulalah hari Sabtu (Islam), dengan tarikh 30 Syaaban 1435, oleh sebab anak bulan Ramadan tidak kelihatan).

Oleh yang demikian tarikh untuk permulaan puasa, iaitu 1 Ramadan 1435 jatuh pada waktu maghrib hari Sabtu (barat), 28 Jun 2014 (sebenarnya sudah masuk hari Ahad mengikut kalendar Islam).

Berpandukan kepada peredaran bulan, anak bulan itu berbentuk bulan sabit (nipis) yang semakin hari menjadi semakin besar sehingga menjadi semi bulatan (separuh bulatan) pada hari ketujuh (setelah seminggu atau sepekan). Ini seterusnya menjadi besar sehingga menjadi bulatan, iaitu bulan penuh atau bulan purnama pada hari yang ke-14 atau yang ke-15.

Bulan ini akan kelihatan kecil semula sehingga membentuk bulan sabit, iaitu sudah cukup sebulan dan akan bermulanya bulan yang baharu pula. Tempoh masa dari waktu bulan purnama sehingga bulan purnama yang berikutnya itu dikenali sebagai satu purnama, iaitu tempoh masa selama satu bulan.

Likur

Likur adalah nombor Melayu yang bermaksud 20-an, iaitu dari 21 hingga 29 (bilangan antara 20 dengan 30): selikur (21), dua likur (22), tiga likur (23), empat likur (24), lima likur (25), enam likur (26), tujuh likur (27), dualapan/dulapan/delapan/lapan likur (28) dan sembilan likur (29).

Dualapan = dua + alap + an (dua diambil daripada sepuluh)

Kita tidak pernah diajar mengenai nombor ini, apa lagi untuk menggunakannya. Yang kita tahu hanyalah malam tujuh likur untuk malam 27 Ramadan.

Berikut beberapa contoh kata penutup daripada Warisan Warkah Melayu (Annabel 1994) yang menggunakan perkataan likur itu.

* Diperbuat surat pada selikur haribulan Zulkaedah hari Arba. (Surat 16: Surat Gurnadur [F. Light] kepada Datuk Laksamana Kedah, 12 Ogos 1798)

* Diperbuat surat pada dua likur hari bulan Zulkaedah pada sanat 1225 tahun jim. (Surat 37: Salinan surat T.S. Raffles kepada Sultan Johor, 22 Zulkaedah 1225 (19 Disember 1810)

* Nyatakan perbuat surat pada dualapan likur hari bulan Zulhijjah hari Sabtu tamat 1239. (Surat 82: Surat Sultan Kedah kepada W.E. Phillips, 28 Zulhijjah 1239 (24 Ogos 1824)

Marilah kita cuba membiasakan diri menggunakan istilah-istilah likur ini. Misalnya, untuk membeli 24 biji (atau dua dozen) telur, gunakan; "Beri saya empat likur telur." Contoh lain, "Beri saya lima likur durian."

Ada pendapat (dari tanah Jawa) yang mengatakan bahawa penulisan perkataan likur boleh disingkatkan dengan menggunakan dua huruf Jawi/Arab, lam dan qaf yang juga (secara kebetulan?) merupakan singkatan bagi perkataan lailatulqadar (malam al-Qadr atau malam kemuliaan).

Kita memang sudah sedia maklum bahawa lailatulqadar jatuh pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan, iaitu satu malam daripada malam 21 Ramadan hingga malam 30 Ramadan. Ada yang mengatakan lailatulqadar adalah satu daripada malam-malam yang ganjil sahaja, iaitu malam ke-21, malam ke-23, malam ke-25, malam ke-27 atau malam ke-29.

Malah kepercayaan masyarakat Melayu adalah lailatulqadar akan jatuh pada satu daripada malam ke-27 hingga malam ke-29. Itulah sebabnya orang Melayu memasang pelita mulai malam 27 Ramadan yang terkenal dengan sebutan malam tujuh likur itu.

Kemungkinan nenek moyang kita dahulu memasang pelita (kerana tidak ada elektrik) pada malam-malam tersebut untuk menerangkan laluan ke surau atau ke masjid bagi menunaikan solat fardu isyak dan sembahyang sunat tarawih selain menghidupkan malam-malam berkenaan.

Dengan memasang pelita, mereka boleh mengadakan qiamullail, iaitu berjaga untuk beribadat di sepanjang malam seperti mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.

Lailatulqadar

Lailatulqadar (malam al-qadr atau malam kemuliaan) adalah malam turunnya al-Quran pada salah satu malam daripada 10 malam terakhir Ramadan (iaitu salah satu daripada malam ke-21, ke-22 hingga ke-30). Jika seseorang melakukan amal ibadah pada sepanjang malam itu, ganjaran pahalanya jauh lebih besar daripada 1,000 bulan.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr (kemuliaan).

"Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan.

Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah (malam itu) hingga terbit fajar.

Mujahid r.a. menegaskan bahawa pada zaman Bani Israel ada seorang lelaki yang tekun melakukan ibadah di malam hari dan berjuang meluhurkan agama Allah di siang hari selama 1,000 bulan. Oleh itu, Allah menurunkan ayat ketiga ini sebagai keutamaan bagi umat Rasulullah agar mereka dapat beramal soleh seperti lelaki tersebut. (Hadis Riwayat Ibnu Jarir) Dr. Ahmad Hatta 2009.

Dengan menggunakan sedikit pengetahuan ilmu matematik, iaitu kira-kira bahagi, maka kita peroleh: 12 bulan = 1 tahun. Oleh itu 1,000 bulan = 1,000? 12 = 83 tahun, dengan baki 4 bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan.

Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa 1,000 bulan itu sebenarnya lebih daripada 83 tahun. Hal ini kerana kebiasaan kita menggunakan unit sukatan yang lebih besar untuk menyatakan sesuatu nombor yang besar. Misalnya 2 km untuk 2000 m dan 3 tahun untuk 36 bulan. Umur 7 tahun untuk mula persekolahan tidak disebut 84 bulan dan umur persaraan 60 tahun tidak pula disebut sebagai 720 bulan.

Jadi lailatulqadar (malam kemuliaan) itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan. Ini adalah suatu ganjaran yang sangat hebat yang disediakan oleh Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Kita tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan ini yang datang hanya pada Ramadan. Kemungkinan ini Ramadan yang terakhir bagi kita. Oleh yang demikian rebutlah peluang ini.

Marilah kita mengadakan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan ini. Malah sembilan malam sahaja kerana malam ganjil yang terakhir ialah malam ke-29.

Akan tetapi apalah salahnya kita hidupkan juga malam yang ke-30 itu. Kita hidupkan malam-malam berkenaan dengan membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat seperti solat sunat awabin, solat rawatib (maghrib dan isyak), solat lailatulqadar, solat syukur, solat tahajud, solat tasbih dan solat hajat, berzikir dan berdoa.

Sememangnyalah lebih baik sekiranya kita dapat memulakan amal ibadah tersebut pada awal Ramadan lagi dan diperkuatkan serta diperbanyakkan pada beberapa malam terakhir itu.

Sekiranya kita bertadarus pada tiap-tiap malam di 10 malam terakhir ini, bolehlah kita khatam al-Quran sekali lagi. Seandainya kita berasa letih atau mengantuk, berehatlah sebentar. Set jam loceng seandainya takut terlajak sehingga ke siang hari. Pada masa ini juga kita perlulah bijak mengurus waktu supaya kita tidak terlepas walaupun satu malam tanpa berbuat apa-apa amal ibadah.

Pada Ramadan 1435 ini, malam selikur hingga malam sembilan likur (sembilan malam terakhir) itu bermula pada Jumaat (barat) 18 Julai 2014 mulai waktu maghrib (iaitu Sabtu Islam bersamaan 21 Ramadan 1435) hinggalah Sabtu (barat) 26 Julai 2014 (29 Ramadan 1435 mulai waktu Maghrib, iaitu Sabtu Islam).

Marilah kita bersama-sama pada tahun ini berikhtiar untuk cuba berusaha mendapatkan lailatulqadar atau malam al-Qadr atau malam kemuliaan itu. Semoga amal ibadah yang kita usahakan di sepanjang malam tersebut pada Ramadan tahun ini diterima oleh Allah SWT seperti yang telah dijanjikan. Insya-Allah.

PROF. DATUK DR. ABDUL RAZAK SALLEH ialah Profesor Matematik di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Setiausaha Kluster Sains dan Matematik, Majlis Profesor Negara. Utusan/Rencana/20140718

Tags: lailatul qadar
Subscribe

  • Friday Sermon Text Simplify Marriages

    Friday Sermon Text 16 December 2016AD / 16 Rabiulawal 1438H JAWI Simplify Marriages Marriage has been prescribed by Allah SWT to enable a person…

  • Daftar cerai online

    IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar…

  • Jangan campur urusan Allah

    APABILA berjumpa kawan lama, soalan seperti, “kawan-kawan kita semua dah kahwin, engkau bila lagi?”, merupakan antara pertanyaan panas…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments