mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tokoh pemikir yang berpengaruh

NAMA lengkapnya adalah Jamaluddin al-Afghani as-Sayid Muhammad bin Shafdar al-Husain. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Jamaluddin al-Afghani. Gelaran ‘sayid’ yang disandangnya, membuatkan sebilangan sarjana menganggap beliau berasal dari keturunan Hussain bin Ali. Beliau dilahirkan pada 1838 di sebuah kampung bernama Asadabad, Hamadan, Iran (Parsi). Bagaimanapun, sesetengah sumber lama (tradisional) pula menyatakan beliau lahir di Asadabad, wilayah Kunar, Afghanistan.

Ia merupakan seorang pemikir Islam, aktivis politik dan jurnalis terkenal. Kebencian al-Afghani terhadap kolonialisme menjadikan beliau pencetus gerakan nasionalisme dan pan-Islamisme yang gigih, baik melalui ceramah mahupun tulisan-tulisannya.

Beliau seorang yang bijak, berwibawa, memiliki karisma yang tinggi dan berkeyakinan teguh akan masa depan peradaban Islam yang cemerlang. Di tengah-tengah kemunduran kaum Muslim dan gejala ancaman kolonialisme bangsa Eropah di wilayah-wilayah Islam, al-Afghani menjadi seorang tokoh yang begitu berpengaruh dalam perkembangan pemikiran dan pergerakan-pergerakan sosial pada abad ke-19 dan ke-20.

Jamaluddin al-Afghani adalah pemimpin Islam yang tempat tinggal dan aktivitinya berpindah dari satu negara ke negara lain. Pada awalnya beliau menjadi pembantu Sultan Dost Muhammad Khan di Afghanistan. Pada 1864, beliau menjadi penasihat Sher Ali Khan.

Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik oleh Muhammad A‘zam Khan menjadi Perdana Menteri Afghanistan. Disebabkan faktor keselamatan, maka pada 1869 beliau berpindah ke India. Di India, beliau tidak bebas, kemudian pada 1871, beliau berpindah pula ke Mesir.

Gerakan berfikir

Selama lapan tahun bermukim di Mesir, al-Afghani telah meninggalkan pengaruh yang besar di sana. Al-Afghani telah membangkitkan ‘gerakan berfikir’ sehingga negara ini berupaya mencapai pelbagai kemajuan. Mesir moden, menurut Ibrahim Madkur, ahli falsafah Mesir, adalah hasil usaha Jamaluddin al-Afghani.

Di Mesir, beliau giat memberikan kuliah dan mengadakan diskusi-diskusi. Di antara murid-murid al-Afghani itu yang kemudian menjadi tokah terkenal di Mesir ialah Muhammad Abduh dan Sa‘ad Zaghlul.

Al-Afghani menghabiskan banyak waktunya mengelilingi pelbagai negara. Namun, beliau paling lama menetap di Mesir dan India. Kunjungannya ke India ketika itu sewaktu berlakunya pemberontakan rakyat India menentang penjajah Inggeris pada 1857, yang memberi kesan terhadap nasib kaum Muslim di India. Pengalamannya ini menjadikan al-Afghani membenci imperialisme, terutama imperialisme Inggeris sepanjang hayatnya. Beliau yakin bahawa pemerintahan Inggeris di wilayah Islam menjadi penyebab lemahnya Islam.

Al-Afghani juga menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan. Beliau mengecam kecenderungan perpecahan dalam pertubuhan umat Muslim. Salah satu cita-cita dan idaman al-Afghani adalah menghubungkan perbezaan-perbezaan antara golongan Sunni dan Syiah. Menurut al-Afghani, perbezaan di antara kedua-dua golongan itu adalah persoalan masa lalu yang tidak relevan lagi untuk masa sekarang. Bahkan, hal itu hanya melemahkan umat Islam yang sedang diancam oleh musuh asing.

Al-Afghani juga aktif berpolitik. Ketika berada di Mesir, beliau secara terbuka menentang pemerintah Mesir dan pengaruh serta campur tangan Inggeris di negara tersebut. Pandangannya ini membuatkan beliau dianggap sebagai ketua atau ‘presiden’ bagi aktiviti politik Islam, meskipun hal itu juga yang menyebabkan beliau terusir dari Mesir pada 1879.

Pembaharuan

Dalam kebanyakan tulisan dan cermahnya, al-Afghani cuba mentafsirkan kembali nilai-nilai Islam. Beliau berupaya menunjukkan landasan yang kukuh bagi pembaharuan kehidupan kaum Muslim, sehingga mereka akan menjadi lebih moden dan rasional dalam berfikir.

Al-Afghani berpendapat bahawa umat Islam ketinggalan kerana kejumudan dan ‘ketaatan’ mereka pada tradisi. Dalam keadaan ini, kejayaan umat Islam hanyalah cita-cita yang kosong belaka. Dalam salah satu tulisannya di dalam al-‘Urwah al-Wusqa, beliau menegaskan bahawa tindakan manusia bersumberkan daripada fikiran. Tindakan ini memperkukuhkan fikiran yang dibawanya. Kebekuan fikiran dan tindakan yang berlangsung terus meneruslah yang menyebabkan kemunduran dalam dunia Islam.

Dari Mesir, al-Afghani berpindah ke Perancis. Di sini, beliau menubuhkan perkumpulan al-‘Urwah al-Wusqa. Tujuannya antara lain ialah memperkuat persaudaraan Islam, membela Islam dan membawa umat Islam kepada kemajuan.

Atas undangan Sultan Abdul Hamid, Al-Afghani seterusnya berpindah ke Istanbul pada 1892. Bagaimanapun, kerjasama antara al-Afghani yang berfikiran demokratik dengan Sultan Abdul Hamid yang masih mempertahankan otokrasi, tidak dapat dicapai.

Disebabkan takut terhadap pengaruh al-Afghani yang begitu besar, maka kebebasan al-Afghani dibatasi oleh Sultan Abdul Hamid. Beliau tidak dibenarkan keluar dari Istanbul. Beliau terus menetap di Istanbul sehingga meninggal dunia pada 1879.   Utusan/Bicara_Agama/20140916

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments