mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Lailatulqadar satu anugerah mulia

DALAM Surah al-Qadr (1-5), Allah SWT menyatakan bahawa malam lailatulqadar adalah malam kemuliaan. Ia lebih baik dari seribu bulan. Iaitu malam yang penuh barakah dan maghfirah.


Ramai ulama yang mentafsirkan bahawa ia terjadi di malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa lailatulqadar itu ada di malam ke-27 di bulan Ramadan berasaskan hadis sahih Muslim.

Pada malam ini dianjurkan banyak beribadah dan berdoa teristimewa pada malam-malam ganjil dengan mengungkapkan: Allahumma innaqa afuwun tuhibbul afwa fa'fuanna - Ya Allah, sungguh Engkau Maha Pemberi Maaf, Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, bahawa 'Aisyah (isteri Rasulullah SAW) bertanya Rasullullah mengenai doa apa yang patut dimohon pada malam tersebut.

Sepanjang 20 Ramadan dilalui umat Islam teruji dan teruja. Di samping mendapatkan pahala dan ganjaran, puasa dilalui untuk mendidik hati dan nafsu supaya ada rasa kehambaan yang tinggi dan membawa kepada sifat akur, patuh, taat dan tunduk terhadap suruhan dan larangan Allah. Jiwa kehambaan dan muttaqeen ini penting untuk mengembalikan diri kepada fitrah

Malam lailatulqadar adalah suatu dorongan dan tarikan supaya ahli abid (ibadah) terus melakukan mujahadah yang terbaik dengan sabar dan yakin kerana pertemuan pada malam itu (jika ditakdirkan terjadi) ganjarannya adalah keampunan dan kemuliaan diri.

Manusia mana yang tidak berdosa. Kehidupan kita dilingkari dengan dosa-dosa. Dosa mengata dan mengumpat orang, dosa pemikiran, dosa hati dan dosa perbuatan. Dosa dendam, fitnah, kebencian dan syak wasangka dan banyak lagi dosa akibat kelupaan (nasiyyah) dan kelalaian (ghaflah) insan.

Malam lailaltulqadar amat bermakna bagi kita kerana ia lebih baik daripada seribu bulan. Di malam lain kita juga melakukan qiyam, tahajud, solat sunat dan seumpamanya tetapi ia tidak sama dengan darjat malam lailatulqadar.

Ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya supaya hamba-Nya memiliki rasa ketaatan yang tinggi kepada Allah, keikhlasan dalam melakukan ibadah dan amal dan menjadikan diri sebagai insan yang memiliki kualiti iman dan ihsan.

Ia adalah puncak madrasah Ramadan ingin menjadikan diri ini sebagai diri yang berubah. Diri yang sentiasa menginsafi bahawa dosa yang tidak diampunkan oleh Allah apa lagi sesama manusia bakal dibawa di depan Allah nanti.

Keampunan dari Allah amat dituntut supaya manusia kembali kepada diri yang fitrah. Melakukan taubat terhadap kesilapan yang nampak dan kesalahan yang bersifat batini amat dituntut lantaran Allah tahu apa yang kita lakukan walaupun manusia lain tidak tahu apa yang kita lakukan.

Inilah anugerah Allah yang paling tinggi kepada hamba-Nya. Manusia yang Allah anugerahkan kemaafan dan keampunan bakal kembali kepada kehidupan yang fitrah. Inilah yang menjadi idaman bagi setiap manusia yang beriman kepada Allah.

Allah tempat kita meletakkan pergantungan dan harapan. Kalau kedegilan dan keangkuhan masih bertakhta di hati, ia adalah gambaran insan yang jauh dari jiwa ibadullah dan ibadur rahman. Jiwa yang memiliki sifat nafsul amarah bissuk ini bakal menyesal di kemudian hari.

Justeru malam lailatulqadar yang ditunggu, kemaafan dan keampunan yang dimohon adalah menjadi puncak kepada madrasah Ramadan. Madrasah Ramadan jika dihayati benar-benar ia akan merubah cara berfikir, sikap dan cara kita beramal supaya Allah menerimanya dengan baik.

Kalau dulu kita ini bengkeng dan baran kepada suami atau isteri, madrasah Ramadan membawa kita insaf betapa besar dosa yang kita lakukan kerana tidak mengasihi isteri dan tidak mentaati suami yang baik.

Kalau dulu kita ini banyak membina syak wasangka, dendam dan kebencian kepada orang yang berbeza fahaman dengan kita, madrasah Ramadan mendidik kita supaya kembali kepada fitrah diri iaitu ukhuwah.

Apa makna rukuk dan sujud kita lakukan sedangkan rasa kebencian masih meluap-luap. Apa makna doa yang panjang kita panjatkan sedangkan di celah-celah doa tidak ada kalimah ukhuwah dan persaudaraan sesama seagama kita lafazkan.

Inilah realiti yang sedang terjadi dan akibatnya musibah Allah kepada umat terus berlaku di mana-mana di bumi Islam. DARI JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140722

Tags: lailatul qadar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments