mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat adalah cahaya

TIADA istilah berhenti belajar bagi dirinya. Di sebalik keterbatasan diri sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dia masih berjaya meraih gelar seorang graduan Diploma Pendidikan. Dengan tongkat yang masih menyangga dirinya, dia terus berdiri menabur bakti. Di sebalik kesusahan, dia membina kekuatan. Mari kita telusuri bersama kekuatan azam dan keyakinan yang menjadi azimat lelaki gagah ini, Ustaz Mohd. Asari Hashim, lewat kolum Jejak Asnaf kali ini.



“Saya berasal dari Tanjung Karang, lahir 45 tahun lalu. Saya mendirikan rumaht angga bersama Aniza Azizan, 44 dan kini kami dikurniakan tujuh orang anak. Kehidupan kami sekeluarga memang diuji dengan pelbagai ranjau. Dahulu, saya sihat dan tidak bertongkat. Kemewahan pernah melimpahi diri dan keluarga. Namun, ujian Allah SWT tidak ada sesiapa pun mampu menduga."

Siapa menyangka, dia yang dahulunya pernah menjabat jawatan yang terhormat, dikenali dan disegani masyarakat, akhirnya perlu melalui getir kehidupan hanya kerana satu kesalahan yang sehingga kini masih belum dibuktikan.

“Berbelas tahun dahulu, saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat swasta. Terjadi insiden kehilangan wang dan saya dianggap orang yang melakukan kesalahan berkenaan. Namun sehingga kini kes itu masih berjalan. Saya bercadang mahu membawanya kembali ke muka pengadilan. Siapa tahu saya boleh membersihkan kembali nama saya," ujar Mohd. Asari.

Ekoran kejadian berkenaan, Asari akhirnya terpaksa menarik dirinya dan bersara daripada perjawatan lebih awal. Hatinya sedih, namun dia tiada ruang untuk memilih. Peristiwa itu juga berlaku terlalu cepat, sehinggakan dia tidak membuat sebarang persiapan untuk melaluinya. Lalu, dengan sedikit kemahiran dan kemampuan, dia mencuba beberapa jenis pekerjaan.

“Pada 2009 saya ditamatkan perkhidmatan. Selama dua bulan saya menganggur, justeru masih keliru memilih pekerjaan. Saya sudah sekian lama bekerja makan gaji, jadi penamatan jawatan itu memang mengejutkan. Kemudian, saya menerima tawaran menjadi pengawal keselamatan di sebuah syarikat dan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Itulah pengalaman yang getir bagi saya, kerana saya telah dipermainkan oleh pihak yang menawarkan pekerjaan berkenaan."

Menurut Asari, dia telah diminta mengambil para pekerja lain dan dijanjikan upah yang berpatutan. Ketika itu dia masih menggunakan sebuah kereta jenis MPV, maka tanpa berfikir panjang dan berbaik sangka, dia menggunakan kereta peribadinya untuk mengambil dan menghantar para pekerja berkenaan.

“Ternyata saya ditipu hidu-hidup olehnya. Upah membawa pekerja malah tidak dijelaskan hingga kini. Walhal, kos menggunakan kenderaan saya itu bukanlah sedikit. Saya terpaksa menanggung sendirian. Setelah kira-kira enam bulan melakukan kerja sebagai pengawal keselamatan dan mengangkut orang, akhirnya saya berhenti setelah mendapatkan pekerjaan lain yang lebih sesuai," sambungnya.

Pada tahun itu juga Asari telah ditawarkan jawatan sebagai guru di KAFA Intergrasi, Jenderam Hilir, Selangor. Dia betah menyarung jubah seorang guru, justeru jiwanya memang dekat dengan agama. Asari juga gemar dengan dunia pendidikan.

“Namun gaji saya sangat kecil, ketika itu hanya dibayar RM700 sebulan. Amat kecil dibandingkan dengan tanggungan. Namun saya sabar meneruskan kehidupan. Sehinggalah berlakunya insiden yang amat memberi kesan kepada saya, iaitu kemalangan jalan raya yang meragut kemampuan saya untuk terus bekerja seadanya," cerita Asari.

Kisahnya, pada 11 April 2011, Asari telah terlibat dengan sebuah kemalangan berdekatan perumahan kakitangan KLIA, Sepang.

“Saya membonceng sebuah motosikal yang dipandu oleh kawan dan kami berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat. Saya tidak menyedari apa-apa, tahu-tahu kami dilanggar dan segalanya berlaku terlalu pantas. Saya melambung dan sedar-sedar, sudah terlantar di hospital," katanya.

Menurut Asari, dia koma di hospital selama sebulan. Selama beberapa bulan seterusnya pula dia dimasukkan ke wad psikotik di Hospital Seremban. Malah dia pernah diikat kaki dan tangan di katil, lantaran gangguan jiwa yang telah dialaminya. Selama setahun selepas itu jugalah dia terlantar.

“Ustaz bayangkan, selama setahun jugalah saya perlu mengambil ubat penenang. Alhamdulillah, sekarang ini baru saya rasa sudah betul-betul pulih kembali. Jiwa saya juga semakin tenang dan tenteram," akui Asari.

Namun, pasca kemalangan menyaksikan Asari terus diserang beberapa jenis penyakit lain. Antaranya, kini dia mengalami gaut, osteoarthritis malah kedua-dua buah pinggangnya juga kian merosak akibat pengambilan ubat penahan sakit yang berterusan.

“Pihak hospital telah pun menjalankan pemeriksaan dalaman menerusi CT scan dan ultrabunyi (ultrasound). Namun kesakitan badan terus berlaku dan hanya ubat yang mampu menahannya," terangnya.

Mengenang ujian kesakitan yang dihadapinya, Asari hanya mampu memujuk hatinya bahawa itu mungkin salah satu cara bagi Allah SWT untuk membersihkan dirinya daripada segala dosa. Malah Asari sering memotivasikan dirinya, kesakitan yang pernah dihidapi oleh Nabi Ayub a.s itu jauh lebih mendekam diri. Maka, dengan itulah dia dapat terus memujuk dirinya untuk terus bersabar. HAMIZUL ABDUL HAMIDUtusan/Bicara_Agama/20140911

Tags: zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments