mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Baik sangka dan reda menerima musibah

Boleh dikatakan setiap manusia mahu mengelakkan diri daripada ditimpa musibah. Ini kerana musibah sering difahami sebagai malapetaka atau keburukan yang menimpa sebagai balasan Tuhan; yang akan menyebabkan kesusahan, rasa dukacita dan kesedihan bagi pihak yang menghadapinya, sama ada musibah itu tertimpa kepada individu, bangsa atau sesebuah negara.


Tambahan pula, seringkali kita dengar ada pelbagai pandangan dan ulasan tidak enak daripada segelintir manusia yang kurang mengerti tentang urusan takdir dan kerja-kerja Allah ini. Musibah yang sepatutnya menjadi penghubung kepada manusia agar lebih akrab dengan Penciptanya disalahgunakan oleh kelompok tertentu untuk kepentingan sendiri, mengakibatkan sesetengah mangsa bertindak menyalahkan takdir dan mencabar qada dan qadar.

Hakikatnya musibah ditimpakan kepada individu atau sesebuah negara bertujuan untuk menguji kekuatan seseorang individu atau memperkasakan negara itu ke arah yang lebih baik. Ia seharusnya difahami secara positif kerana tujuan musibah adalah untuk mempertingkatkan keimanan hamba, sekali gus sebagai medium perubahan sebuah negara ke posisi yang lebih padu. Musibah ialah tanda amaran kepada pihak yang menerima agar melakukan introspeksi supaya kelemahan yang ada diperbaiki atau diatasi, dan memperbetulkan keadaan yang mungkin terlepas pandang.

Ini kerana kekuatan seseorang manusia, khususnya Muslim itu bukan sahaja diukur dari segi fizikal, iaitu tubuh badan tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan pegangan agama atau iman. Kerana itulah kita sering dapati setelah ditimpa musibah, seseorang itu akan mengalami dua perubahan; sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk daripada sebelumnya. Keadaan ini bergantung kepada kebijaksanaan mendepani musibah sebagaimana yang diajar oleh agama atau kegopohan dalam menguruskan keadaan semasa musibah.

Orang yang sentiasa berwaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan, sama ada syaitan hakiki atau syaitan maknawi. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketakwaannya kepada Allah. Mereka tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan dan kesedihan semata-mata. Sebaliknya percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

Dalam sederetan musibah yang menimpa negara kita mutakhir ini, khususnya dalam isu besar seperti MH 370 dan MH 17, kita mendapat maklum balas baik dan buruk daripada pelbagai pihak, dalaman dan luaran; sebagai ujian untuk menilai pertimbangan dan kebijaksanaan kita.

Sepanjang tempoh menghadapi rentetan insiden ini, ternyata masih banyak pihak yang waras dan sentiasa peka dengan permainan musuh. Kita dapat melihat kematangan keluarga mangsa khususnya yang beragama Islam menghadapi musibah ini dengan tenang dan pasrah, walaupun mengalami tidak sedikit kesukaran dan derita rasa.

Dapat dibayangkan betapa hancur luluh hati seorang isteri menunggu saat kelahiran tanpa suami, yang kabur statusnya; hidup atau sudah terkorban dalam insiden MH 370. Begitu juga kalau kita selami perasaan keluarga dalam insiden MH 17 yang menanti ketibaan sanak-saudara yang pulang beraya, akhirnya menerima jenazah yang siap berbungkus tanpa sempat saling mengucap salam lebaran.

Mereka yang kehilangan orang yang disayangi dalam kedua-dua insiden udara ini adalah antara orang yang beruntung kerana ditimpakan musibah. Mereka terpilih untuk diuji. Sebagai orang Islam, mereka ini sudah mendapat sijil kawalan mutu daripada Tuhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta."

Sabar

Ternyata mereka tidak kecundang dalam menghadapi ujian getir ini. Mereka sabar mengharungi fitnah dunia dengan iman yang teguh dan panduan agama yang benar, di mana dalam menghadapi musibah kita diajar untuk menganggap bahawa musibah bukanlah sebagai hukuman dan azab kepada si penerima, sehingga merasa sempit dada dan selalu mengeluh. Keduanya mereka berjaya menjadi orang yang menilai bahawa musibah adalah sebagai penghapus dosa, dan menyerahkan segala apa yang menimpanya kepada Allah.

Seterusnya mereka tergolong dalam kalangan orang yang yakin bahawa musibah adalah ladang peningkatan iman dan takwa, dan orang yang seperti ini selalu tenang serta percaya bahawa dengan musibah itu Allah menghendaki kebaikan bagi dirinya.

Dengan tiga kualiti ini, mereka yang ditimpa musibah layak mengaku mereka beriman dan menerima ganjaran pahala. Pada pihak yang melakukan khianat dengan terlibat dalam insiden ini, mereka sudah tewas dengan pelbagai cara dalam usaha meranapkan ikatan semangat patriotik yang kita ada. Perencanaan secara halus yang telah disusun atur secara teliti, dengan harapan ada pihak kita melatah dan terpesong dalam memahami makna musibah nampaknya tidak berjaya sepenuhnya. Hanya sebilangan yang benar-benar khianat kepada negara terpedaya dengan makar yang dirancang ini.

Mereka mungkin berjaya mempengaruhi sebilangan manusia yang alpa dan gopoh dalam bertindak, di mana mereka menyalahkan kerajaan dan pihak tertentu atas segala apa yang berlaku, namun mereka silap, kerana kita tidak kekurangan pihak yang bijaksana dalam menilai dan menghurai segala apa yang dirancangkan untuk kita.

Segala insiden terhadap sejarah penerbangan kita boleh ditebak tujuan dan agenda tersembunyinya. Rakyat di negara berdaulat ini sangat bijaksana menukarkan usaha merungkaikan sebatang penyapu kepada sebuah perpaduan yang sangat utuh. Kita dengan pelbagai cara mengikut ajaran agama masing-masing bertafakur dan menaakul insiden yang dirancangkan dengan tenang dan tabah pada Jumaat lalu, sambil berikrar berubah ke arah Malaysia yang padu dan matang pada ulang tahun kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos ini. Rokiah Ismail rokiah@tvalhijrah.com Utusan/Rencana/20140824

Tags: redha
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments