mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perkara patut jadi amalan sambut Syawal

Selesaikan zakat fitrah, ziarah menziarahi, didik anak raikan tetamu berkunjung ke rumah

Bersyukur kepada Allah SWT kerana kita telah diberikan peluang untuk melalui fasa-fasa istimewa di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Diharapkan puasa yang telah kita laksanakan bernilai dan mendapat ganjaran selayaknya dari Yang Maha Kaya.

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum kita memasuki gerbang Syawal yang dinanti-nantikan umat Islam. Aidilfitri hadiah untuk yang telah berjaya melaksanakan tuntutan puasa di bulan Ramadan. Justeru, marilah kita menghayati perkara yang perlu dititikberatkan supaya Aidilfitri lebih bermakna.


Selesaikan zakat fitrah


Pertama, menyelesaikan dahulu zakat fitrah yang wajib bagi setiap umat Islam. Janganlah bertangguh kerana dibimbangi kita terlepas waktu yang telah ditetapkan. Di samping itu, bayarlah zakat fitrah kepada amil yang dilantik kerajaan untuk mengelakkan ditipu atau zakat tidak sampai kepada asnaf yang berhak.

Perbanyak bertakbir bermula selepas terbenam matahari sehingga sampai waktu solat Aidilfitri. Jangan abaikan solat sunat Aidilfitri dan hayatilah khutbah yang disampaikan. Inilah sunah yang amat digalakkan sebagai tanda ketakwaan dan kemenangan menjalani ibadah pada bulan Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Elakkan pembaziran dalam membuat persediaan menyambut Syawal. Bersederhana berbelanja terutama dalam menyediakan juadah untuk tetamu. Jauhkan daripada sikap mahu menunjuk-nunjuk atau takbur supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Kita disunatkan untuk memakai pakaian yang paling baru, bukannya yang mahal dan mewah. Berusahalah untuk memastikan diri kita dan ahli keluarga dapat mentaati perintah menutup aurat dan terhindar dari tabarruj atau berhias secara berlebihan.

Pada pagi Syawal nanti, didiklah anak untuk turut serta meraikan tetamu yang hadir. Jangan biarkan mereka leka dengan hiburan di televisyen. Seharusnya pada hari kita meraikan kemenangan ini tidak diisi dengan menonton hiburan yang kebanyakannya hanya melalaikan dan merosakkan pahala.


Ziarah, saling ucap doa

Melakukan ziarah dan saling mengucapkan doa apabila bertemu dengan orang lain. Berziarah ke rumah sanak-saudara, jiran-tetangga, sahabat-handai, kenalan dan bukan kenalan. Jangan hanya memilih rumah tertentu sahaja kerana amalan ziarah dapat memanjangkan usia.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturahim.” (Riwayat Imam Muslim)

Jauhi hari-hari mulia pada bulan Syawal daripada perkara sia-sia dan tidak bermanfaat seperti bermain mercun serta bunga api. Awasilah anak-anak kerana perbuatan ini bukan sahaja pembaziran yang jelas bahkan ia memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Ambil iktibar peristiwa bahana bermain mercun yang sering dipaparkan kepada masyarakat. Ingatlah, mencegah bahaya lebih baik dari menghadapinya.

Sempena Aidilfitri ini, tentu ramai warga kota yang mengambil peluang untuk pulang berhari raya di kampung. Berhati-hatilah dalam perjalanan nanti, biar lambat asal selamat. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman pengguna jalan raya demi keselamatan bersama.

Daripada laporan yang telah dikeluarkan sebahagian besar faktor yang mengundang kecelakaan ini adalah berpunca daripada kelalaian, sikap tidak menghargai diri, tidak menghiraukan keselamatan orang lain dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Punca paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang bersikap mementingkan diri, memandu melebihi had laju, memotong atau menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Keselamatan rumah dan harta benda juga perlu dititikberatkan. Ketiadaan kita di rumah kerana cuti berhari raya di kampung halaman boleh mengundang kegiatan jenayah pecah rumah. Justeru, ambillah langkah sewajarnya dengan mengisi borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati dari laman web rasmi PDRM dan menyerahkan kepada balai polis yang berhampiran dengan kediaman kita. Berita Harian Agama  2014/07/25 - 19:00:13 PM
Tags: syawal
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments