mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amanat pengurusan

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang tela ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa. Dalam mengerjakan ibadat yang merupakan rukun Islam yang kelima ini, suasana kepelbagaian budaya dan adat resam menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati di antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.


Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan sama ada daripada segi ilmu, mental, rohani dan jasmani. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan Tabung Haji, memahami proses-proses urusan haji di tanah suci dan menyediakan keperluan, sama ada daripada segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang serta mengharapkan keredaan Allah SWT.

Sebelum memulakan perjalanan murni ini, betulkan niat dengan penuh ikhlas pergi ke tanah suci semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, membanyakkan taubat, meninggalkan perkara-perkara maksiat dan melalaikan serta meminta maaf dan keredaan semua orang, terutama ibu bapa, suami/ isteri dan sanak-saudara.

Di Tanah Suci, hampir tiga hingga empat juta jemaah haji berkumpul di satu tempat pada masa yang sama. Dalam keadaan yang telah ramai ini akan menimbulkan keadaan yang kurang selesa.

Oleh itu, pengurusan diri (kendiri) amatlah penting semasa berada di tengah-tengah lautan manusia ini.

Jemaah haji dinasihatkan untuk merancang dan mengatur aktiviti harian supaya ia berjalan lancar dan dapat menyempurnakan ibadat dengan baik.

Memandangkan keadaan cuaca di tanah suci pada tahun ini memasuki era musim panas, maka disarankan semua jemaah haji menjaga kesihatan. Jemaah haji disarankan minum air dengan banyak supaya tidak mengalami gejala kekurangan air atau heart stroke.

Penjagaan kesihatan ini penting supaya jemaah haji dapat menumpukan perhatian kepada amalan ibadat sepanjang berada di tanah suci. Selain itu, pihak kesihatan Arab Saudi telah mengeluarkan nasihat kepada jemaah haji yang datang ke Arab Saudi supaya mengambil suntikan Vaksin Selesema Bermusim iaitu bagi mereka yang menghidap penyakit seperti sakit jantung, penyakit pernafasan, neurologi dan kencing manis.

Kementerian kesihatan Arab Saudi juga menasihatkan kepada mereka yang menunaikan haji dan umrah supaya mematuhi bimbingan kesihatan mengenai penyakit virus Middle East Respiratory Syndrome (MERS-CoV) iaitu:

1 Sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun atau dengan bahan pencuci, terutama selepas bersin.

2 Sentiasa menggunakan tisu apabila bersin dan membuang ke dalam tong yang disediakan.

3 Menjauhi geseran dengan mereka yang telah dikenal pasti dijangkiti MERS-CoV.

4 Memakai mask (topeng mulut) di tempat awam.

5 Sentiasa menjaga kebersihan diri.

Sepanjang berada di tanah suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh. Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada Tabung Haji serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan kerajaan Arab Saudi.

Akhir kata, jemaah haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Jemaah haji diingatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang berada di tanah suci. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air, seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah. DATUK SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN ialah Pengurus Besar Kanan (Haji) Utusan/Bicara_Agama/20140822

Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments