mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kesempatan hijrah

SEBAGAIMANA ibadah haji yang mempunyai petanda, sama ada ia diterima atau ditolak, maka puasa juga tidak berbeza jauh. Lumrahnya, antara tanda haji diterima atau memperoleh haji yang mabrur adalah perubahan tingkah laku sekembalinya dari Tanah Suci. Begitu jugalah dengan ibadah puasa, antara punca puasa diterima atau tidak, bergantung kepada sejauh mana kesinambungan sikap baik itu diteruskan selepas Ramadan.

Antara tabiat yang ada sesetengah ulama mengatakan hukumnya makruh dan ada pula yang berpendapat ia adalah haram, ialah merokok yang bukan sahaja mendatangkan penyakit kepada perokok itu sendiri malah menggugat kesihatan orang sekelilingnya yang tidak merokok.

Umumnya, ramai perokok yang sedar bahaya merokok dan berhasrat mahu berhenti tetapi tidak dapat melakukannya kerana ketagihan. Tetapi harus diingat bahawa antara yang tidak ditolak oleh Allah SWT adalah doa yang dipohon oleh orang yang berpuasa serta berdoa ketika berbuka.

Kesempatan itu patut diambil oleh para perokok tidak kira yang baru berjinak-jinak mahupun perokok tegar untuk memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan usaha mentransformasikan diri itu.

Dikatakan kira-kira 5.5 trilion rokok dihasilkan secara global pada setiap tahun dan dihisap oleh lebih 1.1 bilion penduduk atau lebih besar daripada satu per enam penduduk dunia. Ini bererti seramai 1.1 bilion penduduk dunia sengaja mencari penyakit, sekali gus menjadi penyumbang kepada masyarakat dunia diserang penyakit.

Kegilaan dan ketagihan merokok telah mendatar atau menurun di negara-negara maju, tetapi jumlah perokok terus naik di negara-negara yang sedang membangun.

Kadar merokok di Amerika Syarikat dari 1965 hingga 2006 didapati telah jatuh separuh iaitu daripada 42 peratus kepada 20.8 peratus bagi orang dewasa, manakala dalam kalangan negara-negara membangun, termasuk di Malaysia, jumlah perokok bertambah dari sehari ke sehari dengan peningkatan pada kadar 3.4 peratus pada setiap tahun.

Menurut catatan sejarah, manusia terawal di dunia yang merokok adalah suku bangsa India di Amerika. Mereka merokok untuk memuja dewa atau roh. Pada abad ke-16, ketika bangsa Eropah menemukan benua Amerika, sebahagian daripada para penjelajah Eropah terikut-ikut untuk menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah.

Kemudian budaya merokok mulai muncul dalam kalangan bangsawan Eropah. Berbeza dengan bangsa India yang merokok untuk keperluan pemujaan, orang Eropah merokok lebih kepada faktor kesenangan semata-mata. Pada abad ke-17 para pedagang Sepanyol membawa masuk rokok ke Turki dan mulai saat itu, ia terus menular ke negara-negara Islam.

Sama ada ramai yang sedar ataupun tidak, bahawa beberapa bahan kimia terkandung di dalam rokok, antaranya nikotin, kandungan yang menyebabkan perokok merasa tenang dan tar yang terdiri lebih daripada 4,000 bahan kimia yang mana 60 daripadanya adalah bahan kimia bersifat karsinogen, sianida, sebatian kimia yang mengandungi kumpulan cyano.

Bahan kimia lain ialah Benzene, juga dikenali sebagai bensol, bahan kimia organik yang mudah terbakar dan tidak berwarna. Cadmium, logam yang sangat beracun dan radioaktif. Metanol (alkohol kayu), alkohol yang paling mudah yang juga dikenali sebagai metil alkohol adalah antaranya.

Selain itu, Asetilena yang merupakan sebatian kimia tak tepu yang juga merupakan hidro karbon alkuna yang paling sederhana. Amonia, boleh ditemui di mana-mana, tetapi sangat beracun dalam kombinasi dengan unsur-unsur tertentu.

Formaldehid, cecair yang sangat beracun yang digunakan untuk mengawetkan mayat turut berada dalam rokok. Ini tidak termasuk bahan seperti hidrogen sianida, racun yang digunakan sebagai fumigan untuk membunuh semut. Malah ia juga digunakan sebagai bahan pembuat plastik dan racun perosak.

Arsenik, bahan yang terdapat dalam racun tikus dan karbon monoksida, bahan kimia toksik yang ditemui dalam asap buangan kereta juga terkandung dalam rokok yang mana setiap perokok memasukkan bahan ini ke dalam badan dan mencemarkan udara dengan 4,000 jenis kimia yang boleh memudaratkan pada setiap batang rokok yang dihisap.

Justeru, kekuatan diri untuk berhenti merokok sepanjang sebulan Ramadan yang baru lalu, yang disertai permintaan daripada Allah pada waktu mustajab berdoa, boleh menjadi titik tolak membebaskan diri daripada menjadi hamba rokok. Apatah lagi atas kesedaran bahawa merokok pada awalnya adalah bertujuan pemujaan dewa atau roh yang terang-terangan bercanggah dengan ajaran Islam.

RAMLI ABDUL HALIM ialah murid tua Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.   Utusan/Bicara_Agama/20140801

Tags: hijrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments