mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pentingkan kawan

PENING kepala dibuatnya. Tegur salah, tak tegur lagi salah. Bukan mahu menyekat tapi ada kalanya tabiat berkawan sang suami membuatkan banyak perkara tergendala. Yusuf di awal perkahwinan bukanlah begitu perangainya. Tapi sejak Jamilah mengandungkan anak sulung, Yusuf mula berubah perangai.

Dia selalu keluar malam bersama kawan-kawannya, lepak di mana-mana kedai kopi sambil berbual-bual kosong. Jam satu atau dua pagi baru pulang ke rumah. Bila ditanya kenapa dia bersikap demikian? Jawapannya mudah: “Mahu Jamilah berehat." Lebih-lebih lagi apabila mengandung, banyak alahan yang terpaksa dilaluinya.

Jadi, untuk tidak mahu mengganggu emosi Jamilah, Yusuf mengambil keputusan untuk keluar berseronok bersama kawan-kawan di luar. Itu di hari-hari biasa. Lain pula kalau di hujung minggu. Ada sahaja perancangan yang telah diatur.

Selalunya Yusuf akan bersama kawan-kawannya keluar memancing. Kalau tidak seharian suntuk, ada kalanya Yusuf bermalam. Bukan banyak pun ikan yang dibawa balik.

Hakikatnya bukan itu yang Jamilah mahu. Dalam keadaan sedemikian, dia mahu Yusuf sentiasa berada di sampingnya. Ada kalanya, Jamilah terasa dirinya dipinggirkan. “Yusuf ada perempuan lain ke?," soalan-soalan yang memerangkap emosi sering kali berdetik di hatinya. Tapi bila ditanya, Yusuf bermati-matian menafikannya. Katanya, dia sekadar keluar bersama-sama teman pejabat yang lelaki. Tidak terniat di hatinya untuk pasang lebih daripada satu.

Jawapan yang sedikit melegakan hati Jamilah. Tapi sampai bila? Sesuatu yang sukar untuk Jamilah terima, soalan cepu emas yang diterimanya tatkala dia menaiki teksi untuk ke hospital. Sudah menjadi rutin setiap bulan, Jamilah akan membuat pemeriksaan kandungannya. Dan setiap kali itulah, Jamilah akan pergi berseorangan dengan teksi yang telah ditempahnya setiap bulan.

“Maaf puan, kalau saya bertanya. Sepanjang saya mengambil puan untuk dibawa ke hospital, puan selalu berseorangan. Suami puan dah meninggal ke?," tanya pemandu itu lantas membuatkan Jamilah tersedak dan membuatkan mukanya merah padam dek terkejut dengan soalan tersebut. Lama Jamilah membuatkan soalan itu tidak berjawab. Pemandu teksi yang sudah dapat merasakan soalannya itu mengusik emosi Jamilah, akhirnya meminta maaf kepada Jamilah.

Apapun, perangai Yusuf makin menjadi-jadi. Hatta sehingga saat melahirkan anak pertamanya, Jamilah hanya dihantar oleh rakan sepejabatnya ke hospital. Sesekali Jamilah terfikir, untuk apa dia berkahwin kalau segala ‘penderitaan’ yang ditanggung sepanjang kehamilan dan saat melahirkan bayi sulungnya ditanggung sendiri.

Utusan/Bicara_Agama/20141009
Tags: kawan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments