mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bahaya dan ancaman gerakan jihadis

Apabila timbul riuh-rendah berhubung gerakan jihadis yang dikaitkan dengan penyusupan lebih 30 orang rakyat Malaysia ke Syria, reaksi terperanjat masyarakat terhadap isu ini seakan-akan kita sedang berdepan satu fenomena. Siapa pejuang jihadis warga tempatan yang berada di bumi Syria, serta lokasi dan kumpulan yang disertai diketahui umum; ini kerana hampir semua individu tersebut menyebarkan maklumat aktiviti mereka di Internet terutama melalui medium Facebook.

Selain foto-foto aksi di lokasi perang, dengan beruniform pejuang berserta senjata berat yang digunakan dalam pertempuran, Facebook mereka turut menyebarkan faham perjuangan – sekali gus menyebarkan tindakan mereka berada di bumi Syria memerangi tentera Presiden Bashar Assad sebagai satu jihad fisabilillah.

Mengapa setegar ini aksi dan pemikiran mereka? Apakah ini gambaran gejolak jiwa dan krisis pemikiran yang dialami anak muda kita dalam konteks memahami jihad? Sebelum menjawabnya, saya bawa kita menjengok sedikit sejarah tahun-tahun 1980-an.

Apabila tentera Kesatuan Soviet menyerang dan melanggar masuk ke Afghanistan; dunia Islam tersentak. Selepas Perang Dunia Kedua 1940-1945, peristiwa pendudukan ini menjadikan ia satu-satunya perang penjajahan pasca Perang Dunia Kedua.

Dalam iklim Perang Dingin yang berpanjangan sejak tahun-tahun 1960-an antara Blok Barat dan Blok Komunis, penaklukan Afghanistan adalah satu kejutan. Ini kerana, ia satu-satunya negara Islam Asia Tengah yang tidak berjaya diduduki Kesatuan Soviet sejak era Revolusi Bolshevik 1917 hingga berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Turkmenistan, Kazakhstan, Kyrgystan dan Uzbekistan sudah menjadi jajahan Kesatuan Soviet. Dengan ideologi komunis yang menafikan kewujudan Tuhan dan agama, serta sentimen anti- komunis pada waktu itu, peristiwa pendudukan Afghanistan mencetuskan kemarahan umat Islam.

Waktu itu, seruan jihad mula bergema. Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa bukan sedikit pemuda Islam dari wilayah Nusantara ini ikut menyusup masuk ke Afghanistan dan berjuang atas nama Mujahiddin.

Dari selatan Filipina dan selatan Thailand yang sedang berkrisis untuk menubuhkan negara Islam merdeka – anak-anak muda Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan Pattani United Liberation Organisation (PULO) menuju ke sempadan Pakistan. Bukanlah rahsia juga, bahawa anak-anak muda Malaysia dan Indonesia juga ikut serta. Kekejaman Kesatuan Soviet dan semangat mempertahankan wilayah Islam terakhir di Asia Tengah membangkitkan sokongan terhadap perjua­ngan Mujahiddin.

Nama-nama pemim-pin Mujahiddin seperti Burhanuddin Rabani, Ga­bod­din Heymatyar, Ali Shah Masood dan Abdul Rashid Dostum menjadi wajah-wa­jah pemimpin puak Mu­jahiddin yang dikagumi.

Alasan

Justeru, ramai yang per­gi ke Afghanistan atas alasan belajar agama di se­kolah-sekolah berdeka­tan Pensyawar dan Quet­ta, Pakistan. Namun seba­lik­nya, dari sempadan 600 kilometer kedua-dua bandar itu, pelajar-pelajar masuk ke Afganistan terutama me­lalui laluan Genting Khyber sepanjang 56 kilometer lalu menyertai puak Mujahiddin. Kira-kira 25 tahun kemudian, ketika era jihad di Afghanistan sudah berakhir kerana berundurnya Rusia, dan bumi Islam itu berperang sesama sendiri, di negara kita sel-sel bahaya pemikiran jihad di Afghanistan mula terasa.

Penubuhan Kesatuan Mujahiddin Malaysia (KMM) yang ditumpaskan polis setelah disedari menyusun agenda ekstremis, meninggalkan kesan untuk direnungi. Waktu itu, barulah disedari bahawa agenda perjuangan Mujahiddin di Afghanistan tidak berakhir begitu sahaja. Bahangnya dibawa balik ke tanah air.

KMM menjadi satu kegemparan; sekali gus pengajaran. Perjuangan militan tidak sekadar soal di mana anda berada, tetapi kesannya membiakkan sel fikiran yang ekstrem. KMM yang digagaskan oleh mereka yang memiliki latar belakang berjuang di Afghanistan pada 1995, hampir mencetuskan gerakan bersenjata di Malaysia, namun kita bernasib baik kerana tindakan pantas pihak berkuasa.

Itulah yang saya bimbang dengan pembabitan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda di Syria. Menurut sebuah portal berita, yang memetik sumber Bukit Aman; dilaporkan terdapat lebih 100 rakyat Malaysia terbabit dengan perjuangan jihadis di Syria, manakala 15 daripada mereka dilaporkan terbunuh.

Dengan aliran pemikiran yang lebih ekstrem dalam kalangan gerakan jihad Syria terutama kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) serta An Nasr, sel-sel pemikiran ini tidak akan lupus begitu sahaja dalam fikiran mereka yang terlibat.

Apatah lagi, dalam keadaan sekarang, kedua-dua gerakan ini mengisytiharkan perjuangan Islam mereka menyasarkan peluasan kuasa di peringkat global.

ISIS yang terkenal dengan keganasan tanpa had, serta An Nasr yang terbabit dengan pembunuhan dan pemusnahan rumah ibadat penganut bukan Islam, adalah ideologi yang mampu mencetuskan bencana bukan kecil, sekiranya dibawa pulang ke tanah air. Justeru, saya faham – mengapa kerajaan dan pihak berkuasa terutama polis sangat bimbang dan bertindak tegas dengan isu ini.

Tangkapan dan penahanan silih berganti mereka yang disyaki terbabit dan masih berada di negara ini, membuktikan langkah-langkah pencegahan yang agresif. Namun yang lebih penting, ialah mengenal pasti, siapa lagi yang berada di Syria pada masa ini, dan memastikan mereka tidak kembali dan dibiarkan menyebarkan faham ekstremis yang berbahaya. Kita tahu pada waktu ini, bukan semua yang berada di Syria dan terbabit dengan militan dapat dikenal pasti – namun kita yakin, polis sedang mengesan dan pastinya mereka akan ditahan apabila pulang.

Saya berpendapat penahanan ini sangat penting supaya fahaman ekstremis tidak dibiarkan bertapak di negara kita, dan sejarah KMM tidak berulang. Timbul pula persoalan dalam pemikiran saya agar kerajaan memperketatkan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membendung gerakan jihadis daripada berkembang di Malaysia. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Utusan Malaysia Rencana 02 November 2014 3:11 AM

Tags: jihad
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments