mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengalaman beraya di Masjid al-Aqsa

BAITULMaQDIS, PALESTIN 3 Ogos - Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Baitulmaqdis bermula 21 Ramadan lalu (19 Julai), saya tidak sabar untuk terus ke Masjid al-Aqsa, kira-kira 400 meter dari hotel penginapan.

Walaupun penerbangan dari Kuala Lumpur ke Amman, Jordan mengambil masa 12 jam, diikuti sejam perjalanan darat ke sempadan Palestin (dikuasai Israel) serta pemeriksaan di tiga kaunter imigresen Israel yang mengambil masa dua jam, semua itu tidak memenatkan untuk segera ke Masjid al-Aqsa.

Setelah bersiap, perjalanan ke Masjid al-Aqsa pun bermula dan seperti diduga untuk melepasi pintu masuk Masjid al-Aqsa, polis dan tentera Israel akan terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan sebelum seseorang itu dibenarkan masuk ke masjid.

Antara soalannya ialah; 'Adakah anda seorang muslim', 'Datang dari negara mana' dan sebagainya. Adakalanya, beg yang dibawa bersama akan diperiksa selain seseorang itu diminta membaca ayat-ayat lazim seperti al-Fatihah.



PENULIS berpakaian baju Melayu bergambar di hadapan Masjid al-Aqsa selepas solat sunat Aidilfitri di Baitulmaqdis.

Walaupun ada rasa tidak puas hati dengan tindakan, pertanyaan dan pemeriksaan itu, namun semuanya saya akur asalkan saya dapat memasuki Masjid al-Aqsa.

Sebaik sahaja memasuki Masjid al-Aqsa, perasaan gembira tidak terhingga sukar digambarkan. Terlintas banyak perkara hendak dilakukan. Sembahyang sunat dan solat lima waktu, merakamkan gambar dan yang paling penting menziarah lima masjid yang terletak dalam kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa.

Lima masjid itu ialah Masjid al-Aqsa (utama) terletak di bawah tanah, Masjid Buraq (bawah tanah), Masjid Marwani (bawah tanah), Masjid Kubah Emas atau Dome of Rock (terletak atas tanah) dan Masjid al-Aqsa (utama) terletak atas tanah.

Menurut Imam 1 Masjid al-Aqsa, Syeikh Yusof Abu Sunainah, kesemua lima masjid itu digolongkan sebagai kawasan Masjid al-Aqsa dan mana-mana orang Islam yang bersolat dalam kawasan atau pekarangannya, dikira bersolat di Masjid al-Aqsa.

Ketika berada Baitulmaqdis dan berkunjung ke Masjid al-Aqsa, perasaan saya juga memucak menantikan malam ke-27 Ramadan.

Ini kerana bagi penduduk Palestin malam ke-27 Ramadan dianggap paling berkat kerana ia malam Lailatulqadar.

Untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa selepas berbuka puasa setelah berpuasa selama 15 jam, cabaran memang getir kerana polis dan tentera Israel mula membuat halangan dengan hanya membenarkan wanita sahaja memasuki kawasan masjid. Manakala lelaki pula hanya mereka berusia 50 tahun ke atas sahaja.

Keadaan itu menyebabkan timbul kekecohan dan ketegangan di tujuh pintu masuk masjid. Tindakan pihak berkuasa Israel melepaskan puluhan bom asap menambahkan lagi kekecohan menyebabkan ramai penduduk Palestin lari menyelamatkan.

Saya dan beberapa rakan dari Malaysia bernasib baik kerana sempat menyelinap masuk ke dalam kawasan masjid kerana datang lebih awal sebelum wakut Isyak. Terdapat juga rakan dari Malaysia yang hampa dan terpaksa pulang ke hotel.



SEBAHAGIAN daripada umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis.

Sepanjang malam ke-27 Ramadan, bunyi letupan bom asap serta tembakan senjata sering terdengar hinggalah ke waktu subuh.

Bagi lelaki dan wanita berusia, mereka meneruskan solat Tarawih selain beribadah di dalam kawasan masjid sepanjang malam. Golongan remaja Palestin yang berada dalam kawasan masjid pula mereka membalas tembakan Israel itu dengan membaling batu.

Seorang lelaki Palestin ketika ditanya memberitahu, jika pihak berkuasa Israel menceroboh masuk kawasan Masjid al-Aqsa, mereka (Palestin) sanggup mati walaupun terpaksa bertempur tanpa senjata.

Suasana sepanjang malam itu memang kelam-kabut dengan petugas-petugas perubatan Palestin merawat orang yang cedera dalam kawasan masjid.

Semua jemaah yang berada dalam kawasan Masjid al-Aqsa hanya berpeluang keluar dari kawasan masjid selepas waktu solat Subuh.

Ketika saya pulang ke hotel, suasana tenang dan sunyi manakala laluan dan lorong-lorong di situ dipenuhi batu-batu akibat insiden yang berlaku.

Namun suasana tegang kembali semula apabila tiba waktu solat Jumaat apabila sekali lagi polis dan tentera Israel menghalang lelaki berusia bawah 50 tahun memasuki kawasan masjid.

Berikutan itu, ramai umat Islam terpaksa bersolat Jumaat di luar kawasan Masjid al-Aqsa iaitu di lorong-lorong dan jalan raya.

Apabila memasuki malam akhir Ramadan suasana mula lenggang. Solat sunat Aidilfitri pula hanya kira-kira 10,000 berbanding 100,000 jemaah pada malam ke-27 Ramadan. Kebanyakan penduduk Palestin telah pulang ke kampung halaman mereka di luar Baitulmaqdis.

Dalam pada itu, kesempatan berpakaian baju Melayu dan bersongkok ketika solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Aqsa menjadi nostalgia buat diri saya.

Saya juga bersyukur kerana dapat menjalani Ramadan dan solat sunat Aidilfitri di masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam seluruh dunia. Malah Masjid al-Aqsa juga antara tiga masjid utama yang digesa oleh Baginda Rasulullah SAW supaya umat Islam mengunjunginya.

Sebelum solat dan selepas solat sunat Aidilfitri itu, ramai jemaah bertanya kepada saya, dari negara mana saya datang. Mungkin kerana pakaian tradisional Melayu yang saya pakai ketika itu. Hari raya pertama dihabiskan dengan melancong di luar Baitulmuqaddis tanpa kuih-muih seperti amalan penduduk Malaysia. -   AMIR SARIFUDIN amir.mansor@utusan.com.my: Utusan/Rencana/20140804

Tags: masjid
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments