mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan sebagai madrasah kehidupan terbaik

Jabatan Pengurusan Risiko sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi lebih-lebih lagi syarikat yang menguruskan kewangan seperti Pengendali Takaful.

Jabatan Pengurusan Risiko berperanan penting untuk mengenal pasti sesuatu risiko yang mungkin mempengaruhi operasi takaful.

Setiap risiko akan dikenal pasti, dinilai, dikawal, direkodkan dan juga dipantau setiap masa. Secara ringkasnya, Jabatan Pengurusan Risiko berperanan memikirkan apa juga kemungkinan yang akan berlaku, risiko bakal dihadapi dan mengenal pasti langkah mitigasi jika berlaku sebarang ketidaktentuan.

Kenal pasti risiko ketidakpatuhan syariah

Malah menurut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah, Institusi Kewangan Islam bertanggungjawab memastikan proses pengurusan risiko syariah dilaksanakan untuk mengenal pasti semua kemungkinan risiko ketidakpatuhan syariah.

Jika berlaku, ia perlu diambil langkah yang bertepatan untuk mengurangkan risiko. Dalam menangani seribu satu kemungkinan atau risiko yang bakal dihadapi, pematuhan kepada garis panduan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan perlu dipantau dari masa ke semasa.

Garis panduan ini menekankan soal perancangan dan pengaturan sumber utama juga prosedur bagi membolehkan sesebuah institusi untuk terus beroperasi dan bertindak dalam situasi kritikal atau jika berlaku sebarang peristiwa yang boleh mengganggu operasi dalaman atau luaran seperti kebakaran, banjir, rusuhan dan sebagainya.

Malah, dikatakan setiap pengurusan juga perlu merancang jadual cuti kakitangan sempena perayaan utama demi memastikan urus niaga dapat diteruskan seperti biasa. Ternyata BNM telah mengeluarkan banyak garis panduan demi kelangsungan sesuatu perniagaan.

Parameter khusus berkaitan pematuhan risiko syariah juga diwujudkan demi melahirkan Institusi Kewangan Islam yang benar-benar berlandaskan syariah dan memenuhi keperluan agama Islam selaras kepercayaan dan iman kita semua.


Garis panduan perlu dipatuhi

Dalam kehidupan seharian kita juga, sebenarnya Allah SWT telah menyediakan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi supaya hidup kita terpimpin dan selamat di dunia serta akhirat.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat, selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan sunah Nabi.”

Hakikatnya umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup sepanjang zaman lantaran matlamat utama seorang Muslim bukanlah demi kehidupan di dunia semata, malah apabila kita melakukan sesuatu kita sering diingatkan tentang balasan di hari akhirat.

Perjuangan seorang Muslim bukanlah untuk kehidupan selama sepuluh tahun saja dan bukan juga untuk satu bulan Ramadan saja. Segala amalan baik, kelakuan dan tutur kata yang baik perlu diteruskan sampai bila-bila.

Maka apa yang telah kita lakukan untuk memastikan semua kebaikan ini berterusan atau istiqamah? Ternyata Ramadan datang setahun sekali sebagai ‘madrasah kehidupan’, di mana pada bulan ini kita melatih roh dan jiwa untuk benar-benar beribadah, berlaku baik dan berada atas landasan agama.

Kita juga meletakkan azam dari awal Ramadan dengan menganggap ini adalah Ramadan terakhir maka tentunya kita akan melakukan yang terbaik dan menggandakan segala amalan kebaikan.

Rasulullah SAW sendiri apabila hampir dengan bulan Ramadan akan banyak berdoa: Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” Baginda mendoakan dipertemukan dengan Ramadan yang bakal tiba dan baginda menanti serta menyambut Ramadan dengan penuh kecintaan.

Tekad untuk istiqamah dalam beribadah perlu diterapkan dalam hati kerana Ramadan umpama hadiah terbaik dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam demi membentuk ketakwaan dari dalam diri.

Berdoalah semoga amal ibadah diterima, dicatat sebagai amal soleh dan keluar dari bulan Ramadan sebagai juara atau pemenang.

Apa yang penting, kita sangat memerlukan perancangan atau persiapan untuk memastikan kita istiqamah dalam beribadat, bukannya bermusim.

Jika dalam konteks duniawi, kita rangka macam-macam perancangan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan aktiviti yang dijalankan. Namun, adakah perkara yang sama juga kita buat dalam urusan ukhrawi? Wan Jemizan W Deraman dan Khuzama Ab Rahaman Berita Harian Agama 2014/07/25 - 18:58:45 PM
Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments