mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

‘Saya berhijrah kerana ALLAH SWT’

BENARKAH lelaki lembut tidak boleh berubah? Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan ketetapan enakmen syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam.

Mak nyah insan istimewa yang diuji ALLAH



Keputusan itu dibuat berdasarkan hujah keinginan berpakaian seperti wanita dan diiktiraf sebagai wanita dikenal pasti sebahagian masalah perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi saintifik.

Sinar Harian mendapatkan dua individu yang pernah terjerumus ke dalam dunia lelaki lembut dan memakai pakaian seperti wanita, namun, kesemua mereka berjaya berubah dan kembali ke pangkal jalan.

"Saya sangat bersyukur kerana masih diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk kembali ke pangkal jalan selepas pernah terjerumus menjadi mak nyah.” Itu luahan hati Mohd Khariri Mohamad Ramli ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Erin semasa ditemui Sinar Harian.

Dia yang kini bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Selangor berkongsi cerita sejarah hidupnya yang pernah menjadi lelaki berperwatakan wanita sehinggalah tersedar dan berjaya mengubah dirinya menjadi lelaki sejati.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, lelaki berumur 37 tahun itu berkata, dia mengalami kekeliruan mengenai nalurinya sebagai lelaki sejak berumur lima tahun. Dia yang membesar di sebuah perkampungan di Perak, menyedari tertarik kepada rakan-rakan lelaki yang menjadi teman sepermainannya. "Namun, saya pendamkan perasaan itu,” katanya.

Ketika zaman persekolahan, Mohd Khariri masih menyembunyikan naluri itu hingga tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Zaman kelirunya  bermula ketika bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Ipoh.

“Kawan-kawan sekerja di sana sering membuat tohmahan kepada saya mengatakan saya sering melakukan maksiat di dalam sekolah,” katanya. Selain itu, dia juga sering dipandang serong jiran sekampung.

“Keluarga saya sangat kecewa dan ibu saya sering menangis mendengar kesemua tuduhan ini. Tidak sanggup melihat ibu sering berlinangan air mata, saya mengambil keputusan untuk melarikan diri dari kampung,” katanya lantas menitiskan air mata.

Akibat tiada wang, dia terpaksa melakukan perkara kurang sihat demi sesuap nasi.

“Saya masih ingat mendapat wang sebanyak RM30 untuk perkhidmatan saya. Apabila saya dapat wang tersebut, saya terus pergi ke restoran untuk membeli makanan dan semasa makan, saya menangis kerana memikirkan cara saya yang salah untuk mendapatkan wang,” katanya mengaku, untuk cantik, dia menghabiskan ribuan ringgit ambil suntikan serta pil.


Mak nyah insan istimewa yang diuji ALLAH

Siapa sangka, selepas lebih kurang 20 tahun bergelumang dengan maksiat, titik perubahan dalam diri Mohd Khariri berlaku setelah menerima ujian ALLAH SWT.

“Suatu hari, saya dibelasah teman lelaki saya, gara-gara tidak beri dia wang yang diminta. Akibatnya, saya patah tulang hidung dan mengalami kecederaan serius dan saya demam selama sebulan."

Lebih perit, darah keluar memancut dari alat sulitnya. Namun, beberapa doktor yang memeriksanya berkata dia sihat dan tidak menghidap apa-apa penyakit.

Akhirnya, dia mengambil keputusan mencari pengamal perubatan Islam mengubati sakitnya. “Seorang daripada mereka minta saya beribadat kepada ALLAH SWT,” katanya.

Mendengar nasihat itu, dia nekad untuk berubah dan meninggalkan dunia maksiat untuk selama-lamanya. Dengan kekuatan diberikan oleh-Nya, akhirnya, Mohd Khariri kembali ke pangkal jalan.

“Bukan mudah untuk saya berubah. Namun dengan doa serta sokongan keluarga, alhamdulillah, saya berjaya berubah,” katanya.

Mohd Khariri berkata, seseorang lelaki boleh dielakkan daripada menjadi mak nyah melalui sokongan dan bantuan ibu bapa mendidik menggunakan cara yang betul.

Mohd Khariri turut menubuhkan Persatuan Kebajikan Darul Modahish sejak dua tahun lalu bagi membantu remaja lelaki menjadi mak nyah.

"Saya sering bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (Jakim) membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Mohd Khariri juga kecewa apabila Mahkamah Rayuan mengisytiharkan lelaki Islam yang berpakaian seperti wanita bukan jenayah. Katanya, semua manusia termasuk mak nyah boleh berubah jika mereka memiliki azam yang kuat.

"Mak nyah adalah insan istimewa yang diuji ALLAH SWT untuk melihat keimanan dan ketaatan mereka kepada-Nya. Saya boleh katakan, mak nyah dan pondan dianugerahkan kelebihan istimewa  berbanding lelaki serta wanita dan seharusnya, mereka perlu menggunakan kelebihan itu kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Tergoda ajakan kawan lebih cantik dari wanita

KALAU difikirkan semula, sedih mengenang diri saya, seorang lelaki bernama Zainal, antara orang yang pernah tersasar dari iman. Saya antara jutaan manusia yang ALLAH SWT pilih untuk diuji sehebat ini.

Alhamdulillah...walaupun empat tahun bergelumang dosa, ALLAH SWT memberikan ruang kepada saya kembali menjalani kehidupan sebagai lelaki normal lain.

Segala-galanya bermula apabila saya melihat kawan, Azran berpakaian wanita. Gayanya sungguh cantik hingga saya tidak perasan. Apabila mendengar suara, baru saya kenal.

Saya nampak Azran selesa dan cantik. Lebih cantik daripada wanita lain. Dari rambut sehingga ke kaki, semuanya dijaga rapi. Rambut disisir cantik, kuku dibelai...membuatkan Azran sempurna di mata saya.

Azran sering mengingatkan saya perlu selalu jaga kebersihan. Saya mula menggunakan pencuci muka, kerap ke salun, memastikan tidak ada satu pun bintik jerawat di mukai.Tetapi nak berpakaian seperti Azran, belum saya mampu lakukan.

Tetapi, segalanya berubah apabila Azran minta saya gantikan tempat rakannya dalam satu pertandingan. Saya dibawa ke sebuah hotel. Tertera pada pemidang, Pertandingan Miss International Queen 2007. Terkejut juga saya. Sah! Memang sah kena pakai macam wanita dan bersolek.

Ini kerja gila...tapi Azran minta tolong...kerana kawan, saya turutkan. Itulah kali pertama saya berpakaian ala wanita. Saya hanya berdoa, jangan perkara ini sampai ke pengetahuan keluarga.

Nasib baik tidak menang...tetapi Azran kata saya nampak cantik. Tiba-tiba saya rasa selesa dan yakin dengan penampilan begitu. Dikelilingi lelaki tapi berpakaian wanita membuatkan saya tidak berasa janggal.

Bermula dari situ, saya belajar selok-belok kisah orang perempuan. Saya selesa jadi wanita jadi-jadian. Rambut saya biarkan sedikit panjang. Misai saya pastikan tidak tumbuh.

Dipaksa kahwin, masuk polis

Nama pun bukan Zainal. Rasa tak molek nama itu dengan penampilan baharu. Memilih nama Kelly...saya mula kehidupan baharu. Kemudian saya berkenalan dengan kawan-kawan baharu yang turut berkongsi minat sama. Keseronokan itu membuatkan saya berpindah dan tinggal bersama mereka.

Saya turut mengambil suntikan vitamin C untuk mencantikkan wajah. Itu tidak termasuk suntikan Botox di hidung dan bibir. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Tapi, saya kena pastikan sentiasa mengambil suntikan setiap sebulan sekali, untuk pastikan kulit dan bahagian muka cantik.

Saya juga mula mengumpul duit untuk kos pembedahan payudara dan punggung. Ketika itu, keseluruhan kos berjumlah RM12,000. Memang ada yang murah, tetapi saya mahu lakukan di Singapura berbanding Thailand.

Entah macam mana, duit yang saya kumpul masih tidak cukup. Ibu bapa sudah perasan perubahan fizikal saya, cuma mereka tidak cakap apa-apa. Kakak-kakak saya pun tegur.

Kehidupan baharu sebagai Kelly saya jalani hampir empat tahun. Bermula 2007 sehingga 2011. Empat tahun saya rasa bahagia...semua sempurna di mata dan pekerjaan juga bagus.

Awal 2012, ibu menunaikan umrah. Sekembalinya ibu dari Tanah Suci, dinyatakan hasratnya supaya saya berkahwin. Tercengang... kerana naluri saya banyak sebagai wanita. Saya juga ada teman lelaki yang saya rasa sayang dan bahagia di sampingnya walau tahu hubungan itu tidak ke mana.

Ibu bukan sahaja berhasrat, malah memaksa saya berkahwin. Seolah-olah dia tahu apa yang saya sembunyikan daripada pengetahuannya selama ini. Dipaksanya saya berpindah ke Perak. Tinggal bersamanya...

Saya akur dengan permintaan ibu untuk tinggal bersamanya di kampung. Tanpa saya sedar, ibu telah mengisi borang permohonan rekrut Polis Diraja Malaysia. Saya diterima dan mula menjalani ujian kecerdasan. Tiga bulan saya sakit, rindu kehidupan lama.

Tapi, selepas enam bulan, saya kembali normal. Nama Kelly sudah saya buang jauh-jauh dan kekal dengan Zainal. Hidayah daripada ALLAH SWT itu tiada siapa yang tahu. Saya bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan saya dua bulan sahaja lagi. Walaupun pada mulanya sukar saya lalui, namun, saya akhirnya kembali normal.

Tags: lgbt
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments