mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kekalkan tarbiah Ramadan

RAMADAN, tetamu istimewa lagi mulia yang membawa limpahan kurniaan, keampunan dan keuntungan telah pun berlalu meninggalkan kita. Meneladani amalan para sahabat dan generasi Islam terdahulu, doa seharusnya dipohon kepada Allah SWT agar segala ibadah dan amal saleh yang telah dilaksanakan diterima oleh-Nya. Dengan demikian diharap kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang dianggap berjaya (al-fa'izin) dan berupaya kembali kepada fitrah yang suci (al-'a'idin).


Seringkali ditegaskan bahawa Ramadan merupakan madrasah terbaik. Tarbiahnya begitu berkesan dan menginsafkan, andai sepenuhnya dihayati serta dilaksanakan. Ramadan mendidik Muslim menjadi insan yang sentiasa berjuang menentang dan mengawal nafsu. Justeru lahirlah sifat-sifat mulia seperti sabar, tekun dan disiplin, memiliki empati yang tinggi terhadap orang lain, serta cenderung kepada kesatuan dan sebaliknya membenci perpecahan.

Dengan kecemerlangan tarbiahnya itu maka apa pun juga ujian yang menimpa pasti dapat dihadapi dengan penuh kesabaran, kematangan, dan kebijaksanaan.
AMALAN bermunajat memohon keampunan Allah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan
perlu dikekal dan diteruskan pada Syawal serta bulan-bulan seterusnya. - Gambar hiasan

Ramadan yang baru berlalu memperlihatkan ujian besar yang menguji rakyat Malaysia umumnya dan umat Islam khususnya. Salah satunya ialah serangan Israel yang mengorbankan dan mencederakan sejumlah besar penduduk Palestin.

Sebagaimana lazimnya orang awam; kanak-kanak dan wanita turut menjadi sasaran. Buat ke sekian kalinya Israel memberikan alasan serangan kejam mereka itu atas dasar pertahanan diri. Walhal seluruh dunia memaklumi pembohongan mereka demi mewajarkan perlakuan keji yang melewati batas-batas kemanusiaan.

Pertahanan diri apakah yang dimaksudkan? Serangan yang kononnya bertujuan memusnahkan tempat pelancaran roket Hamas sebaliknya ternyata membabitkan kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti penempatan, hospital dan masjid di Gaza.

Malah dilihat dari sudut teknologi persenjataan, jelas ia memihak kepada bangsa yang sejak berzaman menyeksa dan membunuh selain merampas tanah milik rakyat Palestin.

Justeru setiap serangan yang dilancarkan pasti berhasil menambah angka korban dan yang tercedera. Kehilangan nyawa dan kecederaan yang dialami pula begitu tragis lagi menyayat hati. Justeru tidak hairanlah jika pembohongan Israel juga tersingkap melalui perbezaan besar angka korban antara kedua-dua pihak.

Kedukaan yang melanda tatkala mengenang penderitaan saudara seislam di negara yang digelar penjara terbesar dunia itu berganda akibat tragedi yang menimpa pesawat MH17.

Sebagaimana yang berlaku dalam kehilangan penuh misteri pesawat milik negara sebelumnya, nahas yang melanda kali kedua ini sekali lagi mengingatkan kita akan kekuasaan Allah SWT. Perancangan jahat, tindakan tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan juruterbang, anak kapal serta penumpang-penumpang pesawat berkenaan diizinkan-Nya berlaku bagi menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya.

Sebagaimana diungkap al-Quran, pernyataan keimanan tidak memadai selagi tidak teruji melalui musibah yang ditimpakan. Ujian yang melanda itulah juga akan memperlihat tahap pergantungan golongan beriman kepada Allah yang Maha Berkuasa. Pergantungan penuh dan keyakinan terhadap Allah SWT menjamin pertolongan-Nya dalam menghadapi kesukaran.

Justeru, Syawal seharusnya disambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Insaf akan segala dosa yang dilakukan dan berazam penuh untuk tidak membiarkan diri leka lalu mengulanginya semula.

Juga syukur akan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang sentiasa mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya dan mengurniakan ruang yang seluas-luasnya kepada mereka untuk meningkatkan keimanan.

Hal ini bertepatan dengan peringatan yang diberikan ulama; "Sesungguhnya hari raya bukanlah bagi orang memperindah pakaian dan kenderaan semata-mata namun hakikatnya hari raya ialah bagi sesiapa yang diampunkan dosa-dosanya. Hari raya itu juga bukanlah untuk orang memakai pakaian yang baharu namun sesungguhnya hari raya itu adalah untuk sesiapa yang keimanannya bertambah-tambah."

Oleh yang demikian, hendaknya sambutan Syawal diisi dengan ibadah dan amalan yang diredai Allah. Dengan kata lain, roh Ramadan sentiasa disemarakkan dan dikekalkan. Seandainya Ramadan menggerakkan kita untuk sentiasa mendapatkan keredaan dan keampunan Allah maka demikian juga pada bulan-bulan yang lain. Sekiranya pula Ramadan menjadi pemangkin dalam mengeratkan hubungan sesama kita, maka begitulah sewajarnya diteruskan pada bulan-bulan seterusnya.

Sayang sekali kita yang terpilih untuk dikurniai bulan semulia Ramadan tidak memanfaatkan tarbiahnya. Dinilai dari sudut realitinya, umat Islam masih belum berjaya sepenuhnya beristiqamah melaksanakan hasil tarbiah Ramadan dalam kehidupan. Perhatikan sahaja pada tahap perpaduan antara kita. Ketidaksatuan jelas terlihat. Malah sebahagian besar pemimpin negara Islam diselubungi sifat bacul lalu menyebabkan negara mereka terheret dalam kancah pergolakan selain tunduk di bawah telunjuk kuasa-kuasa besar.

Dalam serangan terbaru ke atas rakyat Palestin, tidak kedengaran suara keras OIC, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mahupun Liga Arab. Hanya sebilangan kecil negara seperti Turki dan Malaysia yang lantang membela nasib rakyat yang sekian lama terpenjara dalam kepungan yang menyeksakan itu.

Bagaimanapun, kegigihan yang ditunjukkan Malaysia dan Turki itu tidak mustahil akhirnya berjaya mengasaskan kesepakatan antara negara Islam. Kesepakatan yang akhirnya kembali mengikat teguh hampir 60 buah negara berkenaan.

Hal ini bukanlah sesuatu yang jauh daripada kenyataan. Kesabaran, kejituan dan kesederhanaan dalam tindakan, kebijaksanaan dalam berdiplomasi dan kesepakatan telah membantu Malaysia mencatat kejayaan dalam beberapa peristiwa penting. Antaranya rundingan dengan pihak yang menguasai kawasan nahas pesawat MH17. Harus turut diingat bahawa kejayaan rundingan sedemikian tidak mungkin dicapai tanpa bantuan daripada Allah SWT. Dalam hubungan ini, al-Quran merakamkan bagaimana kesabaran dan pegangan teguh agama merupakan syarat-syaratnya.

"Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh pada agama Allah)." (Surah al-Baqarah 2:214)

Kesepakatan yang kelak terbina itu hendaklah sentiasa dipertahankan. Perbuatan merungkai kesepakatan dan menghancurkan kesatuan amatlah keji lagi sia-sia. Al-Quran memberikan peringatan melalui perumpamaan yang amat mendalam maksudnya; "Dan janganlah kamu menjadi seperti wanita yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya dengan kuat teguh." (Surah al-Nahl 16:92).

Semoga Syawal membawa sinar kebahagiaan buat ummah seluruhnya; kemenangan bermakna bagi perjuangan panjang saudara-saudara kita di bumi Palestin. Pun juga ganjaran serta kurniaan bagi menggantikan kehilangan yang dideritai anggota keluarga saudara-saudara kita dalam kedua-dua tragedi berkaitan pesawat milik negara.

Setulus doa dipohon agar roh saudara-saudara kita yang terkorban dalam tragedi menyayat hati di bumi Torez itu dirahmati Allah Yang Maha Pengasih; pemimpin dan rakyat negara ini diberikan kekuatan bagi menghadapi ujian mendatang yang kuat menduga dan negara kekal terpelihara di­naungi keredaan-Nya.   Wan Roslili Abd. Majid: Utusan/Rencana/20140805

Tags: ramadhan, tarbiah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments