mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ziarah di luar musim raya wajar jadi budaya

Amalan eratkan silaturahim, semarak perpaduan masyarakat berbilang bangsa

Tautan silaturahim dan ukhuwah sesama umat amatlah ditekankan dalam ajaran agama Islam. Umatnya digalakkan sentiasa berusaha merapatkan silaturahim. Ziarah menziarahi adalah salah satu cara untuk menunjukkan rasa kasih sayang dan mengambil berat sesama umat.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)



Konsep rumah terbuka hidupkan budaya berziarah. - Gambar hiasan
Bagi masyarakat majmuk di Malaysia, ziarah-menziarahi adalah satu budaya yang diamalkan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Riwayat at-Tirmizi)

Sepanjang tahun, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum meraikan perayaan bangsa dan agama. Sekarang ini umat Islam meraikan Aidilfitri dan sudah semestinya semua kaum di Malaysia akan turut mendapat cuti serta mengambil peluang menziarahi kawan atau jiran beragama Islam.

Apabila tiba musim perayaan, masyarakat mula berbicara mengenai ziarah menziarahi. Padahal, konsep ziarah bukan hanya tertakluk kepada musim perayaan saja, malah ia harus menjadi budaya dan amalan masyarakat kita.
Memanglah ramai yang bersetuju apabila dikatakan musim perayaan paling sesuai untuk kita ziarah menziarahi, tetapi jika ia dilakukan di luar musim perayaan, ia akan lebih mengeratkan lagi silaturahim sesama rakyat Malaysia.

Secara asasnya, konsep ziarah menziarahi tidak sepatutnya diamalkan semasa cuti perayaan. Jika kita dapat menggunakan masa hujung minggu menziarahi sahabat handai dan saudara mara, ini dapat mengeratkan lagi persaudaraan sesama kita.

Ziarah banyak membawa rahmat dan kebaikan kepada masyarakat majmuk antaranya untuk menyambung silaturahim. Melalui amalan ziarah, yang jauh dapat didekatkan. Perhubungan yang dulunya mula renggang akibat kesibukan dengan urusan kerja dan keluarga mula menjadi rapat kembali.

Bagi pihak yang dahulunya bermusuhan, dengan ziarah-menziarahi kemungkinan besar perbalahan akan terlerai. Banyak perkara yang pada mulanya susah menjadi mudah kerana perbincangan semasa ziarah akan merungkaikan permasalahan itu.

Jika konsep ziarah dibudayakan dalam masyarakat majmuk, nescaya masyarakat akan aman dan harmoni. Konsep rumah terbuka dalam kalangan masyarakat di musim perayaan menggalakkan kita bercampur gaul dengan kaum lain. Contohnya semasa rumah terbuka Aidilfitri, kaum Cina dan India akan dapat menziarahi dan bersama merayakannya, dengan ini keamanan negara akan dapat dikekalkan.

Ziarah juga bererti memberi penghormatan kepada yang diziarahi. Penghormatan yang diberikan tidaklah disebut dengan kata-kata tetapi dirasai oleh pihak yang diziarahi. Kebiasaannya, yang muda akan menziarahi yang tua. Ini menunjukkan adab yang diterapkan untuk menghormati golongan lebih tua.

Menziarahi rumah terbuka semasa musim perayaan juga dapat memupuk semangat menghormati sesama kaum, saling kenal mengenal serta dapat mengetahui budaya agama orang lain dengan lebih dekat.

Hampir kesemua aktiviti yang dijalankan mempunyai peraturan serta adabnya. Ketika berziarah, alangkah baiknya jika dimulakan dengan niat yang baik, contohnya untuk bertanya khabar. Waktu yang sesuai juga perlu dipilih untuk berziarah.

Kebanyakan kita lebih selesa jika diberitahu terlebih dulu sebelum datang berziarah. Amalan ini banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Ada ketikanya waktu yang dirasakan sesuai untuk kita, tidak sesuai untuk orang yang diziarahi. Oleh itu, lebih baik kita dapat menghubungi sebelum pergi berziarah.

Adab kedua, mulakan dengan niat kerana Allah SWT. Niat untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Adab yang ke tiga haruslah mulakan dengan salam. Jika seseorang itu tidak menjawab salam selepas tiga kali, maka kita dinasihatkan supaya meninggalkan rumah itu. Ini mungkin kerana tuan rumah itu tidak bersedia menerima tetamu atau sibuk dengan hal keluarga yang lebih penting.

Adab seterusnya adalah membawa hadiah atau buah tangan. Adalah baik sekiranya pengunjung membawa sedikit hadiah atau buah tangan kerana diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan menyayangi antara satu sama lain.”

Terdapat banyak lagi adab yang perlu kita halusi dalam berziarah. Oleh itu, marilah kita bersama mengimarahkan suasana ziarah supaya silaturahim yang tercipta dapat dikekalkan dan keamanan dikecapi semua golongan masyarakat di Malaysia.

Dr Noor Raha Mohd Radzuan ialah Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Berita Harian Agama 2014/08/11 - 02:42:29 AM
Tags: ziarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments