mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kena bijak tangani kemiskinan

PERSOALAN ke mana perginya wang kutipan zakat yang mencecah ratusan juta ringgit malah berbilion saban tahun sering menjadi buah mulut yang tidak pernah sunyi dipertikaikan oleh segelintir masyarakat di negara ini.

Masakan tidak, negara sering kali dihebohkan dengan pelbagai kejadian yang menyayat hati disebabkan kemiskinan sehingga bahan buangan dijadikan sumber makanan dan sekeluarga tinggal di bawah jambatan kerana tidak mampu menanggung kehidupan.

Malangnya, majoriti golongan kurang berkemampuan itu adalah dalam kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam yang sepatutnya dilindungi oleh institusi zakat sebagaimana yang dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Hal ini secara tidak langsung menyebabkan umat Islam mula hilang keyakinan terhadap kredibiliti pusat zakat yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini, sekali gus memastikan kebajikan umat Islam terbela.

Mengakui perkara itu, pengamal dan pendakwah zakat, Hamizul Abdul Hamid bagaimanapun berkata, hakikatnya kemiskinan yang berlaku mustahil untuk dihapuskan sepenuhnya selagi dunia belum kiamat.

Ia katanya, kerana kemiskinan merupakan sunnatullah iaitu peraturan atau perjalanan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam kehidupan manusia di muka bumi selain fitrah kepada kejadian manusia.

“Isu yang paling popular dan tidak pernah habis dipersoalkan oleh masyarakat kepada pusat zakat adalah mengapa masih terdapat ramai golongan fakir dan miskin, sedangkan kutipan zakat mencecah ratusan juta setiap tahun?

“Menjawab persoalan itu, cuba kita lihat pada zaman Rasulullah SAW, adakah institusi zakat yang diamalkan oleh baginda gagal kerana majoriti sahabat adalah miskin, malah Rasulullah SAW sendiri juga miskin?

“Jawapannya tidak, sebaliknya kemiskinan adalah sunnatullah dan juga fitrah kejadian manusia yang tidak dapat dibasmi selagi matahari masih terbit. Ia adalah bagi menjaga keseimbangan alam dan hubungan sesama manusia sebagaimana dijadikan siang dan malam begitu juga orang miskin dan kaya," katanya.

Walau bagaimanapun Hamizul berkata, pusat zakat perlu memainkan peranan penting dalam membantu menangani kemiskinan, khususnya kepada umat Islam dengan disokong oleh pertubuhan lain dan juga pemerintah.

“Pusat zakat di setiap negeri perlu bijak dalam menangani kemiskinan yang berlaku dengan mengambil contoh dan mempelajari daripada kejayaan yang ditunjukkan oleh pusat zakat di negeri lain.

“Pusat zakat yang dipertanggungjawabkan menguruskan kutipan dan agihan zakat perlu sentiasa bersedia menerima perubahan. Definisi zakat juga perlu diperluaskan mengikut keperluan zaman bagi menjadikan peranan pusat zakat lebih berkesan.

“Sebagai contoh, hamba yang merupakan salah satu daripada lapan golongan asnaf disebutkan di dalam al-Quran. Hamba boleh diperluaskan kepada orang yang dibelenggu seperti dibelenggu masalah akidah, sosial," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, bilangan kakitangan zakat yang kecil tidak mampu untuk mengenal pasti kesemua golongan asnaf yang terdapat di seluruh pelosok negeri.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat terdapatnya golongan asnaf di kawasan sekeliling mereka diharap dapat melaporkan kepada pusat zakat di negeri masing-masing untuk diberikan bantuan. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140724

Tags: miskin
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments