mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sepuluh hal sebelum Raya

BELUM! Hari ini belum raya. Petang ini baharu hendak meneropong anak bulan. Anda ada beberapa jam lagi untuk menyempurnakan ibadah berpuasa sebulan Ramadan. Sabar.

Sementara menanti waktu berbuka, apa yang anda boleh buat hari ini? Tidur? Idea bagus tetapi amatlah rugi bagi mereka yang tidur sahaja kerana hari ini Ahad, dan saya akan ke bazar ramadan Jalan Satok di Kuching, cari mi kolok.

Belum buat keputusan? Mungkin anda akan dapat idea daripada senarai 10 perkara yang anda patut renungkan sehari sebelum Raya:

1. Buka puasa di kampung halaman

Kebanyakan anda yang merantau di Kuala Lumpur, sudah berada di kampung sekarang. Bagi sahabat di Lahad Datu di Sabah, merekalah paling seronok dengan waktu berbuka pada pukul 6.24 malam. Kaum keluarga di Kampung Abi, Perlis diminta sabar ya menunggu 7.39 malam. Di Kuching, kami berbuka jam 6.54 malam.

Tidak. Anda tidak boleh berbuka mengikut waktu kawasan asal. Jika anda orang Sabah di Kuala Lumpur, anda kena berbuka ikut waktu ibu kota, demikian tazkirah saya kepada anak-anak.

2. Dua Marhalah naik kapal terbang

Dua marhalah bersamaan 90 kilometer, untuk melayakkan anda mengisytihar diri sebagai musafir. Ini kiraan menggunakan kuasa unta. Bukan kuasa enjin petrol, diesel atau hibrid. Bagaimana dengan naik kapal terbang? Terbang siang hari, pramugari MAS akan bertanya sama ada mahukan makanan atau tidak. Kita diberi pilihan untuk makan, atau bawa pulang (tolonglah jangan buat. Lekeh gila!)

Maka itu, timbul persoalan bolehkah diisytihar musafir naik pesawat? Bila berlepas dari KLIA, dalam masa 15 minit pesawat melewati ruang udara Pekan, maka sudah lebih 2 marhalah. Boleh makan? Saya tanya sahaja. Anda jawab.

3. Tukar duit kecil

Tiga hari lepas, saya menghubungi sahabat di bank terbesar di Malaysia. "Maaf Jo, stok duit baru dah habis!" Ini pun sebenarnya masalah besar. Hendak tukar duit awal Ramadan, duit gaji belum masuk. Bila gaji dah masuk, bank pula tak ada stok. Apa hendak buat esok? Takkan semua anak buah dapat duit not RM50. Nanti balik kena mohon BR1M dibuatnya.

4. Program kitar baju raya

Baju melayu paling murah pun ialah RM100 sepasang dengan kain samping sekitar RM150. Purata RM250 kena sediakan. Apa salah recycle yang tahun lepas? Konsep ini bermakna hanya perlu membeli baharu sekali dalam dua tahun. Banyak jimat tu.

Masalahnya, bentuk badan manusia bukan statik tetapi dinamik dan organik. Kalau menyusut tidak mengapa. Mengembang memang baju raya tak boleh guna.

5. Cat pagar, dinding

Tangguh demi tangguh akhirnya membawa kepada hari terakhir Ramadan untuk pelaksanaan projek pengindahan rumah. Hendak upah buruh Indonesia, mereka sudah lama pulang sempena Lebaran, Pak. Hendak upah anak saudara, mereka tiada skil mengecat. Setakat photoshop dalam tablet komputer memang handal.

6. Memandu balik kampung

"Kita gerak selepas berbuka puasa ini. Malam nak raya ini mesti kesesakan dah kurang,’’ kata Marzuki kepada isterinya. Marzuki lupa perbualan serupa dengan kepercayaan sama, diucap oleh ribuan lagi pasangan suami isteri yang merancang bertolak selepas Maghrib. Mereka dan beribu-ribu pemilik kereta akan 'berhimpun’ di lebuh raya Karak dalam kesesakan yang mereka sangkakan sudah tiada malam ini.

7. Main mercun KLCC

Di Kuching, sahabat beritahu untuk mendapatkan bekalan 'mercun KLCC’, ia boleh didapati di Tebedu atau Serikin. Kedua-duanya sempadan Sarawak dengan Pontianak. Nama ‘mercun KLCC’ itu bermaksud bunga api gemerlapan seperti di KLCC semasa sambutan Tahun Baharu atau Hari Kemerdekaan. Cerita sahabat lagi, dia bawa balik dan membakar bunga api tersebut yang dibeli pada harga murah, tanpa cukai tentunya. Ada 24 tembakan. Memang syok. Satu kawasan perumahan berhenti menonton K-Pop dan keluar menyaksikan persembahan bunga api percuma tersebut. Sejurus sahaja tamat, seorang anggota polis bermotosikal muncul di hadapan pagar. Mujur kena amaran sahaja. Malam ini, nak bakar mercun, buat selang dua rumah. Jauh sikit.

8. Esok permulaan raya sebulan

Ayat di atas bunyi seperti cliche. Lirik lagu, mungkin. Tetapi bagi anda yang bekerja di sektor awam atau swasta, anda tahu kebenarannya. Semasa Ramadan, kita dihujani dengan jemputan ke majlis berbuka puasa atau iftar hampir setiap hari (sampai naik muak berbuka di hotel). 1 Syawal esok, pusingan kedua akan bermula. Malah, minggu kedua Ramadan saya sudah terima jemputan rumah terbuka hari raya. Berita terkini, beberapa GLC mengumumkan pembatalan majlis rumah terbuka sebagai tanda menghormati mangsa tragedi dua pesawat MAS.

9. Program raya TV diganti K-Pop

Jika anda memiliki anak perempuan atau anak saudara perempuan, dan dalam sesetengah kes, kakak pun yang bakal berkumpul di rumah ayah bonda, ada kemungkinan besar mereka akan mendominasi televisyen, yang kebanyakannya program K-Pop.

Anda tidak boleh bergaduh. Pilihan yang ada ialah ke dapur tolong mak basuh pinggan atau tonton Running Man bersama secara harmoni sampai tamat tiga jam kemudiannya.

10. Beli kuih raya

Setakat menonton Astro Food Network Asia tetapi tiada usaha memulakan pembikinan, mungkin faktor kenapa orang ramai bergegas ke kedai malam ini untuk membeli kuih-muih ready made. Faktor lain ialah ada promosi malam terakhir, kuih-muih tersebut akan dijual pada harga bundle. Sama seperti jualan baju raya. Jangan lupa membeli-belah malam terakhir disertakan dengan kesesakan lalu lintas kronik. Cubalah pandu ke Kompleks PKNS Shah Alam malam ini.

Akhir Merrepak, saya juga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada anda sekalian pembaca budiman. JOHARDY IBRAHIM: Utusan/Rencana/20140727

Tags: raya
Subscribe

  • Hidup berpasangan beri ketenangan

    MAKHLUK Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya…

  • Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

    Nusyuz undang kemurkaan ALLAH FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah…

  • Khutbah Jumaat: Sempurnakan agamamu

    Petikan Khutbah Jumaat: 31 Mac 2017 JAKIM Sempurnakan agamamu Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah memberi penekanan pentingnya…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments