mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kuasa minda dan corak kehidupan

Kita sering mendengar kerap orang yang telah berjaya berkata, memang sukar untuk mencapai kejayaan atau kemenangan, tetapi lebih sukar lagi untuk mengekalkan kejayaan atau kemenangan yang telah kita capai itu. Kita tidak sering berada di atas, kerana hidup ini ibarat roda yang berpusing, sekejap di atas sekejap di bawah bergantung pada situasi.

Tip untuk terus mengekalkan kejayaan atau kemenangan. Pertama, jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian yang kita telah miliki. Setelah bersyukur kerana Allah mengizinkan kita mencapai kejayaan atau kemenangan itu, teruskan momentum usaha kita.

Jadikan kejayaan itu sebagai pendorong untuk kita melipatgandakan usaha dengan lebih bersemangat. Rasa cepat berpuas hati dengan pencapaian yang kita miliki, menyebabkan kita tidak mampu untuk mengekalkan tahap produktiviti yang tinggi.

Kedua, jangan sesekali berfikir atau beranggapan bahawa kita sudah berusaha sehabis-habis baik dan kita sudah melakukan segala-galanya. Setiap masa dan setiap hari penting untuk kita membina kejayaan demi kejayaan, dan anggaplah sesuatu kejayaan itu merupakan permulaan untuk mengecapi kejayaan seterusnya.

Ketiga, tanamkan semangat menyukai cabaran dan menerima setiap tugasan sebagai sesuatu yang menyeronokkan bukan satu bebanan. Dalam kita melaksanakan tugas atau menjalankan kehidupan kita, adakah kita berasakan kehidupan 'berlaku ke atas' kita atau kehidupan 'berlaku melalui' kita?

Kalau kita beranggapan bahawa kehidupan 'berlaku ke atas' kita, sebenarnya kita berasakan diri kita menjadi 'mangsa'. Tetapi, kalau kita beranggapan, kehidupan 'berlaku melalui' kita, maknanya kita membuatkan kehidupan berlaku dengan terkawal dan kitalah yang mengawalnya. Segala kerja dan kehidupan dilakukan atau dilalui secara suka rela, serta tiada sesiapa pun yang memangsakan atau menjadi mangsa.

Sama juga keadaannya jika dalam sesuatu pekerjaan, kita berada dalam situasi yang bagaimana? Adakah kita berada dalam situasi 'kena melakukan' kerja atau kita 'melakukan kerja'? Jika kita beranggapan, 'kena melakukan' kerja, bermakna pekerjaan itu berlaku dalam perasaan terpaksa dan tidak wujud suasana yang menyeronokkan. Tetapi, jika situasi kerja itu kita anggap sebagai 'melakukan kerja,' bermakna dorongan semangat bekerja itu datangnya daripada dalam diri kita. Barulah timbul perasaan sukakan cabaran dalam pekerjaan; semakin mencabar semakin besar usaha untuk melaksanakannya.

Setiap kerja yang kita lakukan dengan emosi yang positif akan memberikan hasil kehidupan yang positif. Formulanya, 'fikiran menghasilkan emosi. Emosi menghasilkan tindakan. Tindakan menghasilkan tindak balas daripada luar'. Contohnya jika kita bertemu dengan orang kita senyum kepadanya, orang itu akan membalas senyuman kita.

Mengawal

Oleh sebab kita sendiri yang mengawal fikiran dan emosi kita, maka kitalah yang menentukan sama ada sesuatu kerja yang kita lakukan atau kehidupan yang kita lalui itu adakah membahagiakan kita atau membebankan kita. Fikiran yang baik akan menghasilkan emosi yang baik, tindakan yang baik dan akhirnya mendapat hasil kehidupan yang baik, (ketenangan, kebahagian, kesihatan dan kekayaan).

Dunia dalaman kita mempengaruhi dunia luaran kita. Maknanya, apabila kita mahukan keseronokan dalam bekerja atau kehidupan, maka dunia dalaman iaitu fikiran dan emosi kita mesti positif. Apabila berasakan 'dunia berlaku' ke atas kita, bermakna kita tidak ada kawalan atau tidak dapat mengawal keadaan dan persekitaran.

Mengapakan kita tidak dapat mengawalnya? Sebab kita tidak menggunakan fikiran untuk mengawal emosi dan tindakan kita, hingga kita tersilap dalam membuat pilihan. Contohnya antara menonton berita sensasi dengan menonton rancangan berilmu, yang mana menjadi pilihan kita? Jika kita orang yang mengawal fikiran, kita akan memilih tontonan rancangan berilmu sebagai keutamaan.

Hal ini adalah kerana, orang yang kehidupan 'berlaku melalui' kita, akan mengambil tanggungjawab untuk memilih pemikiran kita. Kita menggunakan fikiran untuk mengawal emosi kita, memilih kawan yang baik-baik bukan 'manusia toksid' yang penuh dengan fikiran negatif, memilih bahan bacaan dan tontonan kita yang membina minda positif. Demikian juga dalam pemilihan pemakanan yang menentukan keadaan fizikal kita, orang yang kehidupan 'berlaku melalui' kita, akan memilih makanan sihat bukan makanan yang sedap. Demi jaminan kehidupan yang sihat.

Kekuatan manusia sebenarnya terletak pada roh bukan fizikal; kalau roh kita sihat fizikal akan sihat, kalau roh kita tenang fizikal kita akan tenang. Dari segi saintifik minda ada dua lapis, iaitu minda sedar dan minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa). Di manakah minda kita? Kalau kita gembira adakah minda kita gembira? Sebenarnya yang gembira ialah hati kita. Oleh sebab itulah dalam konsep pemikiran 'Reset Minda' ditekankan betapa pentingnya kita 'celik mata hati'.

Sebab orang yang tidak berjaya (buta mata hatinya/orang yang kehidupan 'berlaku ke atas' kita ) apa-apa yang kita lihat, dengar dan percaya dan terus masuk ke dalam mindanya. Tetapi, orang yang berjaya (celik mata hati/orang yang membuat kehidupan 'berlaku melalui' kita), tidak akan ambil peduli apa-apa yang berlaku pada persekitaran. Yang penting ialah pilih fikiran kita.

Sesungguhnya kehidupan kita ini bermula daripada kawalan minda. Jika kita pandai mengawal fikiran kita, emosi akan terjaga, tindakan akan terkawal. Seandainya kita sudah tersilap sekalipun dalam membuat pilihan, kita tidak akan terus terjebak atau hanyut dengan kesilapan pilihan kita. Dengan kawalan fikiran kita akan cepat boleh membetulkan kesilapan, malah dengan kawalan minda, kita tidak akan rosak walaupun kita telah berada dalam situasi yang boleh merosakkan kita.

Jadilah kita seperti ikan di lautan, tidak menjadi masin biarpun sejak kecil hidup di dalam air laut yang masin. Janganlah kita menjadi ikan di darat, setelah digaramkannya maka masinlah ikan tersebut. Jom audit diri, kita mahu menjadi manusia yang mana satu; kita dipengaruhi oleh persekitaran atau kita yang mempengaruhi persekitaran? Ingatlah, kita gembira bukan sebab dunia ini betul, tetapi dunia ini menjadi betul sebab kita gembira. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak". Dr. Muhaya Mohamad Utusan/Rencana/20140817

Tags: kehidupan, minda
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments