mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Antara impian dan harapan

MINGGU lepas menyaksikan puluhan ribu pelajar dari seluruh pelosok tanah air mendaftar sebagai mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Semua ibu bapa sudah pasti sangat berbangga anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab mereka membesar dan mendidik anak-anak sehingga berjaya.

Pendidikan anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan pendidikan agama adalah kewajipan yang perlu didahulukan dan diutamakan.

Pendidikan agama yang paling penting kepada anak-anak ialah pendidikan akidah supaya anak kita mengenal Allah SWT sebagai Penciptanya.

Kekuatan akidah akan memastikan anak-anak membesar sebagai manusia yang tawaduk serta taat kepada semua perintah-Nya dan menjauhi segala kemurkaan-Nya.

Ini bukan perkara mudah kerana dalam proses kedewasaan, anak akan bergaul dengan pelbagai jenis manusia yang akan mempengaruhinya daripada segala sudut.

Anak yang terdidik dengan akidah yang kukuh tidak mudah melatah apabila didedahkan dengan pelbagai isu dan keadaan.

Anak yang kukuh akidahnya akan solat pada waktunya, berpuasa dan berjaya mengawal diri apabila hidup dalam kancah kehidupan sebenar.

Namun, hari ini, pendidikan agama seolah-oleh sesuatu yang tidak pernah dipersoalkan. Kita beranggapan semua anak mesti telah terdidik agamanya oleh ibu bapa mereka sejak dilahirkan.

Apabila anak pandai berjalan dan bercakap, ibu bapa moden sibuk membelikan anak buku dan gajet elektronik. Selain, berbincang mengenai pilihan kelas tuisyen terbaik.

Malah tidak kurang juga yang memanggil ustaz atau ustazah ke rumah untuk mengajarkan al-Quran. Akhirnya, anak-anak mampu menguasai al-Quran tetapi tidak mengetahui kepentingan penguasaan ilmu tersebut.

Di samping itu, mereka mungkin diajar tentang solat, tetapi tidak diterangkan kewajipan bersolat dan apakah hubung kait solat dalam kehidupannya seharian sebagai hamba Allah.

Hari ini, ibu bapa mengambil cuti menjelang hari peperiksaan anak-anak, tidak kurang yang berpuasa dan bersolat hajat untuk memastikan kejayaan anak-anak, namun tidak pula bercuti untuk memastikan anak solat Jumaat atau menghadiri majlis khatam al-Quran anak di sekolah agamanya.

Budaya francais

Budaya francais bukan sahaja dalam perniagaan, tetapi ibu bapa moden menggunakan kaedah ini untuk mendidik agama anak.

Anak dihantar ke sekolah biasa dan sekolah agama. Anak berada di sekolah dari pukul 7 pagi hingga 6.30 petang kerana bersekolah biasa dan sekolah agama.

Di sebelah malam pula, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen untuk membolehkan dia lebih cemerlang dalam peperiksaannya.

Ada ibu bapa mengabaikan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di rumah kerana anak-anak ada kelas tuisyen. Begitu juga bagi anak-anak yang tidak bersekolah agama, ibu bapa mengabaikan solat Asar anak-anak kerana mempunyai kelas tuisyen pada sebelah petang.

Kebiasaannya, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen pada umur tujuh hingga 12 tahun, sedangkan umur paling sukar bagi anak-anak ialah di antara 12-17 tahun di mana mereka melalui proses kedewasaan.

Daripada penyelidikan saya, inilah masa mereka mula meninggalkan solat, tidak berpuasa dan mula mencuba rokok, arak dan seks.

Pada peringkat umur ini, mereka dikerah ke kelas tuisyen. Di sekolah pula, mereka dibebankan dengan pelbagai mata pelajaran dan peperiksaan utama yang boleh menentu masa depan.

Ada juga dalam kalangan anak-anak ini berpisah dengan ibu bapa kerana berjaya memasuki sekolah berasrama penuh.

Ibu bapa gembira tidak terkata dengan kejayaan anak-anak terpilih ke sekolah berasrama penuh yang berprestij dan anak meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada rakan sebaya.

Ramai yang terpengaruh dengan tabiat buruk semasa di asrama, tetapi ibu bapa seolah-oleh tidak ambil kisah kerana yang utama ialah mendapat gred A.

Tentunya hari pendaftaran pelajar masuk IPT yang berlangsung pada minggu lalu ini adalah saat yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa.

Yang jauh telah datang sehari dua lebih awal. Ada juga pelajar yang datang sendiri terutama dari Sabah dan Sarawak.

Bagi saya pelajar Sabah dan Sarawak sama seperti pelajar yang terpilih ke luar negara. Ia mengingatkan saya apabila saya terpilih melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ibu bapa mana yang tidak berbangga dengan kejayaan anak-anak yang mendapat tajaan belajar ke luar negara.

Namun ibu saya tidak kering air mata memikirkan kehidupan saya di UK kerana faktor usia dan gender. Apatah lagi saya tidak pernah tinggal di asrama atau tinggal berjauhan dengan keluarga.

Namun berbekal doa dan didikan agama yang kukuh saya menyahut cabaran tersebut. Begitu pun, ia bukan sesuatu yang mudah terutama apabila tinggal dalam masyarakat bukan Islam yang tidak berpegang kepada agama.

Samalah juga dengan pelajar yang datang dari jauh. Cabaran masuk IPT sangat besar menunggu mereka. Sistem pembelajaran di IPT jauh berbeza daripada sistem di sekolah. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan tempat dan persekitaran baharu. Utusan/Bicara_Agama/20140910

Tags: harapan, impian
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments