mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kesejagatan mendatangkan kemusnahan

Adakah sudah menjadi payah untuk membezakan atau mengasingkan antara perkara makruf, benar dan bagus dengan perkara mungkar, jijik dan keji? Kita seperti sedang berada di persimpangan dan menghadapi dilema. Kita seperti kurang waspada kepada idea, tindakan dan tipu muslihat yang sedang menghakis identiti dan hala tuju negara.

Dalam perkembangan mutakhir, terutama dalam hal-hal berkaitan kebebasan serta hal berkait rapat dengan kebebasan, iaitu kemoralan awam, saya cenderung untuk bersetuju jika dikatakan negara dan masyarakat awam tidak sepatutnya diletakkan dalam dilema berkenaan prinsip kemoralan awam.

Walaupun dunia sudah menjadi sebuah kampung yang boleh dihubungi dan berhubung dalam masa yang begitu singkat, pembentukan negara kita mempunyai hala tuju dan kemoralan yang jelas.

Negara mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas untuk membina tamadun dengan warganya yang beretika dan bermoral tinggi. Negara tidak perlu berganjak daripada hala tujunya yang asal ini walaupun dunia menjadi sebuah kampung.

Sistem budaya, perundangan

Saya masih yakin dengan kerangka sistem sosiobudaya dan sistem perundangan kita. Saya mempunyai keyakinan tinggi kepada kemampuan sistem budaya dan perundangan ini kerana bukti yang begitu terang mengenai pencapaian negara dalam masa singkat sebagai sebuah negara bangsa.

Jika budaya dan perundangan kita lemah, kita tidak akan dapat memacu ekonomi dan kemajuan negara, kerana kita tentunya akan sibuk menguruskan masalah sosiobudaya yang tentunya menggugat kestabilan politik tanah air.

Dalam kerangka sistem sosiobudaya, kita dibaluti adab kesopanan dan kesusilaan berasaskan tradisi Timur dengan kelembutan hati, yang menjaga bukan sahaja fizikal, tetapi juga jiwa dan rohani, kita dipagari dengan keluhuran peribadi, bersifat sederhana tetapi berani serta ditambah dengan nilai mahabbah serta kepercayaan agama yang tinggi.

Mengenai 'kepercayaan agama' ini saya tidak hanya merujuk kepada kepercayaan agama Islam semata-mata. Hakikatnya, agama adalah elemen penting dalam kerangka dan falsafah negara dan semua warga dalam negara ini mempunyai salasilah agama. Sementara itu, dalam sistem perundangan kita juga tidak kosong dari semua aspek yang saya sebut dalam sistem sosiobudaya itu. Sistem perundangan kita juga mengambil kira dimensi sosiobudaya.

Prinsip universal, moden

Secara universal, sistem perundangan mana-mana negara sekalipun tidak boleh tidak hendaklah menerima keadaan sosial negara dan inilah pendekatan yang diambil dalam sistem perundangan negara. Bahkan undang-undang British ke atas kita juga meletakkan syarat penerimaan kepada keadaan atau situasi tempatan. Dalam konteks prinsip umum undang-undang, ia tidak boleh asing dan terasing daripada masyarakat setempat.

Jika kita dikatakan perlu membuka minda, dan kita terpaksa menerima pembaharuan dan pemodenan, kita tidak boleh membuang norma-norma dan prinsip-prinsip yang membumi dalam budaya dan perundangan kita. Apa yang dikatakan kemodenan itu mungkin mendatangkan kemusnahan.

Sekiranya pembentukan negara semata-mata mahu disandarkan kepada prinsip universal dan moden, maka, mungkin akan gagallah gagasan kita. Akan musnahlah prinsip asas negara dan akan berkecailah wawasan negara. Perkara yang biasa berlaku, seperti kes pesta arak di Selangor dan perkara maksiat lain, tidak perlu diteruskan dan tidak perlu dipertahankan oleh mana-mana pihak.

Sumbu kemusnahan

Ini bukan semata-mata kerana ajaran dan rasional agama Islam mengenai pengharaman arak, tetapi juga kerana ia tiada dalam justifikasi sosiobudaya dan perundangan kita.

Walaupun saya optimis dengan sistem kita, saya bimbang dengan sikap kita. Sikap segelintir kita. Sikap yang sentiasa melihat dan mencari prinsip yang kononnya universal, sikap yang melihat sistem lain itu lebih baik dan lebih berharga daripada apa yang kita miliki, sikap tidak yakin mengenai keupayaan sistem kita dalam menguruskan masalah kita, sikap yang fikirkan kemodenan itu hanya berlaku jika kita mengambil pendekatan yang kononnya universal, sikap yang melupakan keutuhan dan kebaikan sistem yang telah dan yang sedang memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada kita.

Paling utama saya bimbangkan ialah sikap lupa diri, lupa harga diri dan lupa harga dan nilai agama bangsa sendiri. Justeru, kita jangan diperangkap oleh kesejagatan dan kemodenan kerana ia mungkin sumbu kepada kemusnahan kita. Shamrahayu A Aziz  ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia Berita Harian Kolumnis RABU, 15 OKTOBER 2014 @ 4:51 AM

Tags: sejahtera
Subscribe

  • Sifat malu halang kemungkaran

    Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang…

  • Malu bukan penghalang wanita berjaya

    Golongan beriman tahu menjaga kesucian diri lebih dihormati masyarakat Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang…

  • Sifat malu benteng elak kemungkaran

    Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments