mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencari pahala 1,000 bulan

GOLONGAN mukminin ketika ini berlumba-lumba menambahkan ibadat masing-masing untuk memastikan beroleh keistimewaan yang terdapat dalam malam al-qadar.

Lailatulqadar atau malam al-qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa kepada seluruh umat Islam. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Malam al-qadar lebih baik daripada 1,000 bulan." (al-Qadr: 2)

Seribu bulan itu jika dihitung adalah kira-kira 83 tahun tiga bulan. Namun insan yang umurnya sepanjang itupun, ibadatnya tidak akan sama dengan umur tersebut. Sebabnya, bagi yang lelaki mereka hanya baligh dan mukallaf adalah pada purata umur 15 tahun. Maknanya, jika umur kita mencapai 83 tahun, ibadat kita hanyalah sekitar 68 tahun.

Ini adalah antara kasih dan rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang rata-rata umurnya sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana yang disebutkan dalam hadis baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Malangnya, ramai umat Islam yang tidak mampu bertahan sehingga ke 10 malam terakhir Ramadan dari segi istiqamah beribadat. Senario yang biasa kita lihat, masjid dan surau-surau yang pada awal Ramadan melimpah ruah dengan jemaah, kini semakin sepi. Yang tinggal, hanya tiga atau empat saf.

Bulan Ramadan diisi dengan bertadarus dan amalan ini sepatutnya dilipatgandakan pada 10 Ramadan terakhir. - Gambar hiasan

Namun itulah hakikatnya. Analoginya persis permainan bola sepak. Hanya yang cergas atau 'fit' mampu bermain sepenuh masa. Sepatutnya, dalam Ramadan ini, semakin ke penghujung semakin kuat ibadat kita sebagai mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW pada 10 malam terakhir Ramadan bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadan lain. Ini dinukilkan dalam hadis yang bermaksud: Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain. (riwayat Muslim)

Dalam hadis lain Nabi SAW turut menjelaskan: Carilah ia (malam al-qadar) di 10 malam terakhir dari bulan Ramadan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Tidak ada alasan untuk umat Islam dilekakan oleh hal-hal keduniaan selepas 20 hari kita menjalani ibadat puasa dan ibadat lain dalam bulan Ramadan. Malah, nikmat keamanan dan kemakmuran negara sepatutnya menjadikan kita insan yang lebih bersyukur sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim:7)

Kebanyakan masjid dan surau-surau di seluruh negara turut mengisytiharkan akan dibuka untuk iktikaf dan juga qiamulail pada 10 malam terakhir Ramadan. Maknanya, jika kita rasa was-was untuk solat tahajud, tasbih dan sebagainya kerana jarang dilakukan, maka kini ia dilakukan secara berjemaah di masjid dan surau. Sepatutnya, tidak ada lagi alasan untuk menguzurkan diri.

Orang yang pasti mendapat sebahagian lailatulqadar ialah orang yang solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiamullail separuh malam; Dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam". (riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

Solat tarawih pula termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam al-qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadan.

Peminat bola sepak Piala Dunia 2014 yang baru tamat juga sepatutnya mempunyai kelebihan untuk bangun solat malam. Sebabnya, mereka sudah ditarbiah selama kira-kira sebulan iaitu dua minggu dalam bulan Syaaban dan dua minggu lagi dalam Ramadan untuk bangun pada pukul 3 pagi menonton siaran langsung pasukan kegemaran masing-masing. Kini mereka hanya perlu istiqamah bangun pada waktu tersebut untuk berqiamullail.

Dalam menghayati pengertian al-qadar itu sendiri, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia bermaksud pengagungan. Oleh itu, dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah SWT serta pada malam tersebutlah juga Allah SWT akan menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut.

Selain itu, al-qadar juga membawa maksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku. (al-Dukhan: 3-4).

Lebih istimewa lagi apabila lailatulqadar sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari dan meraih rahmat serta kasih sayang daripada-Nya. Justeru bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, maka pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam yang lebih mulia daripada 1,000 bulan ini.

Mengenai golongan wanita yang haid berasa terhalang daripada mendapat keberkatan malam al-qadar, janganlah khuatir kerana Allah SWT maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti berzikir, berdoa, membawa terjemahan al-Quran serta memahaminya, mendengar bacaan al-Quran oleh suaminya, adik-beradik atau dari cakera padat.

Bagi orang yang mendapat malam al-qadar ucapkanlah doa: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku".

Kedua, banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.

Ketiga, bacalah walaupun satu ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika kebetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali surah al-Ikhlas) dan bagi wanita yang haid atau nifas, perbanyakanlah berzikir kepada Allah.

Pendek kata, sebelum kita memberi pelbagai alasan, adakah kita lebih sibuk berbanding Rasulullah SAW? Baginda adalah rasul dan kekasih, baginda juga adalah ketua negara, baginda juga adalah panglima perang tetapi baginda tetap melipatgandakan ibadat terutama pada malam 10 terakhir Ramadan.

Jika Nabi SAW yang maksum dan dijamin masuk syurga Allah, berbanding kita insan lemah yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Justeru, marilah kita memanfaatkan sisa umur yang masih berbaki dengan beribadat kepada Allah agar tidak kerugian di akhirat nanti. MOHD. RADZI MOHD. ZIN pengarang@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140721

Tags: lailatul qadar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments