mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

WIEF dan pemimpin global dari Malaysia

Tun Musa Hitam, anak kelahiran Segamat sudah lama menjadi jenama antarabangsa. Bila disebut Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) orang cepat mengaitkannya dengan Musa. Setelah 10 tahun berlalu, kedua-duanya sudah sebati. WIEF adalah Musa dan Musa adalah WIEF. Karakter suka berjenaka dan tenang dalam berhadapan persoalan menyebabkan beliau disenangi terutamanya dalam kalangan pemimpin negara Islam dan negara kecil yang mengharapkan WIEF sebagai platform membina hubungan dan kerjasama dengan dunia luar. Dalam usia yang sudah mencecah 80 tahun, Musa tetap segak dan bertenaga. Dalam beberapa pertemuan, Musa selalu menyatakan beliau tidak pernah berasa tua dalam mengemudi WIEF.

“Ya anda, tetapi saya tidak mahu merujuk anda dengan rambut anda,” katanya merujuk kepada seorang wartawan botak yang mahu bertanya soalan sambil diikuti derai ketawa ramai orang.

Begitulah Musa. Majlis formal boleh ditukarnya menjadi santai dan bersahaja. Semasa itu baru dibuka sesi bertanya soalan dalam sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Hal Ehwal Kabinet Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Al Gergawi sejurus selepas perasmian WIEF Ke-10 di Dubai.

Bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru sebelum ke Universiti Malaya dan kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Sussex, United Kingdom selepas disingkirkan daripada UMNO berkaitan peristiwa 13 Mei 1969, kehidupan Musa kini lebih bersemangat dan bertenaga.

WIEF yang dahulu dipinggirkan, kini setelah 10 tahun menjadi platform berpengaruh. Tahun lalu, semasa WIEF menawan kota London, forum ini mendapat sambutan luar jangkaan dalam kalangan negara bukan Islam. Pengalaman luas Musa dalam persekitaran global termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Komanwel telah membantunya untuk mengangkat WIEF dalam kedudukannya sekarang. WIEF yang bermula sebagai Forum Perniagaan OIC pada 15 Oktober 2003, bersempena Sidang Kemuncak OIC Ke-10 di Putrajaya telah berubah wajahnya.

Persidangan pertama WIEF di Kuala Lumpur pada 2005 kemudiannya membuka WIEF kepada komuniti Islam di luar dari negara OIC dan komuniti bukan Islam di seluruh dunia. Peranan WIEF terus bertambah dengan penubuhan WIEF Education Trust (WET), WIEF Businesswomen Network (WBN), WIEF Young Leaders Network (WYN) dan WIEF Roundtable Series.

Melayani

Para pengurus Yayasan WIEF mengakui kini agak sukar melayani permintaan dari pelbagai negara untuk menjadi tuan rumah kepada forum itu. Antara yang telah menyatakan komitmen ialah Jepun, Korea Selatan, Sepanyol dan Malta. Secara berseloroh, Musa membuat anologi permintaan itu seperti Formula One. Semua negara berminat menjadi hos. Bayangkan 10 tahun lalu hanya seramai 400 peserta hadir, kini di Dubai penyertaan mencecah 2,792 orang daripada lebih 100 buah negara.

Kepada khalayak WIEF, bekas Timbalan Perdana Menteri (1981-1986) ini selalu bercerita tentang asal usul WIEF. Walaupun ada yang mengangkat WIEF setaraf Forum Ekonomi Davos tetapi Musa tidak mudah khayal dengan puji-pujian.

WIEF tegas Musa, ialah forum untuk semua kalangan dari negara besar dan kecil serta dari syarikat multinasional dan industri kecil dan sederhana. Di sinilah dalam WIEF, mereka berkumpul dan membentuk kerjasama bagi kepentingan bersama. Walaupun WIEF dalam kedudukannya sekarang tetapi Musa tidak mudah berpuas hati.

Dalam majlis-majlis WIEF beliau selalu menyatakan; “Beritahu kami bagaimana untuk membawa WIEF lebih jauh ke depan atau membetulkan apa yang salah. Lebih keras kritikan, lebih saya berminat.”

Yayasan WIEF kini mempunyai Panel Penasihat Antarabangsanya (IAP) sendiri yang menyediakan input strategik dan kandungan intelektual bagi WIEF global dan serantau serta inisiatif berkaitan. Panel ini dianggotai ketua perniagaan daripada pelbagai industri, ahli pemikir dan ketua organisasi berkaitan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). WIEF juga telah mengetengahkan tokoh Malaysia ke peringkat pemimpin dan pemikir global. Sebagai contoh nama seperti Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin (segmen pendidikan) dan Datuk Dr. Noraesah Mohamad (segmen wanita) sudah begitu akrab dengan forum ini.

Seorang diplomat kanan Malaysia ketika ditanya apa rahsia kejayaan WIEF berkata, forum itu ada pasukan yang hebat. Selain komitmen Najib dan kewibawaan Musa, kehadiran bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menjadi Setiausaha Agung WIEF melonjakkan lagi peranan organisasi ini. Ada pihak malah berminat untuk mengambil alih WIEF kerana menyedari potensinya pada masa depan. Industri halal dan kewangan Islam yang menjadi antara kekuatan WIEF dan Malaysia bakal menjadi fokus dalam persaingan ekonomi global kelak.

Melalui WIEF, Malaysia telah berjaya menempatkan dirinya dalam kedudukan strategik di pentas global. Ini semua adalah hasil sumbangan anak-anak Malaysia yang masing-masing kini telah pun menjadi pemimpin dan pemikir peringkat global. WIEF adalah cerita manis tentang kejayaan Malaysia dan negara Islam. Ada orang lebih suka memburuk-burukkan negara untuk mendapat pengaruh di pentas antarabangsa. Sebaliknya melalui WIEF begitu ramai anak Malaysia menggunakan cara yang bermaruah untuk mengangkat imej negara, sekali gus dunia Islam keseluruhannya.

ZULKEFLI HAMZAH (WARUNGRAKYAT.MINGGUAN @GMAIL.COM)  |Utusan Malaysia Rencana 02 Nov
Tags: ekonomi, islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments