mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Merakyatkan korban atau mengorban rakyat

Pesanan yang dikongsi dalam media sosial mengejutkan penulis, apabila umat Islam diminta bersedia dengan pisau dan kapak hujung minggu ini. Ini disebabkan banyak yang bernyawa akan dikorbankan.


Rupa-rupanya ia hanya mesej untuk bergurau senda sempena Hari Raya Aidiladha yang mana banyak lembu, kerbau dan kambing biri-biri akan dikorbankan.

Ibadah korban sempena Hari Raya Haji sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat Islam negara ini hingga orang yang tidak layak membuat korban turut berminat berbuat demikian. Apa yang penting kita perlu sedar bahawa ibadah korban bukan setakat majlis menumbangkan lembu semata-mata untuk disembelih.

Ia adalah manifestasi pengorbanan Nabi Ismail AS dan Nabi Ibrahim AS untuk menunaikan perintah Allah SWT dengan penuh tawaduk.

Seharusnya pihak berkuasa sama ada dalam bab agama dan pentadbiran politik memantau ibadah korban dengan sistematik, ditakuti ibadah mulia tersebut diadakan sekadar ritual semata-mata.

Hukum-hakam dalam bab berkorban perlu diteliti agar yang memberi korban dapat pahala yang sepatutnya.

Orang yang membuat korban wajib menyedekahkan daging korban kepada umat Islam dan beliau dibenarkan mengambil satu pertiga daripada daging korban yang dilakukannya.

Pendek kata pihak masjid, surau mahupun alim ulama wajar memantau ibadah tersebut sempurna dilakukan mengikut syarat-syarat agar ia tidak menjadi ibarat mencurah air di daun keladi.

Namun dalam kita 'kecoh' ingin menunaikan ibadah korban, para pemimpin harus menjadikan amalan ini sebagai amalan beragama dalam masyarakat yang menjanjikan pahala hingga ke syurga.

Ini disebabkan hari ini ibadah korban sudah menjadi suatu budaya semata-mata, hingga barokah dan manfaat kepada ummah seakan-akan hilang bak ekor lembu yang menjadi rebutan.

Penggerak

Sehubungan itu, pemimpin dan rakyat perlulah menghayati hikmah amalan korban dengan sempurna kerana ia mampu membentuk masyarakat yang bekerjasama dan bersatu-padu. Pemimpin di samping itu perlu menjadi penggerak kepada amalan korban tanpa mencampur-aduk elemen politik dalam penganjuran ibadah tersebut.

Jadilah pemimpin yang merakyatkan korban, yang mana program tersebut mampu menjadikan Islam dilihat sebagai agama keamanan sejagat.

Fenomena hari ini ada pemimpin yang sanggup menyusahkan rakyat untuk berkorban masa dan tenaga demi mencapai tujuan politik yang penuh tipu daya. Rakyat diheret dalam arena persaingan dan kemelut politik hingga isu rakyat seperti sampah, denggi dan perumahan masih gagal ditangani dengan sempurna.

Tidakkah pemimpin-pemimpin berkenaan kasihan, betapa rakyat bersusah-payah untuk disuruh mengundi berulang kali kerana mahu melantik orang yang secara lahiriah tidak layak menjadi ketua sebuah negeri.

Bagi rakyat sendiri, mengapa sanggup menjadi mangsa politik dan dikorbankan intelektualisme mereka kerana satu dua pemimpin yang melihat menukar pemimpin mampu mengisi nafsu serakah politik diri hingga kebajikan rakyat terabai.

Sedarlah wahai mana-mana pemimpin pembangkang mahupun sebaliknya yang menjadikan rakyat sebagai korban untuk mereka berada di tampuk kuasa.

Jangan meletakkan rakyat yang mengharapkan pemimpin membawa perubahan tetapi terus bersandiwara politik yang merupakan drama murahan yang sering ditonton setiap petang di TV.

Justeru, contohilah iltizam pemimpin seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sanggup mengorbankan rasa sedih, kemarahan ketika berbincang dengan pemimpin puak pemisah Ukraine bagi mengeluarkan jenazah mangsa-mangsa MH17 dari lokasi insiden. Sedangkan antara yang terkorban ialah nenek tiri beliau sendiri.

Itulah contoh pengorbanan seorang pemimpin demi mengurangkan derita perasaan waris-waris mangsa pesawat yang ditembak jatuh.

Sempena Hari Raya Korban ini kepada pemimpin negara mahupun masyarakat, teruskan merakyatkan ibadah korban. Bukan sebaliknya mengorbankan rakyat untuk agenda peribadi dan habuan politik duniawi semata-mata.   ABDUL RAZAK IDRIS Utusan/Rencana/20141005

Tags: korban
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments