mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kanun Syariah: Lafaz cerai tanpa sedar

Isteri adalah kakitangan swasta yang meraih pendapatan mencecah RM5,000 sebulan sementara saya hanya memperoleh gaji kasar sekitar RM2,400 sebulan.

Soal gaji ini dibincangkan sejak kami belum bernikah.

Namun, keadaan berubah sejak isteri melahirkan anak ketiga kami.

Oleh kerana isteri seorang yang sangat berdikari, dia kerap membeli semua keperluan rumah termasuk susu dan lampin anak.

Namun ada masanya isteri seolah-olah mengungkit susah payahnya melakukan banyak perkara.

Sebagai suami, saya cuba bersabar dan percaya mungkin isteri berdepan tekanan di tempat kerja dan tidak mendapat cukup rehat di rumah.

Begitupun saya juga terguris setiap kali isteri ‘berkira’ dengan apa yang diusahakan untuk keluarga kami.

Pernah satu ketika kami bertekak hingga isteri menimbulkan isu cerai.

Kerana marah saya mencabar isteri untuk menuntut cerai di mahkamah dengan kata-kata ‘nak cerai, cerailah. Pergi minta sendiri’.

Tanpa saya sedar, kata-kata itu tambah melukakan hati isteri.

Kini, hampir sebulan isteri bersikap dingin dan saya sendiri gagal memujuknya untuk kembali ceria seperti dulu.

Apakah kata-kata saya itu menyebabkan jatuh talak?


JAWAPAN :

Sebagaimana panda­ngan saya sebelum ini mengenai isu perceraian, suka saya ulang bahawa perceraian yang dibuat dengan hawa nafsu dan tanpa sebab diharuskan syarak adalah haram dan amat dibenci oleh Allah SWT.

Sebagai seorang suami yang memegang amanah Allah, kita sewajarnya tidak terpengaruh dengan sebarang desakan ataupun alasan yang remeh untuk terus menceraikan isteri sama ada secara lafaz sorih, kinayah mahupun taklik.

Dalam masalah talak ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan jika mereka berazam (tetap hati untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 227)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak me­nyukai orang-orang yang memilih jalan talak sedangkan mereka mempunyai pilihan untuk kembali menjalinkan hubungan pernikahan.

Daripada penerangan ring­kas yang diberikan oleh saudara mengenai lafaz cerai tersebut, saya berpandangan bahawa saudara belum melafazkan lagi talak terhadap isteri.

Apa yang berlaku adalah suatu cadangan daripada saudara supaya isteri memfailkan kes ke mahkamah jika dia inginkan perceraian.

Oleh yang demikian, saudara dan isteri masih dalam ikatan perkahwinan yang sah dan masing-masing mestilah melaksanakan tanggung—jawab sebagaimana ketetapan hukum syarak.

Perbuatan ungkit-meng—ungkit antara suami isteri adalah tidak baik dan boleh menyebabkan pasangannya berkecil hati serta boleh menimbulkan perbalahan yang berpanjangan.

Jika perbuatan seumpama ini tidak dihentikan segera maka ia akan berakhir dengan kehancuran rumah tangga.

Apa yang boleh saudara lakukan ialah dengan memujuk semula isteri dan minta maaf jika saudara membebankan dirinya untuk menanggung keperluan rumah tangga akibat kekura­ngan pendapatan saudara.

Pada masa sama, saudara hendaklah berusaha dengan segala kudrat yang ada untuk mencari pendapatan tambahan bagi mencukupkan keperluan rumah tangga dengan sewajarnya.

Ini penting supaya isteri melihat bahawa saudara sebenarnya tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya untuk menampung perbelanjaan keluarga. myMetro Nuansa 2014/08/01
Tags: cerai
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment