mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengorbanan ibu

TERPAKSA berjauhan dengan anak pada usia seawal enam bulan bukan perkara mudah untuk dilakukan oleh seorang ibu, apatah lagi bagi kelahiran anak sulung.

Namun itulah yang terpaksa dilalui oleh seorang peserta Diploma Pengurusan Islam (DPI) siri 4 anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Norfaiezah Mohd. Zainal, 30, apabila perlu mengikuti kursus latihan kepimpinan selama enam bulan.

Siapa sangka, pengorbanan kakitangan Bahagian Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu berbaloi apabila beliau merupakan salah seorang daripada tiga peserta kursus lain yang menerima anugerah khas pada kursus tersebut.

Norfaiezah yang menerima Anugerah Ketua Pengarah, ILIM itu berkata, tidak dinafikan berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan anak pertamanya itu, namun tidak mematahkan semangat untuk melakukan yang terbaik sepanjang mengikuti kursus wajib bagi Pegawai Hal Ehwal Islam, lantikan baharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Sebaliknya katanya, pengorbanan itu menaikkan semangat anak kelahiran negari Melaka itu untuk menunjukkan tiada halangan yang mustahil dilakukan untuk berjaya.

“Sebagai seorang ibu yang baru melahirkan anak pastinya teruja melihat perkembangan zuriat yang dilahirkan membesar di depan mata pada setiap saat dan langkah. Apatah lagi ini merupakan anak yang pertama sepanjang tempoh perkahwinan.

“Namun, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana pengorbanan meninggalkan anak selama enam bulan ini memberi pengakhiran yang gembira buat saya apabila sungguh saya tidak menyangka dianugerahkan dengan anugarah khas ini," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut pada majlis Konvokesyen ketiga, kursus DPI, ILIM di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 187 graduan yang menerima penganugerahan pada majlis tersebut yang terdiri daripada 29 graduan kursus DPI siri 4 dan 154 graduan lagi masing-masing daripada enam program Sijil Tinggi anjuran ILIM.

Bantuan ibu

Majlis konvokesyen disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jakim, Datuk Razali Shahabudin.

Norfaiezah berkata, sepanjang tempoh kursus itu beliau terpaksa meminta bantuan daripada ibunya yang berada di kampung untuk menjaga anak tersebut selain suaminya yang turut perlu berkorban.

“Oleh kerana saya dan suami masing-masing sibuk dengan tugas, kami terpaksa menghantar anak kepada emak sementara waktu di Melaka untuk membantu menjaga anak. Namun, apabila ada kelapangan seperti pada

hari minggu, kami akan pulang ke kampung untuk melihat anak saya itu," ujarnya.

Sementara itu, bagi Muhamamad Hannan Syafiq Jamaluddin, 30, mengikuti kursus DPI dapat melatih auditor di Bahagian Hub Halal, Jakim itu untuk meningkatkan kemahirannya dalam menguruskan sesuatu majlis dengan lebih teratur.

Beliau yang menerima Anugerah Ketua Pengarah Jakim itu berkata, ia menerusi salah satu tugasan yang diberikan kepada peserta kursus untuk mengelolakan program acara besar dengan sendiri serta projek khas yang perlu dilakukan secara berkumpulan.

“Walaupun telah beberapa tahun berkhidmat di Jakim, tetapi dengan mengikuti kursus ini memberikan pelbagai ilmu dan latihan secara praktikal yang membina kemahiran baru kepada peserta dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

“Begitu juga kemahiran tambahan seperti menguruskan program-program besar sendiri yang sangat bersesuaian untuk amalkan ketika bertugas di lapangan," katanya.

Senada dengannya, penerima anugerah khas, ILIM, Junaidi Yahya, 43, berkata, segala pengisian yang diadakan sepanjang kursus ini bertepatan dengan keperluan kakitangan terutamanya di jabatan kerajaan untuk dipraktik dalam menjalankan tugas.

Beliau yang bertugas sebagai Imam Eksekutif bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan itu berkata, ini kerana kursus tersebut dapat memantapkan lagi kemahiran dan kebolehan kakitangan dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Jika sebelum ini, kursus seperti ini tidak diberikan kepada kakitangan, ia agak menyukarkan dan memberi tekanan kepada kakitangan apabila terpaksa berhadapan sesuatu situasi yang belum pernah dilakukan.

“Dengan adanya kursus sokongan ini, sedikit sebanyak memberi input kepada kakitangan supaya tidak panik menghadapi sesuatu situasi baru ketika bertugas," jelasnya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20141002

Tags: ibubapa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments