mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ziarah membawa kita kepada ukhuwah

AIDILFITRI atau hari kemenangan digambarkan dengan perubahan diri yang kembali kepada fitrah. Ziarah menjadi perkara utama yang dilakukan supaya sikap saling bermaafan terjadi. Ia menjadi lebih bermakna sekiranya semangat menyantuni keluarga dan sahabat terjadi.

Lazimnya sewaktu Hari Raya Aidilfitri sebahagian besar yang tinggal di Kuala Lumpur, Lembah Klang atau negeri-negeri yang berjauhan balik ke kampung masing-masing. Ianya berpeluang merayakan hari yang bermakna ini bersama sanak-saudara dan ziarah menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Bila ziarah kita lakukan di kampung, kita diberitahu mengenai orang kampung, saudara mara dan sahabat yang telah pergi meninggalkan kita atau sedang terlantar sakit.

Menziarahi yang sakit disuruh oleh agama dan ianya boleh membawa keinsafan bahawa kita tidak selamanya sihat. Lambat laun apa yang kita saksikan dalam ziarah kita boleh berlaku pada kita bila sampai masanya.

Bayangkan anak yatim, orang tua yang kita ziarahi memberi makna yang besar kepada kita. Lebih-lebih lagi kalau kita bawakan hadiah dan pemberian, mereka merasakan ada orang yang peduli di hari yang mulia ini.

Jangan kembalinya kita ke kampung tidak ke mana-mana, hanya duduk di rumah melihat siaran televisyen atau makan-makan saja. Jiran, sahabat-sahabat lama, kaum kerabat perlu diziarahi supaya ianya memberi makna yang tersendiri dalam hidup kita.

Jangan kita kelihatan berbangga dengan deretan kereta yang banyak di rumah asal di kampung tanpa mahu melakukan ziarah dan bertanya khabar penduduk kampung yang telah lama kita tinggalkan.

Lamanya kita di bandar terutama di kalangan generasi muda tidak harus membawa kelupaan diri kita kepada orang kampung. Asal kita dulunya dari kampung dan jiwa kekampungan yang tinggi perlu ada pada kita kerana mengingat asal datangnya kita memberi keinsafan bahawa kampung adalah tempat kita bermula dan sebahagian daripada kita memilih untuk kembali ke kampung setelah merantau sekian lama nanti.

Ziarah di Malaysia sewaktu sambutan hari raya menjadi suatu fenomena yang menarik. Ia berlaku sepanjang bulan Syawal.

Sekiranya ziarah dan sambutan ini bermaksud menjalin semula hubungan yang lama terputus atau menguatkan rasa ukhuwah dan persaudaraan, ianya adalah sesuatu yang baik dan dianjurkan oleh agama.

Kesibukan kita bekerja di kota sering menyebabkan kita tidak mempunyai masa yang banyak untuk berziarah. Sempena Aidilfitri ini menjadi masa yang terbaik program ziarah diatur terutama memper­kenalkan anak-anak kepada saudara-mara dan sahabat handai yang belum dikenali.

Berlaku anak-anak yang lahir di kota tidak mengenali saudara mara yang dekat terutama yang tinggal di kampung. Beberapa hari berada di kampung harus digunakan sepenuhnya untuk memper­kenalkan anak-anak kepada budaya kampung, merasakan suasana kampung yang unik, mengenal orang tua yang menunggu masa untuk pergi.

Bayangkan asal kita dari kampung dan tidak bersedia untuk berziarah ke kampung seolah-olah kita lupa asal kita. Katakan di kampung ada orang tua kita yang menunggu kembalinya kita di hari yang mulia ini dan kita tidak kembali berziarah, mereka merasa teramat sunyi seolah-olah Aidilfitri tidak memberi makna apa-apa kepada mereka.

Kalau anak-anak kita tidak dididik menyantuni datuk neneknya, bayangkan bila kita tua nanti anak-anak kurang peduli kepada kita. Kita akan menjadi orang yang paling kecewa dalam hidup.

Amat penting setiap ziarah yang berlaku perkenalkan kepada anak-anak siapa yang kita ziarah dan apa hubungan kita dengannya. Ianya mendidik anak-anak kita supaya tidak melupakan kampung kerana asal kita umumnya dari kampung.

Oleh itu agenda balik kampung bukan sekadar menghabiskan masa di rumah orang tua saja tetapi lakukan ziarah sebanyak mungkin ke rumah sahabat handai, kawan-kawan lama yang mungkin sudah uzur, orang sakit dan anak yatim.

Bila kembali ke bandar, fikirkan sahabat-sahabat sekampung yang ada di bandar, rakan-rakan sepejabat dan ziarahi mereka supaya silaturahim menjadi subur dan akhirnya hidup di bandar tidak menjadikan kita manusia lupa dan hanya fikirkan diri sendiri sahaja. JENDELA TOK KI: Utusan/Rencana/20140805

Tags: ukhuwah, ziarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments