mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pentingnya toleransi

Baru-baru ini ada seseorang yang menghina dan mengutuk agama Islam kerana gangguan bunyi pada waktu pagi. Adakah ia wajar?

Jawapan:

Penulis tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di sesuatu kawasan hingga berlakunya kejadian tersebut. Namun, antara asas keharmonian hidup adalah sikap toleransi dan hormat-menghormati. Sikap ini dizahirkan dengan menghormati agama masing-masing.

Oleh itu, mana-mana agama tidak boleh dihina. Islam tidak boleh dihina, begitu juga dengan agama Buddha, Kristian, Hindu dan sebagainya. Orang bukan Muslim tidak boleh menghina agama Islam, begitu juga orang Muslim tidak boleh menghina agama bukan Islam. Ini kerana wahyu al-Quran menegah amalan menghina, mencaci, mengutuk dan mencerca mana-mana agama.

Jika orang Muslim tidak bersetuju dengan agama Kristian, Hindu dan sebagainya maka jalannya bukanlah dengan menghina agama tersebut tetapi dengan jalan dakwah. Dakwah ini hendaklah menggunakan kaedah hikmah, nasihat yang baik dan perdebatan yang lebih baik.

Menghormati syiar agama adalah penting. Laungan azan dan takbir raya adalah sebahagian syiar agama Islam. Maka kesemua masyarakat sewajibnya menghormati perkara ini. Mungkin bising bagi sesetengah orang, namun sikap toleransi adalah penting. Begitu juga dengan amalan budaya Hindu yang membawa kavadi di jalan tertentu ke kuil mereka. Jalan menjadi sesak, buah kelapa dipecahkan dan sebagainya.

Bagi sebahagian masyarakat, mereka berasa terganggu. Namun sikap toleransi adalah penting. Kita boleh menjauhi jalan tersebut agar tidak berlaku kesesakan. Begitu juga keadaan jalan raya sekitar masjid pada waktu solat Jumaat antara jam 1 hingga 2 petang. Jalan sesak sebab banyak kereta terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan. Ada insan yang tidak selesa. Maka sikap toleransi dan menghormati adalah amat penting.

Sikap menghina mana-mana agama mestilah dikenakan tindakan yang tegas. Penghinaan terhadap agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya hendaklah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tanpa memilih bulu dan mengira pangkat. Matlamat kita adalah pembinaan negara yang bertamadun dan harmoni. Jika tindakan menghina mana-mana agama dibiarkan adalah amat dibimbangi sikap ini akan menjadi tabiat dan gejala dalam masyarakat. Akhirnya negara akan runtuh. Utusan/Bicara_Agama/20140815

Tags: toleransi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments