mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan balas dendam

"Pada hari raya baru-baru ini saya berkesempatan bertemu teman lama dan daripadanya saya dapat tahu cara yang lebih mudah untuk meluahkan masalah saya. Setelah memberi sedikit maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), saya dihubungi penulis, maka terlaksanalah hasrat saya untuk memberi sedikit maklumat, pandangan dan idea untuk wanita senasib saya supaya tidak tertipu lagi,’’ itu cerita Mimi Hashimi dalam e-mel pendeknya dan ketika kami berbual melalui telefon.

"Sebenarnya masalah isteri ditipu dengan sengaja atau tanpa niat suaminya sudah banyak berlaku, bukan kalangan wanita Muslim sahaja, bukan Muslim pun banyak. Tetapi mereka terikat dengan undang-undang, suami tidak boleh lepas daripada memberi nafkah kepada anak-anaknya, walaupun mereka tahu suaminya ada perempuan simpanan. Berbeza dengan nasib wanita Islam ada undang-undang, ada perintah, ada hukuman, tetapi suami masih terlepas daripada beri nafkah kepada anak-anak.

"Lupakan pasal nafkah, saya ingin bercerita pasal kecewanya hati isteri bila dapat tahu suami ada kekasih lain. Memang mulanya untuk dapatkan nasihat daripada kaum lelaki, tetapi akhirnya ada yang terus terperangkap lantas bercinta dengan lelaki tersebut seperti kes kawan saya Sofie. Cintanya kepada suami setengah mati, tetapi bila dia dapat tahu suami bercinta lagi dia ambil tindakan untuk membalas dendam.

"Puas saya nasihatkan jangan balas dendam, sebab akhirnya kita yang rugi, tetapi kerana marah, kecewa dan rasa tertipu, Sofie terus dengan agendanya. Bila suami dapat tahu, dia failkan cerai ke mahkamah dan tuduh isterinya curang. Tiga orang anaknya diambil oleh suami dan diserahkan kepada ibunya di kampung untuk dijaga.

"Tambah derita bila bekas suami dengan lebih kejam tidak izinkan Sofie bertemu dengan anak-anak. Dengan alasan tidak mahu perangai buruk ibunya menjadi ikutan anak-anak. Puas saya nasihatkan Sofie bersabar, sebab satu hari nanti anak-anaknya bila besar akan cari ibunya. Tetapi Sofie takut anak-anaknya dihasut membencinya dengan memberi cerita palsu.

"Itu saya tak nafikan, tetapi Sofie juga mesti sedar itulah hasil perbuatannya. Katanya dia tidak akan bercinta dengan lelaki lain jika suaminya tak bermain cinta dahulu dengan wanita lain. Tetapi walau apa pun alasannya, lelaki tetap menang walaupun dia ada 10 kekasih.

"Sebenarnya nasib saya dan Sofie sama, peristiwa pahit itu berlaku lebih 10 tahun lalu. Kami sama-sama menangis. Tetapi kami mengambil langkah berbeza. Saya memohon kepada Allah supaya diberikan petunjuk yang baik untuk saya dan anak-anak. Memang derita, ketika itu saya di kelilingi hutang, ansuran kereta, ansuran rumah dan pinjaman bank untuk ASB.

"Akhirnya saya lepaskan ASB dan tolak kereta baru dengan kereta lebih kecil. Asalkan saya ada lebihan duit untuk anak-anak makan dan belanja sekolah. Rumah pun tak mampu nak bayar, tetapi saya bersyukur dua orang adik yang baik hati membantu saya. Mereka tinggal bersama saya dan tolong bayar ansuran rumah.

Bergaduh

"Mereka duduk bersama setelah suami saya Ezzat, duduk bersama isteri barunya, janda beranak tiga. Sebenarnya setelah ditinggalkan selama empat tahun saya masih memohon kepada Allah supaya Ezzat berubah. Tetapi setelah dia berkahwin dua tahun kemudian, maka saya mohon diceraikan, sebab dia memang tak mampu berpoligami. Gaji saya lebih besar daripada dia, sedangkan isteri barunya tak bekerja. Jadi daripada bergaduh lebih baik bercerai.

"Ketika Ezzat kahwin lain, Sofie mendakwa apa untung saya setia pada Ezzat sedangkan dia sudah berkahwin. Nasihat saya pada Sofie. Setia kepada cinta hanya berlaku sebelum berkahwin, sudah berkahwin tak semestinya kekal hingga ke akhir hayat, sebab jodoh pertemuan, rezeki dan hidup mati kita ketentuan Allah jua. Jadi, kita mesti insaf suami bukan untuk kita selamanya. Mungkin suami dipinjamkan sementara atau mungkin juga untuk dikongsikan.

"Nasihat saya pada Sofie setiap dugaan yang menimpa sepatutnya mendekatkan kita kepada Allah bukan menjauhkan diri. Jadi mohon dan berdoalah kepada-Nya supaya kita diberikan kekuatan, ketabahan menghadapi dugaan. Bukan mencurahkan masalah kepada lelaki lain atau mengharapkan simpatinya. Kerana belum tentu lelaki itu boleh membantu kita, mungkin dia bawa lebih banyak masalah kepada kita, siapa tahu?

"Namun saya tak nafikan ada lelaki yang beri nasihat dengan jujur seperti kawan kami Zuki. Katanya tidak ada lelaki yang tidak berminat atas terusik hatinya untuk berkahwin lebih daripada satu. Baik dengan jalan halal atau haram, terpulang kepada tebal atau tipis imannya. Malah ada juga yang berserban tewas kerana nafsu.

"Saya juga nasihatkan Sofie jangan cepat percaya pada janji-janji kosong lelaki dan merelakan dirinya bergantung kepada lelaki lain, sedangkan kita sedia maklum lelaki itu ada tanggungjawab dan dia pasti berbohong untuk menyenangkan hati kekasih dan hati isterinya. Adakah lelaki seperti ini boleh dijadikan tempat untuk kita bergantung?

"Walaupun Sofie tidak setuju dengan tindakan saya, tidak mahu mencari lelaki lain sebagai pengganti tetapi saya reda. Kerana pada saya, masa depan anak-anak lebih penting. Malah saya anggap pengorbanan saya kepada Ezzat selama ini insya-Allah ada ganjaran daripada-Nya.

"Dan masa berlalu begitu pantas, kini sudah enam tahun Sofie hidup bermadu. Kebahagiaan yang dicari semakin hari semakin jauh meninggalkannya. Di samping dua orang anak yang masih kecil, hidup Sofie semakin tertekan, lebih teruk dia tetap ditinggalkan oleh suami barunya dengan alasan banyak kerja. Jadi apakah bezanya hidupnya bersama suami pertama dan suami keduanya sekarang? Malah lebih mengecewakan, dia terpaksa bermadu.

"Jadi di sini saya nasihatkan pembaca yang menghadapi masalah seperti kami, buatlah pilihan ingin hidup seperti saya atau Sofie, supaya tidak menyesal kemudian hari? Kami adalah contoh terbaik anda.’’ Itu nasihat Mimi Hashimi kepada wanita senasibnya. Utusan/Keluarga/20140817

Tags: dendam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments