mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Diskusi meja bulat: Apa pula muslihatnya?

UTUSAN Malaysia keluaran 10 Oktober lalu menyatakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melarang diskusi meja bulat bertajuk Tentangan Fundamentalisme Agama Abad ini yang akan diadakan pada 18 Oktober depan, di Bukit Damansara.


Antara sebabnya larangan itu adalah kerana orang yang dijemput dalam program itu ialah pengasas Jaringan Islam Liberal Indonesia (JIL), Dr. Ulil Abshar Abdalla yang tidak mempunyai tauliah untuk menyebarkan ajaran Islam di Wilayah Persekutuan. Andainya program itu diteruskan, JAWI akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 4,5 dan 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Sebelum itu, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, dipetik sebagai berkata program itu tidak wajar diadakan kerana dikhuatiri boleh menggugat akidah umat Islam di negara ini.

Mohd. Puad meminta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah selebih bertanggungjawab dan tidak menggunakan badan itu sebagai platform untuk meraih populariti di kalangan orang muda.

Tindakan membawa Ulil Abshar ke negara ini menyertai program berkenaan telah tersimpang jauh daripada idea asal penubuhan GMM yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak. Konsep kesederhanaan yang diperjuangkan Perdana Menteri bukan bermaksud memperkenalkan Islam liberal.

Mohd. Puad juga menyatakan bahawa Ulil Abshar ini adalah penyokong kuat golongan lesbian,gay,biseksual dan transgender (LGBT), juga menyokong ajaran Ahmadiah (yang telah pun difatwakan sebagai ajaran sesat bukan sahaja di Indonesia tetapi di negara ini).

Satu laporan polis telah dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin. Dalam laporannya itu pengadu mendesak agar pihak berkuasa di negara ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), JAWI, Jabatan Imigresen dapat mengambil tindakan segera bagi menyiasat beberapa individu tertentu yang disebutkan dalam laporan polis itu berkaitan penganjuran meja bulat itu menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 KK serta seksyen 4, 5 & 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WP) 1997 dan mana-mana peruntukan lain berkaitan dengannya.

Sementara itu, dalam reaksi awalnya terhadap program meja bulat ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tahun 1996. Oleh itu, sebarang usaha membawa pemikiran yang bertentangan dengan ASWJ dan dikenal pasti boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam di Malaysia perlu disekat.

Walau bagaimanapun, kelmarin, Bernama melaporkan GMM menafikan terlibat dengan program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) itu. Menurut Saifuddin, kekeliruan berhubung penglibatan GMM dengan diskusi itu timbul selepas IRF mengiklankan program tersebut tanpa pengetahuan pihak GMM.

"GMM tidak terlibat, sejak awal dengan program tersebut. Kami bukan penganjur bersama. Penganjurnya, IRF ingin menggunakan premis kami tetapi kami tidak menyediakannya kerana kami menganjurkan bengkel media pada tarikh dan masa yang sama," jelasnya.

Andainya apa yang dilaporkan Bernama adalah hal sebenarnya, ini bermakna GMM bukan penganjur bersama program meja bulat itu. Dengan lain perkataan, kenyataan awal IRF program itu dianjurkan olehnya bersama GMM adalah dusta semata-mata.

Orang awam pastinya ingin tahu kedudukan sebenar - apakah IRF mendapatkan kerjasama GMM untuk menganjurkan program meja bulat ini ataupun tidak? Orang awam berharap setelah PDRM menjalankan siasatan rapinya ekoran adanya aduan, pihak berkuasa itu dapat mengesahkan secara rasmi dan muktamad situasi sebenar.

Media tempatan melaporkan semalam bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan larangan kepada Ulil Abshar memasuki negara ini. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ulama Indonesia itu akan "mengelirukan" umat Islam di negara ini dengan konsep Islam liberal yang diperjuang olehnya

Mengikut wikipedia, Ulil Abshar (lahir di Jawa Tengah pada 11 Januari 1967) ialah seorang tokoh Islam Liberal di Indonesia yang berafiliasi dengan JIL. Pada 2003, ulama Islam Indonesia dari Forum Ulama Umat Islam mengeluarkan fatwa kematian mengenainya, ekoran satu rencana yang ditulis olehnya dan disiarkan dalam Kompas pada 2002 bertajuk "Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam". Ulil Abshar ada menyatakan pada ketika itu bahawa "undang-undang syariah tidak wujud dan Nabi Muhammad SAW hanya tokoh sejarah". Individu ini juga menentang banyak fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia.

Sebuah NGO tempatan, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut membantah kehadiran Ulil Abshar di negara ini, kerana khuatir kehadirannya di sini boleh menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat negara ini.

Mengikut Dr. Mohd. Isa Hamzah (Sekretariat Majlis Ulama Isma), pandangan dan pegangan Ulil Abshar menyimpang jauh daripada pegangan masyarakat Malaysia. "Contohnya, beliau mengatakan tudung ialah budaya dan bukan ajaran al-Quran, dan hukuman potong tangan adalah tradisi zaman itu, sesuai dengan masyarakat ketika itu sahaja," jelasnya lagi.

Kesimpulannya, dengan larangan yang dikeluarkan KDN, sukar sekali tokoh liberal Islam Indonesia ini untuk hadir di program itu. Tetapi ini tidak bermakna program berkenaan akan dibatalkan atau ditunda.

Dan kita belum tahu apa yang akan dikatakan oleh tokoh lain yang telah diundang menyertai program itu. Apakah mereka ini sealiran fahaman atau pemikiran seperti Ulil Abshar? Apakah maksud sebenar penganjur mengadakan program ini? Adakah untuk mempengaruhi generasi muda kita supaya lebih liberal dan minda terbuka dalam kefahaman dan amalan agama mereka? Salleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang Utusan/Rencana/20141013

Tags: musyawarah
Subscribe

  • Kafir tanpa sedar

    DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam”…

  • Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

    LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak…

  • Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

    Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments