mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kanun Syariah: Suami mahu jaga anak

Saya ingin bertanya lebih lanjut mengenai hak hadhanah ke atas anak-anak saya. Anak kembar perempuan saya baru berusia setahun sembilan bulan. Saya memfailkan kes cerai memandangkan sudah tidak tinggal bersama dengan suami selama lima bulan.

Bukan saya melarikan diri tetapi suami yang hantarkan saya ke rumah emak saya.

Apabila saya failkan kes cerai tanpa mengambil peguam, suami pula pasang peguam. Dia bersetuju untuk melepaskan saya dengan syarat anak-anak dia ambil.

Saya tidak bersetuju kerana sejak anak-anak saya dilahirkan hinggalah mencapai umur sekarang, dia menghabiskan masa beberapa jam saja bersama anak-anak, sedangkan saya 24 jam bersama dengan mereka.


Bukan sengaja mahu bercerai tetapi wanita mana yang sanggup apabila setiap kali bergaduh, dia memaki hamun dengan perkataan kasar, sepak terajang umpama makanan untuk dia dan anak-anak pula sering menjadi mangsa kemarahannya.

Suami juga masih dengan perangai lamanya yang kaki perempuan.

Ketika ini saya masih belum bekerja tetapi Insya-Allah akan mula bekerja apabila perkara ini dapat diselesaikan Ogos ini. Justeru, adakah saya masih dapat hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak saya? Lyn, Melaka


Berdasarkan fakta ringkas, saya berani mengatakan bahawa puan berhak mendapat perceraian daripada mahkamah melalui jalan taklik atau fasakh.

Ini kerana alasan yang dinyatakan seperti perbuatan suami yang meninggalkan puan lebih daripada empat bulan qamariah serta kejadian memaki hamun dan memukul puan amat menepati hukum syarak dan peruntukan undang-undang bagi membolehkan sabitan taklik atau fasakh diperintah­kan oleh mahkamah.

Namun, ia turut bergantung kepada bukti yang dikemukakan puan sewaktu perbicaraan di mahkamah kelak.

Saya melihat bahawa soal penjagaan anak tidak menjadi masalah untuk puan mendapatkan perintah mahkamah agar penjagaan anak (hadhanah) diserahkan kepada puan selaku ibu kerana anak itu masih kecil dan puan juga tidak hilang kelayakan sebagai penjaga (hadhinah).

Bagi saya, tidak ada alasan untuk suami meletakkan syarat perceraian dengan menyerahkan penjagaan anak kepadanya kerana ia adalah dua isu yang berbeza dan dibicarakan di mahkamah yang berbeza.

Malah, saya berpendapat tindakan suami puan itu hanya sebagai suatu penganiayaan terhadap puan selaku isterinya dan juga ibu kepada anak-anak itu.

Ini adalah suatu penyalahgunaan hak dan kedudukannya selaku suami yang mempunyai kuasa talak apabila cuba menggantung perceraian dengan cara memudaratkan akal pemikiran dan emosi puan selaku isteri dan ibu.

Soal kemampuan dari segi kewangan puan tidak akan menjadi pertimbangan mahkamah kerana tanggungjawab menyara nafkah anak adalah terletak ke atas bahu bapa.

Puan boleh membuat tuntutan nafkah anak terhadap suami puan pada bila-bila masa.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah puan perlu melantik seorang peguam untuk membantu puan di mahkamah.

Soal kewangan bukanlah halangan kepada puan untuk mendapatkan keadilan di mahkamah kerana puan boleh dapatkan bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman tanpa dikenakan bayaran. myMetro Nuansa 2014/07/18
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments