mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

'Labaik Allahumma Labaaik…'

HARI ini, Jumaat 9 Zulhijjah atau 3 Oktober di Padang Arafah, 22 kilometer dari kota suci Mekah, `pintu langit dibuka dan Allah akan memakbulkan doa-doa untuk para tetamu-Nya.

"Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni'mata Laka Wal Mulka La Syarikalah."

(Aku datang kepada-Mu ya Allah, aku datang. Aku datang dengan tidak mensyirikkan Engkau, aku datang. Sesungguhnya segala kepujian kepada Engkau, segala nikmat dari Engkau dan kerajaan kepunyaan Engkau. Tiada sekutu bagi Engkau).

Di Arafah inilah tempat berhimpun lebih dua juta umat Islam bagi mengerjakan rukun haji yang kedua iaitu berwukuf. Ia kemudian akan diikuti ibadah Masya'ir iaitu bermabit di Mudzalifah dan Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah. Bilangan jemaah ini juga meliputi 1.3 juta jemaah luar Arab Saudi termasuk 22,320 orang dari Malaysia.

Bagi keluarga para jemaah di tanahair, anda jangan risau. Walaupun 61 peratus daripada 22,320 jemaah haji Malaysia adalah warga dalam lingkungan 52 hingga warga emas seusia 75 tahun, Tabung Haji yang memiliki kekuatan 600 anggota di tanah suci amat prihatin dan mengambil berat kebajikan mereka.

Menerusi program 'Sahabat Tabung Haji' sahaja, Hussin Md. Said, 81, yang uzur dari Johor; Yaminah Manguiano, 67, dari Pahang (kabur penglihatan) serta pensyarah, Zaidi Yazid, 43, yang buta dari Melaka adalah antara 53 orang yang bernasib baik ditemani pengiring ke ibadat Masya'ir. Bukan sahaja itu, disediakan pula alat mandian, pakaian dan lampin pakai buang.

Ketelitian Tabung Haji terbukti sehinggakan ke tali bagasi jemaah yang dihantar dari Madinah ke Mekah pun, ditandakan warna-warna tertentu untuk dihantar ke aras yang ditetapkan di maktab-maktab penginapan di kota Mekah.

Doakan kesejahteraan insan-insan tersayang anda.

Wukuf hari ini dijangka tiada hujan dalam keadaan cuaca kering dan panas, bermula dari gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh) 10 Zulhijjah.

Masuk waktu Zuhur di Arab Saudi hari ini adalah pukul 12.10 tengahari (5.10 petang waktu Malaysia) sehingga sebelum azan Subuh berkumandang pada 4.48 pagi (9.48 pagi waktu Malaysia) keesokannya, Sabtu 4 Oktober.

Menurut riwayat, dinamakan Arafah bersempena tempat pertemuan pertama Nabi Adam dan Hawa selepas mereka diturunkan dari syurga ke bumi. Di Arafah jugalah tempat Malaikat Jibril mengajar Nabi Ibrahim tentang amalan haji. Selesai menerangkan tentang amalan-amalan haji, Jibril bertanya, ARAFTA? lalu Nabi Ibrahim menjawab, ARAFTU.

Dalam hadis Riwayat Abu Daud menyebut, siapa yang meninggalkan wukuf di Arafah, maka hajinya tidak sah kerana Rasulullah SAW bersabda: "Haji itu adalah Arafah."

Sesiapa yang datang pada malam manusia berhimpun sebelum terbit fajar, maka dia telah mendapat haji.

Wukuf boleh dilaksanakan di mana-mana tempat di dalam kawasan Arafah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang bermaksud,

"Di sinilah aku berwukuf dan Arafah keseluruhannya adalah tempat wukuf."

Hari Arafah memiliki banyak keutamaan seperti yang disebutkan dalam banyak hadis. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

"Tiada hari yang lebih banyak Allah memerdekakan hamba-hamba-Nya dari seksa neraka melainkan pada Hari Arafah dan sesungguhnya Allah mendekatkan ke bumi seraya membanggakan mereka di hadapan para malaikat-Nya seraya berfirman:

"Dan mereka sesuai dengan apa yang mereka inginkan".

Rasulullah juga bersabda: "Tiada terlihat syaitan pada hari yang ia berasa lebih kerdil, lebih terusir, lebih hina dan lebih marah melainkan di Arafah. Ini kerana pada hari itu ia melihat turunnya rahmat Allah dan terhapusnya dosa-dosa manusia."

Diriwayatkan dari Thariq bin Syihab, dia berkata: Seorang lelaki Yahudi datang kepada Umar lalu berkata, "Wahai Amirul mukminin! sebuah ayat dalam kitab suci kalian yang selalu kalian baca, jika diturunkan kepada kami bangsa Yahudi, nescaya hari tersebut akan kami jadikan sebagai hari raya."

Umar berkata: "Ayat apakah itu?"

Ia menjawab: "Surah Al-Maidah ayat 3: " Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam menjadi agama bagimu."

Umar berkata: "Kami tahu hari itu dan tempat turunnya ayat tersebut kepada Nabi Muhammad SAW iaitu di saat baginda sedang wukuf di Arafah pada Jumaat."

Termasuk keutamaan hari Arafah bahawa puasa di hari tersebut dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan setahun akan datang.

Dengan wukuf untuk Musim Haji 1435H ini, fadilatnya cukup besar, iaitu para jemaah yang berhimpun di tanah suci ini memperoleh Haji Akbar.

Menurut pakar rujuk ibadat Tabung Haji, Datuk Fadzil Awang, hadis mafru' yang diriwayatkan oleh Razin menyebut wukuf pada Jumaat adalah seafdal-afdal Haji berbanding wukuf hari selainnya.

"Memang disebut fadilatnya dalam al-Quran dan hadis mafru' atau hadis sahih bahawa apabila wukuf di Padang Arafah jatuh pada hari, Jumaat, fadilatnya adalah 70 kali haji (berbanding haji yang wukufnya selain Jumaat)," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kali terakhir wukuf pada Jumaat adalah tujuh tahun lalu iaitu pada 2007.

Fadzil menjelaskan, kelebihan Haji Akbar telah tersebar luas dan dimaklumi oleh umat Islam. Bagaimanapun ia mencetuskan pandangan berbeza dalam kalangan ulama.

"Ada ulama menyatakan Haji Akbar adalah Hari Wukuf di Arafah itu sendiri manakala pandangan ulama yang lain Haji Akbar itu adalah Hari Raya Haji (Aidiladha). Ulama lain pula berpendapat Haji Akbar meliputi keseluruhan Hari Raya Haji dan tiga Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah," kata beliau.

Begitu pun kata Fadzil, pandangan keseluruhan ulama dan telah pun disebut dalam al-Quran dan Hadis adalah:

"Fadilat wukuf yang jatuh pada hari ini Jumaat, fadilatnya memang cukup besar bagi sesiapa mengerjakan haji tahun ini iaitu 70 kali haji.

"Tidak hairanlah umat Islam termasuk penduduk Arab Saudi sendiri akan berusaha mengerjakan haji tahun ini."

Pesan Fadzil: "Manfaatkan setiap saat anda (jemaah) berada di Arafah hari ini secara maksimum.

"Lakukan zikir, beristighfar, berdoa dan membaca al-Quran.

"Selain menyerahkan sepenuh keikhlasan diri kepada-Nya, bacalah surah Al-Haj serta Al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali, Insya-Allah akan termakbul doa-doa," katanya.

Esok, Sabtu, umat Islam di Malaysia pula disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah 1435 hijrah yang jatuh pada 4 Oktober mengikut kalendar setempat. Mereka tidak perlu berpuasa sunat Arafah mengikut kalendar Arab Saudi yang menetapkan 9 Zulhijjah jatuh hari ini.

Puasa sunat hari Arafah, kata Fadzil, yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji, mempunyai ganjaran yang besar.

Kata beliau: "Kelebihan berpuasa pada hari Arafah (esok Sabtu di Malaysia) adalah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW." Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20141003

Tags: haji, labbaikallah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments