mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hikmah al-Quran: Bani Israel umat sombong, tak pernah berpuas hati

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami). Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 55)

Ayat itu antara rangkuman ayat yang menceritakan begitu banyak nikmat Allah SWT kurniakan kepada Bani Israel tetapi sayang sekali nikmat berkenaan tidak diterima dengan penuh kesyukuran tetapi diterima penuh kedegilan dan kesombongan.


Justeru, Bani Israel tetap Bani Israel, mereka mempunyai pemikiran bersifat kebendaan dan terlindung daripada rahsia ghaib menyebabkan mereka menuntut untuk melihat Allah SWT secara terang-terangan. Bagi mereka itulah satu-satunya jalan untuk mengenal Allah SWT.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dialah Yang Maha Halus (melayan hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-An’aam, ayat 103)

Hakikatnya, ketidakmampuan mata melihat Allah SWT sebenarnya antara tanda keagungan dan kebesaran Allah SWT. Sebenarnya untuk merasakan keberadaan Allah SWT, kewujudan serta keagungan-Nya, mereka boleh melihat proses penciptaan manusia dan alam ini. Ini kerana melihat Allah SWT adalah di luar kemampuan manusia.

Bukti lain yang menunjukkan kebesaran Allah SWT serta nikmat melimpah ruah tidak dapat mengubah perangai hodoh Bani Israel yang enggan beriman. Ahli tafsir menyebut, mereka yang membuat tuntutan itu ialah kumpulan 70 orang iaitu golongan yang terpilih daripada Bani Israel.

Mati disambar petir

Akibat keceluparan dan kesombongan akhirnya mereka disambar petir sehingga semuanya mati bergelimpangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 56)

Sheikh Muhammad Abduh mentafsirkan bangkit selepas mati ini dengan beroleh keturunan yang ramai.

Peristiwa ini membayangkan perjuangan nabi amatlah getir, sebahagian mereka mahu ditunjukkan perkara luar biasa dan sebahagian pula memberi syarat supaya dapat melihat dengan mata sendiri.

Allah SWT menceritakan kisah ini dan ditujukan kepada orang Yahudi waktu ayat ini diturunkan untuk menunjukkan kebahagiaan dan kesenangan individu saling berkait rapat dengan kebahagiaan dan kesengsaraan semua orang.

Setiap orang akan mengalami bencana apabila perbuatan dosa sudah merebak ke seluruh umat walaupun dirinya tidak melakukan demikian.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (Surah al-Anfal, ayat 25)

Tabiat yang melampau, suka menceroboh dan merosakkan masyarakat nampaknya telah sebati dengan orang Yahudi. Kerana itu mereka dibenci di mana sahaja mereka berada, mereka diusir, dibunuh beramai-ramai dan diburu.

Pada hari ini pun, mereka terus melakukan kerosakan, merampas negara yang bukan kepunyaan mereka, mengebom kediaman orang Palestin, membunuh kanak-kanak, wanita dan menubuhkan pelbagai pertubuhan sulit untuk merampas bumi Palestin serta mengusir penduduknya.

Bani Israel adalah umat yang tidak pernah berpuas hati dan tidak tahu bersyukur. Mereka sanggup melakukan pelbagai tindakan yang menyulitkan Nabi Musa dan nabi selepas itu. Maka tidak hairanlah mengapa keturunan mereka melakukan tindakan kekejaman yang rakus dan mengekalkan penyelewengan nenek moyang mereka.

Ruang perbaiki diri

Umat Nabi Muhammad SAW diberi ruang untuk memperbaiki diri dan tidak akan dihukum seperti disambar petir seperti terjadi kepada Bani Israel. Perintah Allah SWT mempunyai hikmah yang besar dan ia hendaklah dijunjung bagi mencapai kehidupan diberkati.

Perangai Bani Israel dan orang Yahudi didedahkan al-Quran supaya umat ini dapat berhadapan dengan mereka dan tidak terpedaya dengan tipu helah mereka. Berita Harian Agama 2014/08/09 - 04:22:54 AM
Tags: al-quran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments