mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Reset Minda

Konsep pemikiran ‘Reset Minda’ menjelaskan empat cara manusia memandang terhadap apa-apa peristiwa dan kejadian yang berlaku dalam kehidupan ini, yang memberikan interpretasi yang berbeza. Pertama, memandang dengan ‘mata fizikal’. Kedua, memandang dengan ‘mata hati’. Ketiga, memandang dengan ‘mata akal’. Keempat, memandang dengan ‘mata nafsu’.

‘Mata fizikal’ hanya melihat pada luaran, iaitu apa-apa yang kita pandang atau nampak dengan menggunakan pancaindera kedua-dua belah mata kita. Contohnya kita pandang sesuatu itu dengan nilai, cantik atau tidak? Tetapi, jika melihat dengan ‘mata hati’, kita akan melihat bukan sahaja apa-apa yang kita nampak melalui ‘mata fizikal’, tetapi kita melihat dengan hati, hingga memberikan kesan emosi kepada diri.

Oleh sebab itu, dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’, interpretasi pandangan ‘dari mata turun ke hati’ bererti, mata ialah ‘mata fizikal’ dan hati ialah ‘mata hati’. ‘Mata hati’ ialah apa yang dipandang oleh deria yang tidak nampak (hati), yang melibatkan emosi sama ada emosi positif atau negatif. Sama ada kita suka, menghargai, sedih, geram, marah, atau menyampah dengan apa yang kita nampak melalui pandangan ‘mata fizikal’ akan sampai ke hati. Jika apa-apa yang kita pandang itu sesuatu yang menyedihkan, kita akan turut berasa sedih, simpati, empeti dan amat menginsafkan diri kita. Kita belajar memahami, menghayati dan berada bersama dalam perasaan orang yang kita saksikan dan kita pandang melalui ‘mata fizikal’.

Sementara ‘Mata akal’ akan melihat bagaimana apa-apa yang kita pandang dengan ‘mata fizikal’ dan ‘mata hati’ itu perlu difikirkan oleh minda. Iaitu berfikir membuat pilihan, membuat keputusan dan bertindak yang menentukan hasil kehidupan kita (4K = Kebahagiaan, Ketenangan, Kesihatan dan Kekayaan) yang akhirnya membuahkan kesan emosi positif atau negatif. Manusia ada akal dan emosi, itulah yang membezakan manusia dengan haiwan. Haiwan tiada akal dan kalau ada emosi pun hanyalah emosi marah dan sedikit kasih sayang kepada anaknya. Tetapi, Allah anugerahkan kepada manusia kecergasan akal, yang boleh menentukan atau mengawal emosi kita.

‘Mata nafsu’ pula melihat tanpa menggunakan akal, tetapi lebih kepada dorongan nafsu dan tanpa landasan keimanan. Sesungguhnya, corak fikiran dibentuk oleh iman yang dimiliki oleh seseorang. Baik imannya, maka akan baiklah cara pemikiran dan tingkah laku seseorang itu. Oleh sebab itu, orang yang bijaksana akan berfikir dengan menggunakan ‘mata fizikal’, ‘mata hati’ dan ‘mata akal’ kerana ketiga-tiga pandangan itu membawa kepada ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi, yang membolehkan kita nampak kuasa Allah dalam segala-gala hal.

Nafsu

Jauhkan diri daripada memandang dengan ‘mata nafsu’, kerana akan membangkitkan dosa. Memandang dengan ‘mata nafsu’ akan membuatkan kita sentiasa berasa tidak puas dengan apa yang kita ada, kerana pandangan ‘mata nafsu’ didorong oleh rasa ‘kesedaran keegoan’ yang tinggi. Merungut terhadap perkara yang sudah lepas dan mengumpat terhadap benda yang belum berlaku atau tidak pernah berlaku hingga menimbulkan fitnah, adalah hasil daripada pandangan ‘mata nafsu’.

Pandangan dengan ‘mata nafsu’ akan mendorong kita bersaing dan membanding-bandingkan antara satu sama lain. Jika kita fokus apa yang kita tidak miliki, kita tidak akan pernah berasa puas, kerana pandangan ‘mata nafsu’ tidak mengenal erti kesyukuran. Maka dengan ‘mata hati’ lihatlah apa yang kita fokus setiap hari, kesyukuran atau kesukaran? Apa yang kita fokus itulah yang menentukan kualiti kehidupan kita, sama ada kita akan mendapat cahaya hati atau kegelapan hati.

Orang yang memandang dengan ‘mata fizikal’, ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ akan menggunakan kebijaksanaannya untuk perhatikan diri sendiri untuk membetulkan ‘dunia dalamannya.' Kita akan menganalisis diri kita sendiri, bukan sibuk menganalisis diri orang lain, dengan tujuan untuk mempertingkatkan keperibadian diri, sama ada untuk hubungan dengan sesama manusia atau hubungan dengan Allah.

Melalui 'mata fizikal’, ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ kita mencerminkan ‘dunia dalaman’ kita dengan tiga kaedah. Pertama, perbetulkan diri sendiri dahulu. Kedua, berasa belas kasihan kepada orang lain. Ketiga, guna komunikasi yang baik. Kita akan bertanya diri kita mengapa kita buat apa yang kita telah buat dengan segala yang telah berlaku ke atas diri kita, sama ada perkara itu negatif atau pun positif. Contohnya kalau orang marah kita, adakah kita hendak marah balik atau kita bersabar dan tidak memberi reaksi yang sama (negatif)?

Emosi dalam jiwa hanya yang perlu ada kasih sayang, hormat, murah hati, baik dan lapang dada. Buang sifat marah, dengki, dendam dan tamak. Jangan hukum dan label orang biar Allah yang menghukum dan membalasnya. Letak kasih sayang dan kesyukuran dalam hidup kita pada semua pandangan kita, (‘mata fizikal’, ‘mata akal’ ‘mata hati’). Ingat Allah akan tenang, ingat manusia dan dunia, hati menjadi serabut. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Kalau kita peniaga, kita bergaduh dengan pelanggan, walaupun kita menang, pelanggan tetap akan lari. Kalau kita pekerja, kita bergaduh dengan rakan sekerja, walaupun kita menang, tiada lagi semangat bekerja satu kumpulan. Kalau kita staf bawahan, kita bergaduh dengan pegawai atasan, walaupun kita menang, kita berkemungkinan besar tiada masa hadapan lagi di tempat itu. Kalau kita bergaduh dengan keluarga, kita menang, hubungan kekeluargaan akan renggang. Kalau pelajar, kita bergaduh dengan guru, walaupun kita menang, keberkatan menuntut ilmu dan kemesraan itu akan hilang. Kalau bergaduh dengan kawan, walaupun kita menang, yang pasti kita akan kekurangan kawan. Kalau bergaduh dengan pasangan, walaupun kita menang, perasaan sayang pasti akan berkurangan. Kalau kita bergaduh dengan sesiapa pun, walaupun kita menang, kita tetap kalah sebenarnya, iaitu kalah dari segi nilaian pandangan ‘mata hati’.

Melalui pandangan ‘mata fizikal’, ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, yang penting bukan kita tengok peristiwa itu, tetapi tengok pemberi peristiwa itu, iaitu Allah SWT. Apabila berlaku sesuatu yang negatif terhadap diri kita, yang kita fikirkan siapakah yang mengizinkan peristiwa malang itu berlaku ke atas kita? Kita tidak perlu bertegang urat mempertahankan kebenaran kita atau mencari siapa yang bersalah dan bertanggungjawab terjadinya perkara tersebut.Lihat semua orang dengan pandangan penuh ‘kesedaran ketuhanan, bahawa suatu masa nanti kita semua ini akan melutut di hadapan Allah di Padang Masyar. Jadi tidak ada guna kita melayan ‘mata nafsu’ kita yang akan menjerumuskan kita ke neraka.

Orang yang tenang ialah yang sentiasa memperbaiki dirinya. Kalau kita tidak bahagia dan tenang bermakna kita tidak cukup memandang peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap orang sekeliling kita dengan ‘mata hati’. Sehingga tidak timbul rasa belas kasihan untuk membantu orang dan memberi manfaat kepada orang yang memerlukan pertolongan kita. Selagi hati kita tidak bersih, kita tidak boleh memberi kebaikan kepada orang lain. Orang yang memandang dengan ‘mata nafsu’ tidak bergantung dengan Allah, sebaliknya lebih bergantung dengan manusia. Hidupnya sibuk dengan makhluk Allah, bukan dengan Allah dan masih sibuk dengan ‘apa yang orang kata’ bukan berfikir ‘apa yang Allah mahu daripada kita’. Utusan Rencana 191014

Tags: emosi, minda, nafsu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments