mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mudarat penyebaran hadis lemah, palsu

SEGALA puji bagi ALLAH. Sesiapa diberikan pertunjuk ALLAH maka tiada yang mampu menyesatkannya, dan sesiapa disesatkan ALLAH maka tidak akan ada yang mampu memberinya hidayah.

Firman ALLAH SWT: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam." (Surah Al-Imran: 102)

Mohon kepada ALLAH untuk diberi kefahaman dalam agama. - Gambar hiasan



Sumber: DR FATHUL BARI MAT JAHYA Sinar Harian 17 Oktober 2014
Pada hari ini kita banyak mendengar ulama, ustaz selebriti, imam, ustaz media sosial dan seumpamanya yang makin berani mengajar dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan sewenang-wenang menggunakan hadis palsu mahupun hadis yang lemah dalam menyampaikan hujah dan ilmu mereka.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan seseorang dalam YouTube yang digelar “ustaz budak”, telah menyampaikan pengajiannya dengan menggunakan hadis palsu. Antaranya beliau mengatakan, “Rasulullah berkata kepada golongan sahabat bahawa Baginda menyesal kerana tidak dapat bertemu dengan Imam Ghazali di akhir zaman.”

Antara hadis palsu lain yang beliau ceritakan adalah apabila gugurnya sehelai rambut Abu Bakar di kubur, maka 40 hari ahli kubur tersebut tidak diazab oleh ALLAH dan banyak lagi kepalsuannya.

Masya-ALLAH. Ini antara pemalsuan hadis yang sangat kritikal yang berlaku dalam masyarakat kita sendiri. Perkara tersebut wajib dibanteras sebelum makin banyak hadis palsu disebarkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas nama orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa berdusta ke atasku dengan wsengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, hadis mutawatir)

Pihak bertanggungjawab

Persoalannya, mengapa perkara ini dibiarkan berterusan? Perkara ini harus disiasat oleh pihak yang bertanggungjawab dan tindakan tegas perlu diambil.

Jangan dibiarkan masyarakat terus diperbodoh serta dimomokkan dengan hadis palsu dan lemah tersebut. Ini adalah masalah yang wajib dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab. Jangan ditunggu musibah demi musibah melanda negara, sedang teras utama kita iaitu agama Islam di Malaysia kelihatan umpama dedaun dimakan ulat.

Baru-baru ini, profesor dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datin Paduka Dr Jawiah Akhir membuat kajian berkenaan dengan hadis palsu yang berlegar dalam masyarakat Islam di Malaysia, terutamanya dalam masyarakat Melayu yang telah sebati dengan diri kita.

Hadis adalah segala sesuatu perkhabaran (kisah) yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, baik berupa ucapan, perbuatan, ketetapan oleh baginda, sifat baginda, mahupun sifat jasad baginda. Maka ia tidak boleh direka-reka sesuka hati.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada ALLAH dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya ALLAH memperbaiki bagi amalanmu dan mengampuni dosamu. Dan sesiapa mentaati ALLAH dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar,” (Surah Al-Ahzab: 70-71)

Imam Muslim berkata dalam mukadimah kitab sahihnya, “Ketahuilah bahawa yang wajib dilakukan oleh semua orang yang mengetahui cara membezakan antara riwayat yang sahih dengan yang lemah, serta dapat membezakan antara perawi yang siqah atau yang dusta, agar tidak meriwayatkan kecuali dia ketahui kesahihan sanadnya. Dan hendaklah dia menghindari diri daripada meriwayatkan sesuatu daripada orang yang tertuduh berdusta, golongan penentang dan ahli bidaah.”

Syaikh al-Albani menjelaskan beberapa kaedah ilmu hadis di awal kitab Tamamul Minnah, beliau berkata, “tidak boleh menyebut hadis lemah kecuali harus diterangkan kelemahannya.”

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menceritakan daripadaku sebuah hadis yang dia sangka bahawa hadis itu dusta, maka dia adalah salah satu daripada pendusta.” (Riwayat Muslim dalam mukadimah sahihnya)

Ini adalah hukum bagi orang yang diam dan tidak menjelaskan hadis tersebut adalah lemah. Orang tersebut mungkin mengetahui kelemahan hadis tersebut, dan dia tidak menerangkan kelemahannya. Maka orang seperti ini dianggap menipu golongan Muslimin. Atau orang tersebut tidak mengetahui kelemahan hadis yang diriwayatkan. Dan jika begitu dia tetap berdosa juga kerana berani menisbahkan sebuah hadis kepada Rasulullah SAW tanpa ilmu. Padahal Rasulullah SAW berkata: “Daripada Hafsh bin Ashim berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang dikatakan sebagai pendusta jika dia menceritakan semua yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya di neraka.” (Hadis mutawatir Riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya)
perangi Hadis palsu

Hadis palsu dikenali juga sebagai hadis maudhu’. Ia adalah hadis yang dibuat-buat dan didustakan atas nama Rasulullah SAW. Akibat penyebaran dan penggunaan hadis palsu ini adalah sangat buruk. Ia mampu mendatangkan musibah pada diri, individu, masyarakat mahupun sebuah pemerintahan.

Antara bukti sejarah Islam yang dicatatkan mengenai mudarat daripada penyebaran hadis palsu dan lemah adalah dimulai dengan terbunuhnya Amirul Mukminin Umar bin Khatab RA oleh Abu Lu’lu al-Majusi, kemudian Uthman bin Affan RA oleh orang khawarij, perang saudara dalam perang Jamal dan Shiffin yang akhirnya membuat golongan Muslimin berpecah menjadi beberapa golongan dan kelompok, dan semua menyangka kelompok masing-masing berada di atas kebenaran.

Fitnah terus bertambah dari zaman ke zaman, yang mencapai puncak di akhir-akhir zaman tabiin. Namun lebih parah lagi apabila wujud sebahagian golongan Muslimin yang saling berselisih ingin menguatkan kelompok dan golongan mereka dengan al-Quran dan Hadis.

Padahal sangat mustahil kalau semua yang mereka inginkan itu terdapat dalam al-Quran dan As-Sunnah. Akhirnya sebahagian daripada mereka membuat-buat hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW untuk mempertahankan golongan masing-masing.

Perselisihan politik, maka muncullah banyak kelompok yang masing-masing ingin menguatkan mazhabnya. Kelompok paling banyak melakukan hal ini adalah Syiah. Imam Malik RA pernah ditanya tentang Syiah, maka beliau berkata, “Jangan bicara dengan mereka, dan jangan meriwayatkan hadis daripada mereka kerana mereka kaum pendusta.”

Perbuatan orang zindiq atau munafik. Mereka mentakwilkan makna al-Quran dan As-Sunnah dengan takwil yang rosak yang bertentangan aqidah Islam. Mereka orang yang menyembunyikan kekufuran dan menampakkan keislaman kononnya. Antaranya adalah Abdul Karim bin Auja’ yang mana sebelum dipenggal kepalanya dia mengaku kesalahannya.

Golongan yang taksub kepada negara, bangsa dan imam tertentu, seperti pentaksub Imam Ghazali di atas. Orang yang mempunyai hobi bercerita dan suka memberi nasihat, namun kurang bekalan ilmu. Keinginan mereka pada mulanya hanya ingin manusia mendengar cerita dan nasihat mereka. Tetapi akhirnya mereka mereka-reka hadis palsu untuk kepentingan diri.

Golongan yang mempunyai perbezaan pendapat dalam masalah akidah dan fiqh yang sangat fanatik dengan golongan masing-masing. Sehingga ada antara mereka yang berani memalsukan hadis demi mempertahankan pendapatnya.

Orang yang bertujuan baik namun sesat. Seperti golongan orang sufi, ahli zuhud, dan ahli ibadah. Akan tetapi ilmunya masih kurang. Namun disebabkan melihat ramai masyarakat yang jahil dan lalai tentang agama, maka mereka mencipta beberapa hadis untuk menakut-nakutkan masyarakat. Dan mereka menyangka perkara tersebut adalah baik dan boleh membawa orang dekat dengan agama.

Membodek pemerintah, ada ulama yang berhati jahat, yang membeli dunia dengan akhirat. Mereka mendatangkan fatwa, pendapat, dan hadis palsu untuk menyenangkan pemerintah tersebut.

Masyarakat Islam kita kini masih ramai yang tenggelam dalam kesyirikan, bidaah dan maksiat. Di samping itu makin ramai malas dalam mencari dan menuntut ilmu. Maka kerana inilah penyebab tersebarnya banyak hadis lemah dan palsu. Dan jika dilihat masyarakat kita makin sebati dengan hadis palsu ini.

Kita mohon kepada ALLAH agar menganugerahkan kepada kita semua kefahaman dalam agama dan mencurahkan taufik serta hidayah-Nya agar kita mampu mengamalkannya mengikut syariat Islam yang sahih. Semoga kita mampu menjauhkan diri daripada mengamalkan hadis palsu dalam kehidupan seharian.
Tags: hadis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments