mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ilmu kunci kepada segalanya

MEMELUK Islam bukan sekadar mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun, anugerah hidayah yang diperoleh itu wajib disusuli dengan usaha memahami dan mendalami Islam yang sebenar secara istiqamah.


Bimbingan dan pemantauan ini tidak sekadar membina jati diri Islam dalam diri seorang mualaf, malah sekali gus memelihara imej Islam, khasnya di mata mereka yang belum Islam. Dikatakan tempoh lima tahun pertama pengislaman adalah merupakan fasa kritikal bagi seorang mualaf.

Dalam tempoh tersebut, saudara baharu itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Apatah lagi keyakinan dan akidah mereka masih tipis, selain masih dalam proses mencari erti Islam yang sebenar. Ditambah pula, jika seseorang saudara baharu itu menghadapi tentangan daripada ahli keluarga serta sokongan umat Islam itu sendiri.

Hal ini diakui Pembantu Pegawai Dakwah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Amran Abdullah sebaik diajukan persoalan berkaitan dengan kemelut seorang mualaf.

“Ada segelintir saudara baharu yang terpaksa merahsiakan pengislaman mereka daripada pengetahuan ahli keluarga demi keselamatan, takut kehilangan keluarga kandung serta demi menjaga hati ibu dan bapa," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Perkim, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tekanan sedemikian berisiko untuk mereka menjadi murtad atau wujudnya persepsi negatif bahawa mereka lebih ‘tertarik’ kepada kelayakan menerima santunan zakat atau atas sebab ingin berkahwin dengan orang Islam.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Keadaan itu ditambah pula dengan sikap dan tindakan segelintir masyarakat Islam yang tidak mencerminkan imej Islam yang sebenarnya.

“Kadang kala kemurnian Islam telah terlindung atau dihijab oleh orang yang lahir sebagai Islam. Contohnya, ada mualaf tengok mereka tidak solat, tidak berpuasa, tidak menutup aurat dalam erti kata yang sebenar dan lain-lain.

“Jadi, mereka keliru tetapi kami cuba hapuskan dengan menanam kefahaman bahawa titik tolak kepada perubahan itu perlu kepada ilmu serta jangan mudah terikut mereka yang tidak betul," tegas Amran.

Lantaran itu, Amran yang sudah berpuluh tahun terlibat dalam membimbing mualaf itu menyifatkan cabaran itu perlu ditangani secara berhemah dan proaktif oleh badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta masyarakat Islam itu sendiri.

Antaranya yang penting adalah pendekatan tenaga pengajar yang bukan hanya perlu berubah mengikut perubahan semasa.

Tambah beliau, pada masa yang sama tenaga pengajar seharusnya berhati-hati dalam menyampaikan ilmu agama supaya golongan ini yang dikategorikan masih berjinak-jinak dengan Islam agar mudah menerima pengajaran Islam dengan hati dan fikiran yang terbuka.

“Untuk orang yang baru masuk Islam, kita perlu fokus kepada soal akidah dan beri kefahaman tentang agama Islam secara positif.

“Penyampaian secara negatif akan menyebabkan mereka itu rasa berat dan terbeban serta menganggap Islam itu susah dan terlalu payah melaksanakannya," katanya.

Tidak sediakan elaun

Sementara itu, bagi Pengerusi Biro Saudara Kita di Persekutuan Seruan Islam, Dr. Ann Wan Seng turut melihat ia juga berpunca daripada wujudnya tanggapan bahawa golongan saudara baharu itu tidak mampu untuk hidup sebagai seorang Muslim yang sebenarnya.

“Ada juga yang bersikap sukar menerima golongan mualaf ini sebagai sebahagian umat Islam dan sebab itulah wujudnya gejala seperti pengabaian, pengasingan serta tidak memberi ruang dan peluang untuk mereka belajar serta hidup sebagai seorang Muslim sejati," katanya.

Selain itu, Dr. Wan Seng yang merupakan tenaga pengajar di Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) turut menekankan bahawa perlu juga dilihat aspek tarikan orang bukan Islam kepada Islam, sehingga mereka berminat atau timbul keinginan untuk bergelar Muslim.

Ini kerana mendidik golongan tersebut tidak boleh dilakukan seperti yang diguna pakai dalam sistem pendidikan di sekolah atau pendidikan peringkat tinggi.

“Apa yang mereka mahu? dan itulah yang sepatutnya kita buat. Apa lagi, Islam adalah agama yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia," kata Dr. Wan Seng sambil menambah, Macma lebih memberi fokus kepada mualaf dari luar negara dan juga kaum Cina tempatan daripada aliran pendidikan Cina.

Namun menariknya, Macma tidak pernah menyediakan sebarang bentuk elaun atau insentif kepada golongan mualaf yang mengikut kelas pengajiannya.

“Kami tidak pernah menyediakan kemudahan itu sejak 10 tahun lalu tetapi saya difahamkan bahawa kelas Macma adalah antara kelas yang mendapat sambutan baik daripada golongan mualaf.

“Pada hari biasa sahaja, antara 30 hingga 40 orang yang hadir dan kami kira ia satu petanda yang baik. Mungkin kerana pendekatan kami adalah cuba memahami apa yang mereka mahu tahu tentang Islam," katanya.

Guna khidmat mualaf

Sejajar dengan perkembangan itu, antara pendekatan yang digunakan oleh Perkim adalah menggunakan khidmat golongan mualaf yang berkelayakan untuk mengajar mereka yang baru masuk Islam.

Khidmat golongan yang sama latar belakang pengislaman itu penting kerana mereka lebih memahami apa yang perlu diketahui oleh mualaf terbabit, bagi mengelakkan mereka kembali kepada agama asal atau murtad.

Malah Perkim turut menggunakan modul yang dihasilkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Modul itu dikatakan merangkumi semua aspek yang sesuai untuk membolehkan golongan mualaf mendalami dan memahami Islam.

Dalam pada itu, menurut Amran, Perkim turut menekankan pendekatan menjadikan saudara baharu sebagai kawan supaya mereka dapat merasai wujudnya semangat kekitaan dan dihargai.

“Kita bukan hanya buat kelas tetapi turut mengadakan program usrah dan ziarah rakan saudara baharu, khususnya yang baru sahaja memeluk Islam supaya mereka merasai ukhuwah sesama Islam serta nasib mereka dibela selain, rasa diri mereka dihargai," katanya. HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140918

Tags: istiqamah, muaalaf
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments