mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat dan 9 jenis usahawan Islam

BARU-BARU ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron membuat satu kejutan berkenaan usaha untuk menggalakkan usahawan di negeri itu membayar zakat perniagaan.

Beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka dalam perancangan untuk memberi penganugerahan projek kerajaan negeri kepada mana-mana kontraktor dan usahawan Islam yang membayar zakat perniagaan secara konsisten kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Langkah ini amat wajar dan tepat pada masanya. Cadangan ini bukan sahaja dapat memangkinkan usaha untuk merakyatkan zakat malah dapat membudayakan amalan berzakat terutama dalam kalangan peniaga Islam.

Usaha ini jika dilaksanakan sudah pasti dapat mengukuhkan lagi institusi zakat sekali gus meningkatkan dana untuk membantu golongan asnaf.

Justeru usaha kerajaan negeri ini harus dipuji. Ia satu inisiatif yang baik yang belum dilaksanakan oleh mana-mana negeri. Langkah ini dapat memberikan impak positif yang seterusnya mampu memperkasakan institusi zakat dan menjamin keberkatan sesebuah perniagaan.

Selain usaha yang disebutkan di atas, sudah banyak inisiatif lain diusahakan oleh institusi zakat di seluruh negara dalam menyedarkan masyarakat terhadap tanggungjawab berzakat.

Daripada usaha kempen dan promosi, sehinggalah kepada pembukaan kaunter di tempat tumpuan orang ramai, kemudahan pembayaran zakat melalui SMS dan van bergerak serta lain-lain lagi.

KEMUDAHAN BERZAKAT... Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali
yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (kanan) melihat van yang dijadikan kaunter zakat bergerak
untuk kemudahan
umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu pada majlis pelancarannya di pejabat JZNK di Alor Setar, 15 Julai lalu. - BERNAMA

Walaupun usaha ini dilakukan sepanjang masa, namun jumlah usahawan yang membayar zakat kepada institusi zakat secara umumnya masih lagi rendah. Kajian penulis sendiri mendapati masih banyak peniaga Islam tidak melunaskan zakat perniagaan.

Mengapa keadaan ini berlaku? Berdasarkan kajian akademik penulis dan beberapa rakan sekerja di Universiti Utara Malaysia, dapat disimpulkan bahawa terdapat sembilan golongan usahawan Islam dengan pandangan masing-masing terhadap zakat perniagaan di negara kita.

Pertama, golongan yang membayar zakat tetapi bukan kepada institusi zakat. Golongan ini biasanya membayar zakat melalui saluran tidak rasmi, iaitu sama ada membayar terus kepada asnaf atau membayar kepada organisasi tertentu.

Dalam hal ini, penulis ingin mengingatkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa adalah berdosa jika zakat dibayar bukan kepada saluran rasmi. Bagi negeri Kedah pula, difatwakan bahawa adalah tidak sah bagi usahawan Islam yang membayar zakat kepada pihak selain Jabatan Zakat Negeri Kedah atau wakilnya yang sah.

Kedua, golongan yang sering menyalahkan pihak lain dan atas sebab tersebut mereka tidak membayar zakat. Golongan ini sering memberi alasan bahawa pengurusan zakat yang tidak cekap merupakan faktor utama mereka tidak membayar zakat kepada institusi zakat.

Mereka mempunyai persepsi bahawa lebihan zakat dikatakan berjuta-juta ringgit setiap tahun, namun masih ramai fakir miskin tidak menerima bantuan zakat. Apa yang peliknya, mereka tidak berusaha untuk mencari maklumat mengenai agihan zakat yang telah dilakukan.

Ketiga, golongan yang tidak mahu ambil tahu. Usahawan dalam golongan ini tidak berusaha untuk mencari maklumat berkaitan zakat. Mereka cenderung untuk mengambil sikap tidak kisah berkaitan zakat. Apa yang penting bagi mereka adalah keuntungan bukannya keberkatan perniagaan.

Keempat, golongan yang tidak mempunyai kefahaman mengenai zakat. Walaupun zakat merupakan rukun Islam ketiga, namun kebanyakan usahawan tidak mengetahuinya. Banyak kalangan mereka tidak memahami dengan jelas mengenai asas pengetahuan zakat seperti syarat-syarat wajib zakat, sempurna milik, nisab, haul dan sebagainya.

Kelima, golongan yang lebih mementingkan cukai daripada zakat. Ada yang beranggapan bahawa cukai adalah sama dengan zakat. Membayar cukai bererti tanggungjawab membayar zakat telah terlepas. Ini pemahaman yang salah. Cukai dan zakat adalah berbeza baik dari segi roh mahupun teknikalnya.

Keenam, golongan yang memandang ringan terhadap kewajipan zakat. Golongan ini berfikiran bahawa selagi tiada peruntukan dunia yang menghukum mereka yang tidak membayar zakat, selagi itulah mereka tidak akan berzakat. Mereka melihat bahawa hanya undang-undang, akta atau enakmen yang dikuatkuasakan sahaja mampu 'memaksa' mereka untuk membayar zakat.

Ketujuh, golongan yang memerlukan insentif atau ganjaran dunia. Golongan ini berpendirian bahawa zakat hanya akan dibayar jika terdapat insentif yang mereka dapat daripada kerajaan. Sebagai contoh, rebat atau pelepasan cukai yang diberikan ke atas jumlah zakat yang dikeluarkan.

Bagi zakat perniagaan, jumlah pelepasan cukai yang diberikan hanyalah 2.5 peratus tidak sepertimana zakat individu yang diberikan rebat 100 peratus. Ini telah memberi kesan yang besar dalam keputusan mereka berkaitan zakat perniagaan.

Kelapan, golongan yang melaksanakan zakat mengikut kefahaman sendiri. Sebagai contoh, ada kalangan usahawan beranggapan bahawa zakat sama seperti sedekah atau pemberian ikhlas dan bukannya satu kewajipan. Jika suka baru diberikan, jika tidak suka, tak perlu beri. Mereka melaksanakan zakat seolah-olah harta perniagaan adalah milik mutlak mereka.

Akhir sekali, golongan yang melihat zakat dari sudut politik. Mereka akan melihat parti-parti tertentu yang memerintah negara atau negeri. Jika parti A memerintah, orang parti A akan membayar zakat kepada pejabat zakat. Jika tidak, jangan harap mereka untuk membayar zakat.

Sebagai kesimpulannya, usaha yang dilakukan MAIM dilihat boleh menjadi pencetus kepada pembinaan modal insan dan melahirkan ushawan yang berjaya dunia dan akhirat.

Usaha tersebut diharap menjadi senjata ampuh untuk memerangi sembilan golongan usahawan yang ingkar melunaskan tanggungjawab zakat kepada institusi zakat.

Ram Jaffri Saad ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140718

Tags: zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments