mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ada tak tahu tatatertib masjid

Sepanjang bulan puasa yang baru lalu dan lepas itu, Kunta Kinte sengaja singgah sembahyang di masjid dan surau berlainan.

Ada yang atas pilihan dan ada yang sebab kebetulan. Sekarang ini banyak masjid dan surau kita cantik tersergam. Ada yang berhawa dingin dan lengkap dengan macam-macam alat bunyi dan pandang (audio visual).

Alhamdulillah, banyak orang kaya yang taja masjid dan surau. Jemaah pula banyak bagi derma pada hari Jumaat dan masa bulan puasa.

Masa Kunta Kinte kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan 1960-an, nak siapkan sebuah masjid atau surau makan masa berpuluh tahun. Bantuan kerajaan tak ada dan ahli kariah pula miskin. Ada tak ada pun duit zakat padi setahun sekali.

Kunta Kinte sedih tengok masjid yang dulu kita bina dengan tulang empat kerat dan peluh kita dirobohkan dan diganti dengan masjid tajaan kerajaan.

Alhamdulillah ada juga masjid lama yang dikekalkan bila masjid baru dibina. Kunta Kinte ucap tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa masjid yang simpan masjid lama sebagai warisan.

Dalam itu pun banyak juga hal-hal tak baik atau kurang baik yang terjadi di masjid atau dalam kawasan masjid. Misalnya, ada masjid di luar bandar, di pekan-pekan kecil dan kawasan perumahan yang diselak dan dikunci kecuali masa berjemaah. Kalau kita nak tumpang sembahyang di luar waktu berjemaah, kenalah sembahyang di beranda.

Jadi tempat tidur, tumpangan

Ada masjid yang lembap dan hapak. Di sesetengah masjid dalam bandar, permaidaninya busuk kena air liur basi. Di beberapa buah masjid yang Kunta Kinte kerap singgah, ada penjuru yang dah jadi tempat orang tidur siang hari. Apatah lagi masjid berhawa dingin.

Kalau malam pula, jadi tempat menumpang orang merantau, orang tanpa tempat tinggalan dan anggota tabligh. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, mereka ini kurang peduli kebersihan dan pandangan mata orang lain.

Kunta Kinte tak mahulah nak ungkit kata gerakan tabligh ni asal usulnya dari India dan oleh sebab tak berapa ambil berat hal kebersihan.

Tak kira dari negara atau benua mana asal seseorang Islam, soal kebersihan sama saja. Kita semua diajar iaitu orang Islam wajib bersih rohani dan jasmani. Kita diseru bersih, kemas dan wangi bila ke masjid.

Kunta Kinte pun pernah tumpang tidur di masjid masa mengembara jalan kaki dari Alor Star, Kedah ke Batu Pahat, Johor lepas peperiksaan Higher School Ceritificate (HSC) pada tahun 1968. Baru-baru ini Kunta Kinte singgah solat di masjid itu di Perak.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, makin ramai orang datang berjemaah di masjid dan surau, makin jelas pula yang ramai tak faham atau tak peduli tatatertib masjid dan sembahyang berjemaah. Mereka buat sesuka hati.

Sekarang lagi rumit dan ketara apabila ramai yang datang berjemaah adalah orang asing yang ikut berbagai-bagai mazhab, tradisi dan amalan. Kita kena banyak-banyak sabar dan ambil tahu siapa yang solat di sebelah kita.

Yang paling Kunta Kinte musykil ialah perangai ibu bapa yang berlawan-lawan bawa dan kerah anak-anak kecil ke masjid tapi tak ajar tatatertib masjid atau kawal anak-anak mereka.

Lagi teruk bila murid-murid sekolah agama dalam kawasan masjid buat bising, bercakap dan lari sana sini waktu khatib baca khutbah atau waktu jemaah sedang solat. Kalau macam tu, tak payahlah hantar anak ke sekolah agama.

Ambil wuduk macam mandi junub

Kemudian kita tengok sesetengah orang kita ambil wuduk. Ada yang seolah-olah mandi junub lepas malam pertama perkahwinan sampai percik kena orang sebelah. Itu pun tak timbang rasa juga.

Kita tak pun disuruh ambil wuduk sampai macam itu. Membazir air pun boleh sebabkan kemurkaan Allah. Tuhan tidak suka kita membazir. Soalnya, di Makkah dan di tempat peranginan di Singapura boleh pula ambil wuduk dengan sebotol air mineral.

Jadi Kunta Kinte cukup lega dan seronok bila ada imam dan khatib berkomunikasi dengan jemaah, bukan setakat bagi arahan biasa macam luruskan dan rapatkan barisan, tapi bagi ingatan kepada jemaah agar matikan atau senyapkan telefon bimbit, jaga anak-anak supaya jangan bising dan ajak anak-anak berjemaah.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, ada jemaah yang lebih utamakan telefon pintar daripada tatatertib solat berjemaah. Kunta Kinte kutuk orang yang ganggu solat orang lain kerana deringan atau lagu dangdut telefon bimbit mereka. Telefon pintar tapi yang guna tak pintar.

Baru-baru ini Kunta Kinte singgah Maghrib di Masjid Negara. Sebelum mula solat, imam ingatkan jemaah supaya letak barang-barang berharga di hadapan mereka. Kunta Kinte andaikan tentu ada kejadian di mana jemaah kehilangan barang-barang berharga ketika solat.

Susah Kunta Kinte nak percaya yang ada penyangak dan pencuri buat jahat dalam masjid. Tapi itulah hakikatnya. Kita baca dan dengar berita peti besi masjid pun mereka kebas. Wallahuaklam. Kunta Kinte  Berita Harian Kolumnis JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 4:28 PM
Tags: masjid
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments