mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kemerdekaan Bani Isra’il

KETIKA berada di Mekah, umat Islam tidak bebas mengamalkan Islam. Kebebasan dan kemerdekaan umat Islam hanya dikecapi setelah berlakunya peristiwa Hijrah. Allah mengingatkan umat Islam agar sentiasa bersyukur dengan nikmat “kemerdekaan” yang bertitik-tolak daripada peristiwa hijrah.




KEMERDEKAAN Bani Isra’il itu besar nikmatnya dan ia seharusnya disyukuri. - Gambar hiasan

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermastautin (Madinah setelah Hijrah) dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya serta dikurniakan-Nya kamu daripada rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur. (al-Anfal:26)

Nikmat kemerdekaan ini juga pernah disebut oleh Nabi Musa a.s kepada Bani Isra’il yang sudah kelihatan riak kesombongan dan keingkarannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang nabi dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya) dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu). (al-Ma’idah:20)

Kemerdekaan Bani Isra’il merujuk kepada kematian Firaun yang sudah sekian lama menindas dan memperhambakan mereka. Ia disebut dalam banyak ayat antaranya yang bermaksud: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Isra’il dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).” (Allah berfirman): Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telah pun menjadi daripada orang-orang yang melakukan kerosakan? (Yunus:90-91)

Tarikh kemerdekaan Bani Isra’il yang diingatkan Nabi Musa itu ialah pada 10 Muharam (Sahih al-Bukhari). Baginda Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat agar berpuasa pada 9 dan 10 Muharam bagi memberikan penghormatan kepada Nabi Musa a.s atas tarikh kemerdekaan tersebut.

Puasa hari ke-9 Muharam pula bertujuan membezakan umat Islam dengan orang Yahudi (Sahih Muslim). Daripada Abdullah Ibnu Abbas r.a menyebut ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharam). Rasulullah SAW lalu bertanya: “Apakah (kelebihan) hari ini?” Orang Yahudi menjawab: “Ini adalah hari yang baik, kerana inilah hari Allah menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh mereka, maka Nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut”. Rasulullah SAW lalu bersabda: “Aku (orang Islam) lebih berhak untuk menghargai Musa berbanding mereka (orang Yahudi).” Maka Rasulullah berpuasa pada hari tersebut dan baginda juga menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Setelah merdeka daripada cengkaman Firaun, barulah syariat Bani Isra’il disempurnakan dengan penurunan kitab Taurat. Pendek kata, kemerdekaan ini begitu besar nikmatnya dan ia seharusnya disyukuri. Utusan Malaysia Rencana Agama  04 November 2014

Tags: merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments