mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Strategi hapus kemiskinan

ISU kemiskinan merupakan antara permasalahan utama yang tidak pernah sunyi daripada diperkatakan dan juga menjadi cabaran bagi golongan pemerintah bagi memegang tanggungjawab membela kebajikan rakyat di negara masing-masing.


Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, di samping sering menjadi fokus perbincangan ahli akademik, pembuat dasar, ahli politik serta masyarakat umum, namun tiada kata putus yang tepat dapat diambil bagi menangani kemelut tersebut.

Malah, ia dijangka akan menjadi lebih parah berikutan pembangunan pesat yang berlaku serta pertambahan penduduk, terutamanya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan ramai untuk mencari rezeki di situ.

Perkara yang melibatkan permasalahan sosial itu lebih dikhuatiri mampu mengundang kepada masalah sosial lain yang lebih serius jika tidak ditangani dengan bijaksana dan berhikmah.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Teknikal Amalan Terbaik Pembasmian Kemiskinan dengan mengumpulkan Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Program selama empat itu diadakan bagi berkongsi pengalaman dan amalan yang dilakukan di negara yang terlibat dalam membasmi kemiskinan di negara masing-masing menerusi organisasi pengurusan zakat yang ditubuhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mengkaji beberapa elemen kekuatan yang dilaksanakan di negara-negara terlibat untuk diaplikasikan di negara ini.

Beliau ketika membentangkan resolusi bengkel menjelaskan, keupayaan itu adalah meliputi program Zakat Community Development (ZCD) di Indonesia, Befrienders Singapura dan Propaz di Brunei.

“Negara anggota MABIMS mencadangkan bengkel seperti ini diperluas pelaksanaannya kepada penerima-penerima bantuan zakat atau seumpamanya bagi membuka minda dan menyedari serta mengenalpasti kaedah-kaedah terbaik dalam pembasmian kemiskinan.

“Negara-negara anggota MABIMS mencadangkan supaya program perkongsian ilmu dan pengalaman seperti yang dibincangkan dalam bengkel ini dilanjutkan dengan sebuah program bersama mengikut keupayaan dari negara anggota," katanya.

Beliau turut mewakili Malaysia membentangkan kertas kerja Pembasmian Kemiskinan Melalui Pengupayaan Golongan Fakir Miskin di Malaysia.

Sementara itu, wakil dari Indonesia adalah

Zainal berkata, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP yang ditubuhkan menjadi fokus pelaksanaan di Malaysia yang boleh dicontohi oleh negara anggota.

“Skuad ini berperanan turun padang ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk mencari golongan asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan zakat. Sejak dilancarkan pada 2012, seramai 1,063 asnaf berjaya dijejaki," jelasnya.

Peserta turut dibawa melawat ke institusi pendidikan, kesihatan dan ekonomi MAIWP yang dibina menerusi hasil kutipan zakat bagi membantu dan memberikan manfaat kepada golongan asnaf dan anak-anak fakir dan miskin.

Berucap membentangkan kertas kerja Pembasmian Kemiskinan Melalui Pengupayaan Golongan Fakir Miskin di Indonesia, Ketua Umum Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), Indoneisa Dr. Didin Hafidhuddin menjelaskan, ZCD merupakan program pembangunan komuniti yang mengintegrasikan aspek sosial dengan memfokuskan prinsip syariat Islam.

Beliau berkata, aspek sosial tersebut adalah bidang pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi dengan menggunakan tiga pendekatan kelompok iaitu komuniti, wilayah dan wilayah sasaran.

“Fokus program ZCD ini mempunyai empat tujuan iaitu, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan golongan penerima zakat terhadap kehidupan berkualiti, melahirkan asnaf yang ingin bebas daripada kemiskinan, mewujudkan jaringan sosial ekonomi dan mewujudkan program pemantapan masyarakat yang berterusan.

“Dalam menjayakan objektif tersebut, terdapat tiga langkah diambil mengikut tahap golongan penerima zakat iaitu dengan menerapkan kesedaran asnaf, meningkatkan kemampuan dan pemantapan golongan kurang berkemampuan.

“Namun, apa yang diutamakan dalam melaksanakan program ini adalah berdasarkan kepada enam prinsip yang telah digariskan iaitu berasaskan komuniti, syariat Islam, penyertaan, manfaat, kesinambungan dan sinergi," katanya.

Bukan sekadar memberikan bantuan, Didin berkata, Baznas turut berfungsi membentuk sikap golongan penerima dengan menitikberatkan nilai-nilai syariat Islam dalam bantuan yang disalurkan.

Pada 2014 tambahnya, program ZCD mensasarkan sebanyak 100 lokasi untuk dilaksanakan di sekitar Indonesia dengan keperluan dana sekurang-kurangnya 1 miliar Rupiah (RM269,000) bagi setiap lokasi.

“Setakat tahun lalu sejak dilancarkan, sebanyak 49 lokasi telah dikenal pasti dan mendapat bantuan menerusi program ZCD ini yang meliputi sembilan kawasan termasuk Sumatera Barat, Jawa Barat, Kalimantan Barat dan Nusa Tenggara Timur," katanya.

Sementara itu, pembentang kertas kerja dari Brunei, Faridah Yaakup berkata, menghapuskan kemiskinan melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (Propaz) merupakan langkah yang dilakukan di negara itu bagi membasmi kemiskinan.

Ia katanya, dengan mencungkil dan melatih kemahiran yang dimiliki oleh golongan asnaf untuk dikomersialkan dengan mencari peluang pekerjaan dan keusahawanan yang boleh diceburi.

“Program ini lebih menjurus kepada memberi latihan, teknikal, vokasional serta bimbingan dan pembangunan diri khusus bagi penerima yang tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin.

“Program Propaz ini dilaksanakan selama sembilan bulan, iaitu enam bulan mengikuti latihan kemahiran di Pusat Pembangunan Belia dan Sukan dan tiga bulan menjalani latihan penempatan kerja di syarikat-syarikat swasta terpilih.

“Antara kursus yang ditawarkan adalah seperti kursus kemahiran asas teknologi informasi dan komunikasi, kemahiran asas kulinari dan bankuet, kursus kemahiran asas terapi dan kecantikan, kursus kemahiran rekaan fesyen dan kursus kemahiran asas teknikal," katanya.

Beliau berkata, menerusi program itu, penerima berpeluang untuk ditawarkan pekerjaan di syarikat latihan penempatan kerja yang diambil ketika berkursus.

“Selain itu, berdasarkan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang diberikan sepanjang menjalani kursus, peserta juga boleh memanfaatkan dengan mencari pekerjaan lain yang bersesuaian atau membuka premis perusahaan sendiri," jelasnya.

Di samping itu, dengan bantuan beberapa pertubuhan kerajaan dan swasta, asnaf turut akan dibantu untuk membuka perniagaan sendiri menerusi program keusahawanan, program pembangunan diri dan program sokongan.

“Pertubuhan lain seperti Zakat Majlis Ugama Islam juga ada memberikan peruntukan dana kepada asnaf untuk mendapatkan sumber yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan.

“Ia turut dibantu menerusi program sokongan seperti dengan kerjasama Koperasi Pengupayaan Hal Ehwal Ugama Berhad (KOPAKHEUB) yang membantu lepasan peserta Propaz sebagai saluran untuk mereka memajukan perniagaan dan perusahaan," katanya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140820

Subscribe

  • Hidup berpasangan beri ketenangan

    MAKHLUK Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya…

  • Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

    Nusyuz undang kemurkaan ALLAH FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah…

  • Khutbah Jumaat: Sempurnakan agamamu

    Petikan Khutbah Jumaat: 31 Mac 2017 JAKIM Sempurnakan agamamu Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah memberi penekanan pentingnya…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments