mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hormati institusi mufti

KEDUDUKAN fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan oleh pihak kerajaan pernah dicabar di mahkamah beberapa tahun lalu. Dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan kerajaan negeri Terengganu di Mahkamah Persekutuan telah dihujahkan bahawa fatwa-fatwa mufti yang telah diwartakan itu adalah tidak berperlembagaan dan terbatal.


Hujahan sebegini mempunyai implikasi yang besar terhadap institusi mufti di Malaysia. Walau bagaimanapun, mahkamah persekutuan memutuskan antara lain bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan bukanlah tidak berperlembagaan dan sah mengikut undang-undang.

Kesan daripada penghakiman tersebut fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Malah terdapat kesalahan yang diperuntukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri apabila seseorang itu melanggar fatwa mufti yang telah diwartakan dan boleh dihukum.

Selesai isu kedudukan di sisi undang-undang berkaitan fatwa mufti dengan penghakiman di dalam kes Sulaiman Takrib tersebut tetapi institusi mufti masih lagi diperlekehkan. Pada masa ini masyarakat sudah tidak segan silu lagi mempertikai dan mempersenda fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti. Gambaran yang diberikan mufti mengeluarkan fatwa secara semberono dan tidak ada kajian dilakukan. Apabila ahli jawatankuasa fatwa membuat keputusan secara sebulat suara, hanya mufti sahaja yang menjadi sasaran kritikan seolah-olah mufti secara berseorangan membuat fatwa tersebut.

Beberapa tahun lepas fatwa mengenai ESQ contohnya yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan bukan sahaja di pertikaikan malah dicabar di mahkamah juga. Tidak lama selepas itu fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengenai tarian poco-poco pula dipertikai termasuklah oleh bekas mufti dan ahli politik.

Sebagai pengamal undang-undang, saya membuat analogi dengan mahkamah apabila seorang hakim membuat suatu penghakiman dan seorang bekas hakim membuat suatu penghakiman yang lain, sudah pasti penghakiman yang dibuat oleh hakim itu yang berkuatkuasa bukan penghakiman bekas hakim. Begitu juga dalam kes fatwa ini, fatwa yang dibuat oleh mufti akan berkuatkuasa apabila fatwa tersebut digazetkan.

Mufti juga didesak membuat fatwa dalam kes video seks seorang tokoh pembangkang. Mufti dikatakan mahu menjaga kepentingan diri dan tidak mahu memberikan fatwa dan pandangan.

Namun sebenarnya para mufti telah memberikan pandangan mereka terlebih dahulu seperti Mufti Kerajaan Negeri Perak yang telah dilaporkan pada 26 Mac 2011 oleh sebuah akhbar tempatan. Begitu juga Mufti Negeri Selangor dan Kelantan yang telah pun mengeluarkan pandangan mereka dalam isu ini.

Mungkin kerana liputan yang tidak meluas dalam pandangan mufti ini, ia tidak disedari oleh masyarakat awam sehingga sesetengah masyarakat awam menuduh mufti ingin menjaga kepentingan sendiri.

Realitinya sekarang ini, terlalu ramai yang ingin menjadi ‘mufti’. Orang awam di kedai kopi juga berebut-rebut ingin mengeluarkan fatwanya sendiri berdasarkan kepentingan logik akal dan juga pemahaman mereka sendiri. Mereka tidak menyandarkan pandangan mereka kepada dalil-dalil dan pandangan ulama yang diterima di dalam Islam.

Apabila fatwa mufti pula tidak selari dengan pandangan mereka, fatwa tersebut diherdik tanpa menghormati ulama-ulama yang berada di dalam jawatankuasa fatwa tersebut. Senario ini sebenarnya amat membimbang-kan kerana umat Islam sudah tidak lagi menghormati institusi agama. Inilah cabaran yang dihadapi sekarang apabila satu persatu institusi agama dipertikaikan. Natijahnya, institusi agama ini akan berada jauh daripada hati orang Islam dan tidak lagi akan menjadi rujukan umat Islam.

Atas nama hak asasi, undang-undang Islam seringkali dipertikaikan sama ada oleh orang Islam ataupun yang bukan Islam. Hak asasi sebenarnya tidak memberi tiket kepada seseorang untuk menghina mana-mana agama, khususnya agama Islam yang telah menjadi agama bagi Persekutuan sebagaimana yang terdapat di dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.   ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.myPenuh: Utusan/Bicara_Agama/20140821

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments