mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ekstremisme bukan ajaran Islam

Ekstremisme (pelampau) pada prinsipnya bukanlah ajaran Islam. Islam itu sendiri mengajar kedamaian dan kesejahteraan.

Penegasan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-69 amat jelas mengenai pentingnya sifat moderation (sederhana) dan wasatiyyah (berimbang) menjadi asas kenegaraan dan dunia.

Sikap pelampau memang terdapat dalam kalangan semua penganut agama walaupun Islam itu sendiri tidak mendidik pemeluknya menjadi ganas dan pelampau.

Banyak faktor yang menyebabkan kepelampauan ini terjadi sama ada kefahaman ideologi, politik malah salah faham terhadap agama turut menyumbang.

Hatta maksud jihad dalam Islam selalu disalah erti. Maksud jihad yang sebenar adalah perjuangan membebaskan manusia dari belenggu dan bertujuan membawa kebaikan dan perubahan.

Jihad ilmu umpamanya adalah jalan terbaik bagaimana kemajuan dan perubahan manusia dilandasi dengan pedoman yang terarah.

Pendekatan moderation dalam konteks dunia teramat perlu kerana peperangan yang berlaku di Syria dan Iraq bukanlah suatu gambaran yang baik untuk umat Islam.

Melibatkan kuasa besar selalunya memburukkan lagi keadaan. Umat Islam sering terjebak dengan percaturan ini dan menyebabkan ketahanan umat semakin lemah dan ia menjadi mangsa eksploitasi pihak lain yang berkepentingan.

Pendekatan wasatiyyah seperti yang diungkapkan oleh al-Quran (Surah al-Baqarah :143) adalah jalan terbaik bagi umat Islam.

Pendekatan berimbang ini tidak menjadikan umat Islam sering reaktif dan emosional dalam berdepan dengan cabaran dan hilang pertimbangan maslahah (strategi) dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Lalu jawapan kepada kemelut yang ada adalah bersikap pelampau atau ekstrem dan natijah akhirnya menjadikan situasi lebih parah. Pendekatan berimbang banyak menuntut kesabaran dan bijaksana.

Umat Islam harus mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti. Tidak salah menjadi idealis asal saja ia diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti.

Seorang idealis yang baik juga seorang realistik yang tahu mengimbangi antara cita-cita dan keazaman dengan melakukan yang terbaik sebagai suatu maslahah.

Penegasan al-Quran mengenai pentingnya sifat litaarrafu (al-Hujurat : 13) membawa maksud kekenalan dalam erti kata yang luas supaya sifat perkongsian dan saling memahami terjadi bukannya membina kecurigaan yang menimbulkan kebencian dan dendam.

Ekstremisme boleh menyebabkan manusia hilang rasional diri dan perimbangan sikap dan menyebabkan konflik terjadi, keazaliman berlaku dan tindak balas yang memusnahkan.

Membangun masyarakat berimbang menjadi tuntutan kini supaya umat Islam memilih pendekatan yang berhikmah dan menyantuni supaya masalah berbangkit dapat dileraikan dan sesama warga umat wahdah (kesatuan) terjadi.

Selalunya umat Islam sering terjebak dengan provokasi orang lain dan berantakan sesama sendiri tanpa menginsafi orang lain mempunyai strategi jangka panjang melakukan sesuatu.

Lalu kita bermusuh sesama kita dengan rasa kebencian yang tinggi dan dendam kesumat yang melampau. Ruang untuk berbincang dan duduk semeja ternafi.

Yang dilihatnya adalah saudara seagama harus dihadapi dengan keras dengan label-label yang menyakitkan kerana perbezaan ideologi perjuangan tanpa menginsafi perbuatan tersebut bakal melemahkan umat dan menggirangkan musuh.

Penegasan Perdana Menteri itu tidak saja ditujukan kepada kuasa-kuasa besar yang sering menjadikan umat Islam sebagai kambing hitam tetapi terhadap umat Islam juga yang sering membiarkan diri menjadi agenda adu domba pihak lain.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama harus melihat perkara moderation dan kesederhanaan ini sebagai sesuatu yang amat mustahak dijadikan landasan bernegara.

Ekstremisme yang muncul dan menyimpang dari maksud Perlembagaan Negara bakal melemahkan kekuatan bernegara. Isu-isu agama, bahasa, budaya dan formula perpaduan yang disepakati tidak harus menjadikan kita lupa kepada sejarah.

Sejarah mencapai kemerdekaan memberi kita asas untuk saling-memahami supaya keseimbangan terjadi dan keadilan berlaku. Jika terjadi ektremisme ia bakal merosakkan persefahaman dan negara boleh runtuh kerananya. Jendela Tok Ki Utusan/Rencana/20140930

Tags: ekstrimisme
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments