mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perihal bermuhasabah diri bulan Ramadan

RAMADAN 1435 Hijrah tinggal kurang seminggu lagi. Sudah kerap dinasihatkan agar muhasabah diri (muhasabat al-nafs) dipergiatkan sepanjang bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.


Malangnya, sebagaimana yang lumrah berlaku pada perkara-perkara yang lazim dituturkan, makna dan semangat asal peringatan sedemikian mudah hilang atau dialpakan. Yang tinggal hanya laungan kata-kata sebagai bunyi penghibur telinga semata.

Sesungguhnya gesaan bermuhasabah diri ini sangat rapat berkait dengan kurniaan daya istimewa pada diri insan yang membezakannya daripada segala hidupan melata yang lain.

Iaitu kemampuan muhasabah yakni kemampuan menilik dan mengenal diri sendiri sehinggakan insan secara serentak menjadi yang mengetahui (subject of knowledge) dan yang diketahui (object of knowledge) sekali gus.

Adalah jelas bahawa keistimewaan tersebut tidak merujuk kepada mana-mana bahagian jasadnya, termasuk pancainderanya. Mata dan kepala sesiapapun, dengan sendirinya, tanpa bantuan apa-apa alat seperti cermin, tidak akan dapat melihat dirinya sendiri.

Sebaliknya, keistimewaan itu setepatnya kembali kepada akal yang disepakati dalam tradisi ilmu Islam sebagai intisari atau hakikat insan.

Sememangnya akallah yang dapat menyemak dan memerhati dirinya sendiri sehinggakan akibat pemerhatian itu maka terbit, sebagai contoh, disiplin ilmu mantik (atau logik) yang tiada lain dan tiada bukan merupakan "rumusan akal perihal tatacara fikirannya sendiri yang sah sejahtera".

Sesungguhnya akal itu diri insan. Akal itu juga sebenarnya mata hati.

Justeru, apabila setiap orang Islam dipesan agar menghitung dirinya sebelum dirinya dihitung kelak di akhirat nanti (haasibuu anfusakum qabla an tuhaasabuu), pesanan tersebut sebetulnya ditujukan kepada akalnya.

Penilaian atau audit diri ini pada hakikatnya melibatkan bukan sahaja semakan dan pembetulan kepada sikap, perangai dan perlakuan diri pada masa-masa lalu, malah lebih penting lagi, penilaian dan pembaikan kandungan akalnya.

Kandungan akal itu sesungguhnya ilmunya. Bahkan, sebagaimana yang diterangkan oleh ramai ilmuwan agung Islam seperti Imam al-Ghazzali dan Raghib Isfahani, iaitu akal turut membawa makna ilmu.

Malah, kualiti ilmu seseorang itulah yang pada akhirnya menentukan sikap, perangai dan perlakuannya.

Daripada semua yang diterangkan di atas, sangat jelas kaitan rapat antara muhasabah, akal, dan ilmu.

Jalinan rapat yang merangkaikan ketiga-tiga perkara ini pasti akan mengakibatkan hubungan timbal-balik: mutu satu daripada ketiga-tiga itu tidak dapat dibaiki tanpa pembaikkan turut dilakukan terhadap mutu yang dua lagi.

Sekiranya diakui bahawa pendidikan adalah saluran dan proses utama untuk mengasuh, memupuk dan meningkatkan mutu akal dan ilmu insan, maka pendidikan yang sama juga perlu menggarap dengan wajar dimensi muhasabah.

Garapan sedemikian pasti akan melibatkan tuntutan agar kaedah dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran turut bersifat muhasabah, khasnya pada peringkat pengajian tinggi.

Garapan tersebut juga perlu membabitkan pembentukan bukan sahaja para tenaga pengajar yang mempunyai sifat itu tetapi juga para lepasan institusi yang turut bersifat dengan sifat yang sama.

Namun begitu, tanpa merangkum mata pelajaran yang lebih bersifat muhasabah pada kadar yang munasabah, garapan yang dimaksudkan tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mata pelajaran tersebut pula selalunya bersifat falsafah (pemikiran) dan sejarah sekali gus dan seringkali pula mengambil bentuk meta-discipline.

Yang dimaksudkan adalah mata pelajaran seperti sejarah dan falsafah sains, sejarah dan falsafah ekonomi, dan yang seumpamanya.

Sebagaimana sifat muhasabah yang lebih bersifat renungan ke dalam diri dan pada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku (inward looking and hindsight) demi masa hadapan yang lebih baik, maka olahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut juga perlu bersifat sedemikian.

Tanpa semua ini dilaksanakan dengan baik, sistem pengasuhan dan pendidikan kita bukan sahaja tidak dapat menyediakan persekitaran yang dapat menyuburkan budaya muhasabah tetapi yang lebih buruk lagi, menafikan serta memusuhi budaya tersebut.

Baik disedari mahupun tidak, semua itu akhirnya menjadikan kita kufur nikmat akal yang telah Allah kurniakan sebagai keistimewaan kita!

Pandangan IKIM ialah Felow Utama/Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Utusan/Rencana/20140722

Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments