mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kepakaran rakyat Malaysia menyinar di tanah suci

TIDAK terfikir oleh penulis yang terjemahan khutbah solat Jumaat berbahasa Arab ke bahasa Melayu dari mimbar Masjidil Haram dua hari lalu (12 September 2014) datangnya dari kelunakan suara seorang anak muda Malaysia.

Waktu itu dengan fon kepala yang dibekalkan pihak masjid, penulis yang berada di pintu 73 mendengar bait demi bait kandungan terjemahan khutbah.

Terjemahan ke bahasa Melayu dari siaran radio berfrekuensi 90.5 itu begitu lancar melangkaui gelombangnya dari pintu 72 hingga 95 King Fahd, berserentak pula dengan suara khatib.

Antara yang sempat dicatatkan penulis: "Pada hari ini Masjidil Haram dan Mekah menerima tetamu Allah iaitu para jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan segala perbuatan yang boleh menyebabkan dosa padanya, maka diampunkan Allah sebagaimana dia dilahirkan oleh ibunya."

Mohamad Nurul Hafiz, 30, pelajar tahun empat Ilmu Dakwah, Universiti Umm Al-Qura, Mekah ialah rakyat Malaysia dan orang Melayu tunggal yang menjadi penterjemah khutbah di Masjidil Haram. Sudah 14 teks khutbah diterjemahkan termasuk khutbah solat Aidilfitri dan solat gerhana bulan.

Di kota suci kedua, Madinah di Masjid Nabawi pula, fungsi yang sama dilakukan oleh seorang warga Indonesia.

Cuma, penulis agak tersentuh dengan komen pemuda dari Besut, Terengganu itu apabila ditanya perasaan kali pertama dia menterjemah kandungan khutbah bahasa Arab di Masjidil Haram, 7 Jun lalu.

"Seakan-akan Allah membuka mimbar Masjidil Haram kepada rakyat Malaysia untuk membaca khutbah," kata beliau dalam pertemuan pada satu majlis usrah di Batah Al-Quraish, sebuah kawasan kejiranan di Mekah.

Mohamad Nurul rupa-rupanya tidak keseorangan dalam mencatatkan nama anak Malaysia yang menuai bakti di Masjidil Haram. Ada beberapa insan lagi yang kebetulan memang 'rezeki' penulis dipertemukan dengan mereka dalam usrah berkenaan.

Mohd. Rus Abbas, 36, perunding kos dengan sebuah firma Arab Saudi yang terlibat dalam projek pembesaran Masjidil Haram termasuk pembinaan mataf memberitahu, perasaannya sukar hendak digambarkan pada peringkat awal menggalas tanggungjawab itu.

"Selalunya sebelum ini saya terlibat dalam projek membina Pavillion, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh; Lynas dan sebuah projek penapisan minyak di Melaka.

"Tetapi kali ini Masjidil Haram. Nampaknya Kaabah terlalu dekat dengan saya sehingga nak buat silap pun takut sebab bos sebenar bukan manusia tapi di atas sana (Allah). Kejujuran dan ketelusan penting untuk menjayakan projek macam ini," katanya yang berada di Mekah sejak 2011.

Dalam hal ini, Mohd. Rus melihat ada prospek besar untuk direbut oleh profesional Islam dalam projek pembesaran kiblat umat Islam itu.

"Apatah lagi kita (Malaysia) antara negara yang berada di depan dalam industri pembinaan. Sepanjang empat tahun ini, jumlahnya (projek) semakin bertambah, kita boleh bersama-sama berkongsi ilmu," katanya sambil memberitahu projek pembesaran masjid itu bermula sejak 2009 tetapi dari segi fizikal akhir 2012.

Ditanya pandangannya mengenai projek pembesaran Masjidil Haram yang dikatakan menjejaskan tempat-tempat suci, kata bapa kepada dua orang anak ini:

"Ini untuk keselamatan jemaah itu sendiri. Apatah lagi dengan bangunan lama tidak lagi seiring pertambahan umat Islam. Kadangkala kita merungut kuota kurang, waktu menunggu lama… maka inilah sebab-musabab pembesaran ini," kata anak jati Sabak Bernam, Selangor itu.

Mohd. Rus sebelum dipanggil berkhidmat di Mekah ialah perunding projek gas di Muscat, Oman.

Penasihat teknikal Albalad Alameen, Roselan Salleh, 48, pula berkata, kerajaan Arab Saudi meletakkan kepercayaan tinggi kepada pekerja Malaysia dan mereka amat menghargainya.

Albalad Alameen adalah majlis perbandaran Mekah yang terlibat dalam projek-projek penswastaan di tanah suci termasuk pembangunan semula kawasan setinggan serta pembangunan perkhidmatan transit aliran ringan Metro Mekah.

"Orang Malaysia ini pergaulannya teratur, budi bicaranya tersusun. Sebab itu kerajaan Arab Saudi senang dengan kita. Sebagai seorang Islam apabila mendapat peluang bekerja di Mekah, ini bukan satu anugerah kecil tetapi peluang besar.

"Dalam ramai-ramai orang di dunia ini, kita yang terpilih," kata Roselan yang juga juruukur bahan.

Dalam pada itu, Mohd. Zahiri Maulud, 55, Pengurus Besar Nozoly, sebuah firma Arab Saudi yang mengendalikan anak syarikat memasang khemah-khemah pakej biasa dan mahal untuk jemaah semasa wukuf di Arafah, menyifatkan penglibatan dalam projek itu sebagai peluang untuk berbakti di tanah suci.

"Sekarang kami sudah mula memasang khemah-khemah berkenaan sekitar 50 peratus termasuk katil, membekalkan peralatan elektrik dan alat pendingin hawa untuk urusan dalam sehari (wukuf) tersebut," katanya sambil memberitahu jemaah dikendalikan ialah dari Indonesia, Singapura, Brunei selain Malaysia.

Nozoly turut menyediakan khemah mahal melibatkan kapasiti muatan 2,100 jemaah untuk pakej orang kenamaan (VIP).

"Tuan punya firma itu kenalan saya dan mengajak saya bekerja dengannya. Begitupun, hakikatnya bukan senang hendak mendapatkan kepercayaan daripada orang Arab," kata Mohd. Zahiri yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - UTUSAN  Khabar Dari Mekah Utusan/Rencana/20140915/

Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments