mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kekal sebagai medium dakwah

Memandangkan begitu banyak stesen radio yang lahir pada masa kini, stesen radio IKIM.fm turut memasang strategi bagi memastikan stesen radio mereka kekal di hati pendengar bagi jangka masa panjang.

Sebelum ini, radio IKIM.fm yang popular dengan cogan kata ‘Pilihan Utama Anda’ menyediakan kemudahan menerusi aplikasi atas talian (podcasting) menerusi telefon bimbit yang mempunyai talian internet.

Perubahan tahun demi tahun dan langkahan baharu IKIM.fm juga telah menempatkan IKIM.fm sebagai salah satu bahagian di dalam Pusat Media IKIM yang mula beroperasi sejak tahun 2013 dengan penstrukturan IKIM.fm di bawah Pusat Media IKIM yang diterajui oleh Dr. Nik Roskiman Abdul Samad selaku pengarah.

Katanya, pembangunan radio IKIM.fm telah meliputi pelbagai prospek bagi menjadikan lagu-lagu dan ilmu yang disampaikan terus kepada halwa telinga pendengar.

“Sebelum ini stesen radio kita telah melalui pelbagai fasa pembaharuan selain menyalurkan berita, stesen kami juga turut menyumbangkan kepada dakwah Islamiah secara meluas.

“Misi radio IKIM.fm ialah mahu memangkin sebagai stesen radio Islam terkemuka di Malaysia tetapi di semua pelosok di dunia.

“Walaupun di peringkat awal agak sukar kerana bukan mudah sebenarnya untuk menyampaikan dakwah melalui stesen radio kerana pendengar pada masa itu kurang memahami apa yang cuba disampaikan oleh pendengar.

“Tetapi selepas 13 tahun beroperasi, IKIM.fm sudah mampu membentuk kefahaman semua insan yang bukan sahaja tergolong dalam agama Islam, malah bukan agama Islam turut berminat mendengar radio kami," katanya.

Meskipun di awal penubuhan IKIM.fm, kebanyakan pendengar mengenali sebagai stesen yang memutarkan lagu-lagu berentak nasyid, tetapi pemilihan lagu antara penyumbang penting buat radio IKIM.fm.

“Dahulunya orang kenal IKIM.fm sebagai radio nasyid sahaja. Sebenarnya kami turut memainkan lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan.

“Kami menapis terlebih dahulu lagu yang ingin diputarkan, jika ianya menepati piawaian dan syarat yang ditetapkan, baru kami keluarkan lagu tersebut.

“Pemilihan lagu turut merangkumi mesej positif, universal serta nilai-nilai murni yang diterapkan," jelasnya.

Radio IKIM.fm yang menggunakan pendekatan berteraskan 3M, iaitu mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat buat pendengar.

Konsep yang dihidupkan ini dilihat sudah mampu memberi manfaat buat pendengar setia IKIM.fm yang kini sudah mencapai lebih 800,000 pendengar dalam seminggu bagi satu-satu masa.

“IKIM.fm banyak berteraskan keilmuan di mana 75 peratus daripadanya pengisian yang ada lebih berbentuk kepada pendidikan, manakala 20 peratus pula program hiburan dan selebihnya pula untuk berita dan isu-isu semasa.

“Sebelum ini kami mahu menjadikan radio ini seperti radio pendidikan, tetapi selepas melihat kepada penerimaan pendengar dan kajian, stesen radio adalah tidak sesuai untuk hanya menumpukan kepada pendidikan sahaja kerana kita tidak mahu pendengar jelak dan jemu, sebab itu kita lebih senang dengan konsep seperti ‘edutainment’.

“Kita mahukan IKIM.fm dijadikan sumber rujukan dalam mendapatkan maklumat. IKIM.fm perlu pertahankan identitinya yang telah sedia ada agar terus menjadi contoh teladan untuk stesen radio lain dalam membentuk dan membangun masyarakat," tambahnya.

IKIM.fm yang 95 peratus programnya disampaikan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Bermula sebagai satu-satunya radio tanah air beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, IKIM.fm mengorak langkah membina nama sebagai radio Islam tunggal negara bersiaran 24 jam dalam menyebarkan pemahaman Islam bukan sekadar di bumi Malaysia.

“Kejayaan membanggakan kerana IKIM.fm pernah mencatat jumlah pendengar melepasi sejuta dan saban tahun semakin meningkat menyaksikan dari lapan jam 41 minit pada awal tahun lalu, kini kepada sembilan jam 43 minit.

“Hasil kajian dari Nielsen turut mencatatkan IKIM.fm bukan sahaja didengari oleh pendengar yang beragama Islam, malah pendengar dari agama lain turut meminati dan mendengar stesen kami.

“Atas banyak cadangan yang diberikan, kami bercadang untuk menggunakan bahasa Cina untuk kapsul pendek dalam program kami. Ini sebagai permulaan dan akan dibincangkan dengan semua orang bagi menarik ramai lagi pendengar dari pelbagai agama dan bangsa.

“Penyebaran dakwah tidak mengira pangkat, usia dan agama. Jadi pendekatan dan cadangan yang dibuat sangat besar peranannya kerana kita tidak mahu timbul wasangka dan salah faham terhadap Islam," tuturnya ketika ditanya tentang perancangan masa depan IKIM.fm.

IKIM.fm turut dalam perancangan bagi mengembangkan stesen radio berkenaan menerusi slot saluran televisyen yang bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Pendengar setia IKIM.fm bakal disajikan dengan satu lagi pembaharuan setelah stesen radio ini mendapat kata sepakat bersama dengan beberapa stesen televisyen yang bertujuan memancarkan studio radio IKIM.fm secara siaran langsung.

“HyppTV antara yang berminat untuk bekerjasama dengan kami bagi menyiarkan setiap program yang kami jalankan setiap hari secara langsung.

“Penonton boleh melihat semua program yang di dalam radio menerusi siaran televisyen dalam talian yang terdapat dalam perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM, UniFi.

“Permulaannya kami bercadang untuk beroperasi pada tahun hadapan dan untuk peringkat awal kami akan mulakan dengan segmen Warna Pagi yang ke udara pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi.

“Tujuannya ialah untuk penonton melihat sendiri dengan deria penglihatan akan suasana dan gambaran sebenar yang berlaku di dalam konti ketika mengendalikan radio selain ianya dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada pendengar setia IKIM.fm," tuturnya lagi. NURFARHANA MOHAMED Utusan/Bicara_Agama/20140909

Tags: ikim, media
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments