mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bisik-Bisik Awang Selamat

Siapa gagal?

Keghairahan makin ramai individu bukan Islam menghina Islam di negara ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi. Puncanya kerana pihak berkuasa kita sama ada teragak-agak, takut mahupun lewat bertindak. Disebabkan pihak berkuasa gagal memberikan isyarat yang betul kepada semua pihak maka perbuatan menghina Islam berulang dengan mudah.

Yang turut menjadi isu mengapa apabila individu Melayu melakukan perkara tersebut, tindakan begitu cepat diambil - begitu proaktif - tanpa menunggu terlebih dahulu reaksi orang ramai sebagaimana biasa. Tindakan yang diambil berpilih-pilih. Peneraju yang diberi amanah menjaga soal ketenteraman awam, hal pendakwaan dan isu ancaman siber, tidak boleh menjadi dayus. Letak jawatan jika asyik memberi banyak alasan. Tolonglah berani dalam menjaga kepentingan majoriti, yang juga ada hak untuk hidup tenteram.

Terbaharu, pengguna akaun Facebook Kelvin Yip dan seorang lagi identiti Smallfield Benjamin mencela, menggunakan kata lucah dan memaki hamun Islam. Awang setuju dengan ketegasan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa sesiapa yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan walaupun selepas meminta maaf. Sekiranya pihak berkuasa kelihatan lesu, dikhuatiri ia akan mencetuskan ketegangan kaum yang menurut analisis beberapa bekas pegawai kanan polis, bagai bom jangka menanti ledakan. Sudah tentu ia akan menjadi isu ancaman keselamatan yang serius kepada negara.

Awang juga bimbang golongan yang ekstrem apatah lagi puak militan akan bertindak balas dengan cara keganasan, yang kita semua mahu elakkan. Jangan biar golongan tersebut menangguk di air keruh dan memudaratkan lagi keadaan. Tetapi jika ia berlaku kita tahu apa punca dan siapa yang dilihat gagal.

Contohi Singapura

Kes-kes hasutan agama dan kaum termasuk menerusi laman sosial di Singapura, ditangani dengan tegas dan konsisten oleh negara itu. Berdasarkan pemerhatian Awang, kepentingan agama Islam lebih 'terlindung' dalam dunia siber di negara jiran itu berbanding Malaysia. Pihak berkuasanya ternyata bukan sahaja cepat bertindak malah tidak memilih bulu.

Begitu juga dalam soal ancaman kepada pengguna pengangkutan awam. Tidak lama dulu, pemandu bas Singapura yang mogok didakwa di mahkamah dan dipenjarakan. Maka Awang berharap tindakan mogok oleh pemandu-pemandu bas kilang kita di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia bagi membantah kenaikan kadar tol di Tambak Johor dan caj permit masuk kenderaan (VEP) ke Singapura, kelmarin diambil tindakan tegas. Perbuatan mereka mencetuskan kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan lebih 4,000 pekerja terpaksa berjalan kaki untuk masuk ke republik itu, sebagai melampau.

Sekadar simpati

Pengurusan McDonald's Malaysia antara pihak yang mula merasa bahang daripada gerakan boikot sebagai bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin. Minggu lalu, pengurusannya mengeluarkan pernyataan khas sebagai rintihan kepada rakyat Malaysia supaya terus menyokong syarikat itu atas faktor dan realiti tertentu.

Awang tidak berhajat mengeruhkan keadaan. Walaupun hanya sebahagian kecil umat Islam mengambil langkah boikot untuk sementara itu, ia memberi kesan. Seorang pegawai MCDonald's mengeluh sambil berharap Israel mengambil kira kesan daripada kekejamannya terhadap kepentingan pihak lain di seluruh dunia. Itu suara orang kecil, apakah Israel peduli?

Berbalik kepada pernyataan tersebut, McDonald's menegaskan pihaknya tidak terbabit serta menyokong mana-mana kegiatan politik, keganasan dan penindasan di seluruh dunia. Ia diakhiri dengan ungkapan: "McDonald' s bersimpati terhadap mangsa yang tidak bersalah dalam mana-mana tragedi kemanusiaan." Sekadar bersimpati sahaja? Apa yang berlaku di Gaza, bukan tragedi kemanusiaan biasa, kekejamannya sangat dahsyat. Berilah kenyataan lebih keras agar McDonald's Malaysia benar-benar membawa sentimen majoriti rakyat Malaysia. Barulah yang rata tidak dikatakan bukit, yang busut bukan disangka gunung.

Israel dan boikot

Antara perkembangan menarik perhatian Awang ialah kenyataan Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid yang mengakui bahawa kempen boikot terhadap negara itu akan menjejaskan ekonominya. Kepada sesiapa yang mengandaikan bahawa memulaukan produk, jenama dan perkhidmatan Israel tidak akan berjaya, ternyata salah. Beberapa maklumat tidak rasmi, menjadi bukti. Israel misalnya telah kerugian lebih AS$4 bilion ekoran kempen boikot yang sebenarnya sudah pun berjalan terhadap isu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat hinggalah kepada serangan tentera Israel di Gaza. Makin banyak pihak mengambil langkah memulaukan Israel terutama selepas Pertubuhan Pengajian Amerika (ASA) menggantung kerjasama dengan institusi pendidikan Israel yang menyokong dan beroperasi di penempatan haram Yahudi. Banyak firma Barat dalam pelbagai sektor mengambil langkah atas asas moral. Bank terbesar Jerman, Deutsche (DB) telah menyenarai hitam Hapoalim Bank milik Israel. Mesejnya bukan semua di Barat menyokong kegilaan Israel menindas rakyat Palestin.

Ada lagi banyak petunjuk . Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mungkin mengenakan sekatan penerbangan ke Tel Aviv. Industri pelancongan Israel terjejas ekoran boikot oleh syarikat pelancongan terbesar Jerman, TUI selain amaran Jabatan Negara AS. Kempen BDS (boikot, lupus, sekatan) ke atas produk dan perniagaan Israel sejak 2005 semakin mendapat sambutan. Chile kurangkan hubungan perdagangan dengan Israel. Rangkaian perniagaan Britain, John Lewis mengurangkan perdagangan dengan syarikat Israel, Soda Stream.

Artis terkemuka seperti Pink Floyd, Massive Attack dan Faithless enggan membuat persembahan di Israel. Di samping itu, John Legend, Rihanna, Selena Gomez dan Zayn Malik turut membantah kezaliman rejim Zionis. Pemain bola sepak QPR, Joey Barton lantang kritik Israel. Sebelum ini bintang Portugal, Christiano Ronaldo enggan bertukar jersi dengan pemain pasukan Israel kerana tidak mahu bersekutu dengan pembunuh rakyat Palestin. Rangkaian pasar raya terbesar Britain, Tesco tidak lagi menjual produk Israel. Tokoh dunia, Stephen Hawking turut boikot sidang pengajian Israel. Antara gereja terbesar di AS, Gereja Presbyrian henti pelaburan di Israel dan syarikat yang berurusan dengan rejim Zionis.

Apakah gelombang sentimen yang sama ini, yang suatu ketika pernah menjatuhkan rejim aparteid di Afrika Selatan, akan mampu melenyapkan 'kekebalan' Israel? Awang tidak pasti tetapi yang makin jelas boikot dan tekanan ekonomi - biarpun mengambil masa - boleh meruntuhkan keangkuhan, kejahatan dan kezaliman Israel.

AS dan dunia Arab

SOKONGAN berterusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Setiausaha Negara, John Kerry kepada Israel sehingga mengakibatkan lebih 1,650 rakyat Palestin terutama kanak-kanak dibunuh, adalah amat memalukan . Kini Israel bermaharajalela dengan gencatan senjata dicabuli. Adakalanya Awang tertanya-tanya tidakkah Obama dan Kerry membaca kitab agamanya yang melarang kekejaman sesama manusia. Apa guna bercakap tentang moral, agama, keadilan dan kebebasan jika anda berdua bersubahat meragut nyawa ribuan orang awam tidak berdosa. Bayangkan jika anak-anak AS dibunuh kejam tanpa perikemanusiaan?

Awang berharap Obama dan Kerry dapat petunjuk daripada tuhan agama yang mereka anuti untuk membetulkan kesilapan. Hujah kononnya Israel berhak menyerang Gaza bagi mempertahankan diri, tidak boleh diterima. Jika serangan itu mahu dihalalkan maka serangan Al Qaeda terhadap orang awam termasuk insiden 11 September 2011 yang mengorbankan lebih 3,000 orang juga boleh diberi kewajaran. Ini kerana Al Qaeda boleh bersandar kepada hujah mahu menuntut keadilan dan pembelaan termasuk ke atas masyarakat Palestin yang ditindas oleh Israel dengan sokongan AS buat sekian lamanya. Takrifan keganasan dalam konteks dunia mesti dinilai semula dengan mengambil kira tindakan keganasan Israel dan penguasaan Yahudi ke atas pentadbiran AS.

Awang melihat pendirian AS terus menyokong kezaliman Israel termasuk bantuan senjata sebagai suatu lagi pengkhianatan ke atas dunia Islam yang selama ini banyak menyokong kuasa besar itu sejak era Perang Dingin lagi. Begitu juga ketika AS bertindak balas keterlaluan ekoran peristiwa 11 September 2011 dan serangan ke atas Iraq yang mengorbankan ramai orang awam, banyak negara Islam dirayu menyokong Washington. Alasan bahawa Iraq diserang kerana pentadbiran Saddam Hussein mempunyai senjata kimia yang boleh membawa kemusnahan besar-besaran seperti yang digembar-gemburkan oleh AS, akhirnya ternyata tidak benar.

Kesilapan atau kesengajaan yang sangat besar implikasinya itu dalam sejarah dunia didiamkan oleh AS hanya kerana mangsanya - orang Islam dan negara Islam. Inikah balasan kepada sokongan umat Islam? Rakyat AS sepatutnya malu akan dosa pemimpinnya terhadap rakyat Palestin. Ia umpama barbarian, yang kalau pun tidak membunuh, suka melihat aksi manusia dibunuh dan dilapah dagingnya. Tetapi bukan sahaja kerajaan AS yang turut bersubahat membunuh rakyat Palestin, kerajaan negara-negara Arab pun sama bertanggungjawab. Kerana percaturan kepentingan yang sempit, kerajaan dunia Arab menggugat agama mereka sendiri. Lagi hina dan memalukan. Utusan/Rencana/20140803

Tags: arab, zionis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments