mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Idola terungul umat manusia

BETAPA hebat keperibadian dan akhlak Baginda SAW. Sekiranya umat Islam memahami setiap tingkah laku Baginda SAW pasti tidak berlaku sebarang masalah untuk hidup di bumi ini. Kita lihat banyak pertelingkahan yang berlaku kerana mereka tidak mengamalkan sunah Nabi SAW secara menyeluruh dan bersepadu.

Oleh itu jika benar sayang, cinta dan rindu pada Nabi SAW, tunjukkan kasih-sayang itu dengan mengamalkan setiap apa yang disuruh Baginda SAW. Praktikkan ia demi mencapai kebahagiaan dan keredaan ALLAH.


INSAN BERJAYA

Firman ALLAH: “Sesungguhnya pada dirimu (wahai Muhammad) terdapat akhlak yang agung.” (Surah al-Qalam: 4)

Sementara itu, pembentang kertas kerja bertajuk Nabi SAW role model dalam kehidupan, Dr Zahazan Mohamed berkata, Nabi SAW adalah qudwah hasanah dan manhaj kehidupan sepanjang zaman buat seluruh umat.

Sirahnya mempunyai kepelbagaian yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian ini juga menjadi satu kemestian dan keutamaan ulama, pendakwah dan pengislah sosial. Pengajian ini menjamin mereka mampu menyampaikan syariah kepada masyarakat awam dengan pendekatan yang menarik.

“Pengajian ini juga akan membuka hati dan jiwa manusia untuk menerima pendakwah sekali gus pengislahan yang diseru oleh pengislah lebih menghampiri kejayaan dan berjaya menepati golongan sasaran. Sebagai contoh,  sirah Nabi SAW istimewa kerana ia adalah kisah keagungan seorang tokoh islah yang paling sahih.

"Nabi SAW boleh dikategorikan sebagai insan yang berjaya. Baginda SAW berjaya menjadi seorang bapa yang sayangkan keluarga. Lembutnya bicara Baginda SAW dengan anak, menantu dan cucunya. Baginda SAW mempamerkan elemen kasih sayang untuk mendekati individu yang disayangi. Nabi SAW sentiasa menghormati anaknya, Siti Fatimah. Diceritakan, apabila Fatimah datang menjenguk Baginda SAW akan memberi salam terlebih dahulu sebagai penghormatan kepada puteri kesayangannya ini.

"Ketika masyarakat Arab Quraisy bertelagah sesama mereka untuk membaik pulih Kaabah akibat dilanda banjir. Baginda SAW terpilih untuk mengadili mereka kerana Baginda SAWlah orang pertama yang memasuki Masjidilharam melalui bab al-salam.
Keperibadian yang mulia dimiliki Nabi SAW menyebabkan Baginda SAW dihormati bukan sahaja dalam kalangan orang Islam malah bukan Islam turut berbuat demikian," kata kolumnis majalah keagamaan ini.

Menurutnya, Nabi SAW menjaga perhubungan dengan bukan Islam, Baginda SAW tidak pernah menghalang sesiapa untuk bertemu dengannya walaupun pembesar kafir Quraisy. Dalam satu hadis sahih menjelaskan: "Sesungguhnya lalu di hadapan Baginda SAW jenazah, Baginda SAW bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada Baginda SAW: "Itu adalah jenazah Yahudi." Lantas Baginda SAW bersabda: "Tidakkah dia juga insan?."

Jelaslah betapa berkaliber dan profesionalnya Baginda SAW sebagai pemimpin negara, pemimpin politik (Baginda SAW menerapkan keadilan dan kebebasan bersuara), ketua tentera (bijak merancang, menyusun strategi, pelaksanaan yang cekap dan pengawalan ketat), ketua pentadbiran dengan membentuk satu sistem kewangan negara memandangkan tanpa sumber kewangan yang kukuh bagaimana sesebuah negara itu dapat mempertahankan kedudukannya?, Baginda SAW juga seorang usahawan berjaya, guru terbaik dan menggunakan strategi dakwah dalam hubungan politik.

Walaupun kita hanyalah ketua keluarga tetapi itu adalah sebuah pimpinan. Dan sebagai pemimpin sewajarnya mencontohi sikap Rasulullah SAW yang sentiasa berfikiran untuk masa hadapan.

Konvensyen yang berlangsung di Kuala Lumpur ini diadakan selama dua hari dan dihadiri kira-kira 1,000 peserta. Menampilkan panel yang hebat dengan pembentangan kertas kerja berkisar mengenai Baginda SAW benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam diri peserta. Sesungguhnya mencari ilmu dan berhabis duit kerana suatu ilmu yang bermanfaat lebih baik daripada duduk berteleku tanpa melakukan apa-apa.


Perkara yang disukai, dibenci & dibimbangi Muhammad SAW

DISUKAI NABI SAW

* "Dikasihi kepadaku berkenaan dunia kamu: Wanita, wangian dan hatiku dalam solat."
* Solat yang dicintai oleh Nabi SAW adalah yang dilakukan secara konsisten.
* Solat (sunat) seseorang di rumahnya lebih baik daripada solatnya di masjidku ini kecuali solat fardu.
* Dua rakaat Fajar lebih baik dari dunia dan isinya.
* Jika tidak sukar ke atas umatku, nescaya aku akan arahkan mereka bersiwak setiaap kali sebelum solat, melewatkan malam atau 1/2 daripada malam.

DIBENCI NABI SAW

* Ya ALLAH, jadikan kami cinta kepada iman dan hiasinya dalam hati kami dan benci kepada kekufuran serta kefasikan terhadapMu.
* Nabi menyukai sifat optimis dan yakinkan kebaikan dan membenci kepercayaan sial.
* Nabi tidak menyukai nikah secara sembunyi sehinggalah dipukul duf dan dijemput hadirin.

DIBIMBANGI NABI SAW

* Adakah kamu ingin tahu apa yang aku lebih bimbang daripada dajjal? sudah tentu! "Itulah syirik tersembunyi iaitu seorang lelaki yang solat dan mencantikkan solatnya untuk dipertontonkan manusia lain."

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA SInar Harian Rencana 14 November 2014
Tags: nabi, rasul
Subscribe

  • Hidup berpasangan beri ketenangan

    MAKHLUK Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya…

  • Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

    Nusyuz undang kemurkaan ALLAH FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah…

  • Khutbah Jumaat: Sempurnakan agamamu

    Petikan Khutbah Jumaat: 31 Mac 2017 JAKIM Sempurnakan agamamu Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah memberi penekanan pentingnya…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments