mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mampu lagikah kita bersukaria...

KELMARIN, penulis sekali lagi menerima e-mel daripada Khazanah Nasional Berhad memaklumkan pembatalan majlis rumah terbuka hari raya yang dijadual berlangsung hari ini. Keputusan Khazanah itu diambil sebagai menghormati perasaan waris mangsa pesawat MH370 dan MH17, bahkan semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan dua tragedi malang yang menimpa negara itu.


Khazanah dalam pada itu berjanji akan menyalurkan bajet yang diperuntukkan bagi majlis di hotel terkemuka itu, yang tentunya menelan belanja besar, bagi membantu apa jua usaha yang menyokong pencarian MH370 dan keadilan buat MH17.

Penulis kurang pasti apa bentuk bantuan yang akan disalurkan oleh syarikat milik kerajaan itu, namun penulis percaya ianya untuk kebaikan. Jadi penulis sokong 100 peratus.

Keputusan membatalkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini sebenarnya sudah didahului oleh Perdana Menteri dan jemaah Kabinet beliau.

Dalam keadaan ratusan ahli keluarga, rakan taulan dan jiran tetangga mangsa kedua-dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu sedang berduka, memang agak janggal untuk kita terlebih bergembira.

Tidak salah menyambut hari raya namun dalam keadaan hampir seluruh negara berkabung dengan kehilangan nyawa 43 rakyat Malaysia dan lebih 200 lagi nyawa rakyat pelbagai negara yang melayang ketika menaiki pesawat nasional kita, yang terhempas ditembak eloklah sambutan kali ini secara ala-kadar sahaja.

Lagipun memang menjadi pemandangan biasa di rumah terbuka, juadah terhidang lebih segalanya daripada biasa. Akibatnya, tuan rumah terlebih belanja, tetamu yang datang terlebih makan, malah lebih menyedihkan makanan yang terlebih terpaksa dibuang pula.

Maka elok sangatlah acara rumah terbuka besar-besaran dibatalkan sahaja bagi mengelakkan pembaziran. Kalau hendak diadakan juga, biarlah berpada-pada.

Sebagai umat manusia yang punya perasaan, kita tentu sahaja tidak sanggup membazir makanan dan bermewah-mewahan di saat-saat saudara seagama kita di Rakhine, Myanmar dan Gaza, Palestin, sedang menghadapi trauma akibat kekejaman musuh.

Sementara Khazanah mahu menyalurkan bajet majlis hari raya kepada dana MH370 dan MH17, apa kata syarikat dan agensi lain menyumbangkannya pula kepada Tabung Rohingya mahupun Dana Palestin?

Benar, sehingga ke saat ini tentera Israel terus membedil Gaza. Dan kita percaya selepas gencatan senjata pun rejim Zionis akan tetap mencari alasan untuk menghalakan muncung senjata dan peluru berpandu mereka ke Gaza. Sekolah Palestin, masjid mereka dan rumah yang baru dibina mungkin menjadi sasaran bom Israel lagi, namun itu tidak patut membuatkan kita berhenti membantu rakyat Palestin.

Rakyat Malaysia yang prihatin dan berhati manusia tidak akan sekali-kali membiarkan Palestin berjuang bersendirian melawan peperangan yang jelas tidak adil ini.

Walau tidak mampu mengangkat senjata, sekurang-kurangnya kita membantu menghulur seringgit dua untuk meringankan beban mereka di sana.

Mereka perlukan makanan, air dan bekalan ubat-ubatan.

Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sejak serangan darat Israel, lebih 350,000 rakyat Palestin meninggalkan rumah masing-masing menuju ke kem-kem pelarian, sekolah dan rumah ibadat termasuk masjid dan gereja untuk mencari perlindungan.

Itu pun mereka sedar tidak mampu menyelamatkan diri daripada menjadi sasaran kezaliman tentera Zionis.

Buktinya kelmarin, sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza - yang sepatutnya menjadi zon selamat dan bebas perang - tetap dibedil sehingga mengorbankan 10 orang yang rata-ratanya kanak-kanak.

Tidak dapat dibayangkan perasaan mereka. Yang pasti, penduduk Palestin kini hidup dalam ketakutan sepanjang masa. Anak kecil yang dipegang tangannya pagi ini, mungkin terpaksa dipapah berlumuran darah petangnya. Atau mungkin sahaja tertimbus dalam runtuhan bangunan yang menjadi bumbung tidur pada malamnya.

Hakikatnya, tidak ada satu tempat pun yang selamat di bumi Gaza yang tinggal sekangkang kera ini. Tidak ada, selagi keganasan rejim haram Israel tidak dihentikan.

Kita menangisi nasib penumpang dan anak kapal MH370 dan MH17. Kita bersimpati dengan ahli keluarga, waris dan kenalan mereka. Kita mengutuk perbuatan pihak yang tidak berperikemanusiaan menembak pesawat MH17. Kita lega kerana dunia melalui PBB berjanji mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan.

Pada masa sama, kita juga menangisi nasib Palestin di Gaza. Kita bersimpati dengan rakyat sah bumi Gaza itu yang ditindas dan diperangi secara zalim oleh tentera Israel. Kita mengutuk perbuatan rejim Zionis membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. Namun kita tertanya-tanya kenapa dunia melalui PBB tidak berjanji mengheret Zionis yang terang-terang menzalimi rakyat Palestin, mencabuli konvensyen antarabangsa dan hak asasi manusia ke muka pengadilan.

Kita betul-betul merasa sengkak di dada.

Memang wajarlah kita tidak mengadakan rumah terbuka, sebab tahun ini kita memang tidak ada mood untuk bersuka ria. Coretan Marhaen: Utusan/Rencana/20140805

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments