mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ibu bapa berwawasan

APABILA Rasulullah SAW tiba ke Madinah, baginda tidak membawa harta benda. Kalangan Ansar daripada ahli Madinah lalu memberikan kepada Nabi Muhammad SAW semua yang baginda perlukan.

Abu Talhah menghadap Rasulullah SAW sambil membimbing tangan seorang anak kecil. Usia anak itu kira-kira tujuh tahun, bernama Anas bin Malik. Beliau adalah anak tiri Abu Talhah daripada isterinya yang bernama Umu Sulaim.

Abu Talhah berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Anas seorang budak yang pandai. Izinkanlah dia untuk menjadi pembantu tuan."

Rasulullah SAW menerima cadangan tersebut. Anas lalu menjadi pelayan baginda selama 10 tahun. Beliau selalu bersama baginda dalam setiap peristiwa di dalam ataupun di luar Madinah.

Kerana kerapatannya dengan Rasulullah SAW itulah, hingga ke hari ini nama Anas bin Malik terus hidup dalam ingatan umat Islam. Beliau terus dikenang sebagai sahabat Nabi SAW yang meriwayatkan hadis yang sangat banyak.

Manfaatkan peluang

Demikian kisah tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahih-nya. Dalam Musnad Abu Ya’la diceritakan bahawa yang menyerahkan Anas kepada Rasulullah SAW ialah Ummu Sulaim sendiri iaitu ibu kandung Anas bin Malik.

Abu Talhah dan Ummu Sulaim merupakan model ibu bapa yang berwawasan. Kedua-duanya sangat pandai melihat peluang. Apabila menyedari kebesaran Rasulullah SAW, mereka segera terfikir untuk menjadikan anak mereka orang yang paling rapat dengan baginda.

Jika Abu Talhah dan Ummu Sulaim tidak melihat dan memanfaatkan peluang tersebut, kemungkinan besar tiada siapa yang mengenal Anas bin Malik pada hari ini.

Sikap kedua-dua sahabat Nabi SAW ini mengingatkan setiap ibu bapa Muslim untuk mengambil berat masa depan anak mereka. Tugas mereka bukan hanya menghantar anak ke sekolah, akan tetapi menyiapkan mereka untuk menjadi insan berguna di masa hadapan.

Ibu bapa mesti merancang ke mana hendak mengarahkan anak-anaknya. Perhatikan potensi yang terdapat dalam jiwa anak, lalu salurkan potensi itu kepada peluang-peluang kejayaan yang tersedia.

Islam menegaskan bahawa jiwa seorang anak sangat bersih. Ia masih berada dalam keadaan fitrah yang mudah dibentuk dan dipengaruhi.

Justeru ibu bapa bertanggungjawab menentukan pembentukan diri dan masa depan anaknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanya yang akan menjadikan ia Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. (riwayat al-Bukhari) Marilah kita meneladani sikap Abu Talhah dan Ummu Sulaim. Utusan/Bicara_Agama/20140819

Tags: ibubapa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments