mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tawaf selamat tinggal

TERDAPAT banyak definisi dan pengertian Tawaf Wada’. Secara umumnya ia ialah tawaf selamat tinggal yang wajib dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Mekah sejauh dua marhalah atau lebih (lebih kurang 91 kilometer). Ia juga wajib bagi orang yang meninggalkan Mekah dan akan bermukim di luar Tanah Haram selama empat hari atau lebih, walaupun jaraknya kurang dari dua marhalah, sama ada penduduk Mekah atau sebaliknya. Tawaf ini juga dikenali dengan nama Tawaf Al-Sadar, Tawaf Akhir Al-‘Ahdi dan Tawaf Al-Khuruj.

Terdapat banyak dalil berkenaan dengannya. Penulis akan mensyarahkannya berkenaan hadis tersebut dengan menukilkan pendapat Syurrah al-hadis. Antaranya;

Pertama: Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah seseorang kamu meninggalkan Kota Mekah sehingga menjadikan akhir masanya dengan tawaf di Rumah Allah atau Kaabah. (riwayat al-Bukhari 1671, Muslim 1327, Abu Daud 2002, Ibnu Majah 3070, Imam Ahmad 6/431 dan Sunan al-Darimi 1932)

Hadis ini menunjukkan kewajipan tawaf wada’. Jika ditinggalkan dikenakan dam. Inilah pendapat yang sahih di dalam Mazhab Syafie. Ini juga pendapat kebanyakan ulama seperti al-Hasan al-Basri, al-Hakam, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. Sedangkan pendapat Malik, Daud dan Ibn Munzir hukum tawaf wada’ adalah sunat. Mujahid mempunyai dua riwayat iaitu wajib dan sunat.

Kedua: Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: Diperintah orang ramai supaya menjadikan akhir masa mereka tawaf di Rumah Allah atau di Kaabah kecuali diringankan bagi perempuan dalam keadaan haid. (riwayat Bukhari 1668, Muslim 1328, Ahmad 6/431 dan Sunan ad-Darimi 1934)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata di dalam bab Tawaf Wada’. Kemudian beliau menukilkan pendapat Imam Nawawi: Tawaf Wada’ adalah wajib. Dikenakan dam bagi sesiapa yang meninggalkannya mengikut pendapat yang sahih di sisi kami. Inilah juga pendapat kebanyakan ulama. Sedangkan Imam Malik, Daud dan Ibnu al-Munzir berpendapat hukumnya sunat dan tiada dikenakan sesuatu bagi yang meninggalkannya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: Aku melihat dalam kitab al-Awsat bagi Ibnu al-Munzir bahawa beliau berpendapat wajib kerana perintah tersebut tetapi tidak wajib dengan sebab meninggalkannya sesuatupun dam.

Ketiga: Daripada Ibnu Umar r.a katanya: Siapa yang melaksanakan ibadah haji maka hendaklah akhir masanya dengan tawaf di Rumah Allah SWT (yakni tawaf di Kaabah) kecuali perempuan yang haid. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberi kelonggaran kepada mereka. (riwayat al-Bukhari 1672, Muslim 1328, al-Turmuzi 944, Imam Ahmad dan al-Darimi 1934)

Hadis ini seperti hadis-hadis di atas menunjukkan betapa perlunya Tawaf Wada’. Tetapi pengecualian diberi kepada wanita haid. Dalam riwayat yang lain dikatakan bahawa Aisyah didatangi haid selepas menunaikan Tawaf Ifadhah dan Rasulullah SAW telah perintahkannya untuk keluar dari Kota Mekah tanpa Tawaf Wada’. Hal yang sama telah berlaku kepada Safiah dan baginda juga telah menyuruhnya berbuat begitu.

Pendapat fuqaha

Hukum Tawaf Wada’ mengikut pendapat fuqaha berdasarkan kitab mereka antaranya:-

Mazhab Hanafi. Pengarang Kitab al-Mabsut 7/426 berkata: Tawaf Al-Sadar atau Tawaf Wada’ hukumnya wajib bagi siapa yang ingin meninggalkan Mekah iaitu mereka yang berada di pelosok dunia selain daripada penduduk Mekah yang ingin pulang ke tanah watan masing-masing maka wajib bagi mereka melakukan Tawaf Wada’.

Mazhab Maliki: Ibnu Rusd al-Maliki dalam Bidayah al-Mujtahid 1/273 antara lain menyebut: Tawaf Wada’ termasuk sunat haji.

Mazhab Syafie: Terdapat dua pandangan dalam Mazhab Syafie seperti berikut:-

Imam Nawawi dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab 8/253-257 antara lain menyebut dua pendapat berkenaan Tawaf Wada’.

Pertama, wajib: Inilah pendapat Ibnu Abbas dan lainnya.

Kedua, tidak wajib: Ini kerana kalau wajib nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid meninggalkannya.

Al-Qadhi Abu Tayyib dan al-Bandaniji hukumnya sunat jika ditinggalkan Tawaf Wada’ maka, sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam Syafie berdasarkan qaul qadim.

Menurut Mazhab Hanbali: Ibnu Qudamah dalam al-Mughni 3/458-462 antara lain menyebut: Apabila seseorang pergi ke Kota Mekah dia tidaklah dibenarkan keluar sehingga melaksanakan Tawaf Wada’ di Kaabah iaitu tawaf tujuh keliling dan solat dua rakaat apabila selesai segala urusannya. Kemudian Tawaf Wada’lah sebagai akhir masanya di Rumah Allah atau Kaabah.

Setelah melihat dalil daripada pihak yang mewajibkannya dan juga pihak yang menyatakan hukumnya sunat sahaja, penulis berpendapat bahawa hukum wajib adalah lebih kuat berdasarkan beberapa alasan.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim). Utusan/Bicara_Agama/20140821

Tags: tawaf
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments