mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nafsu songsang adalah 
kosmetik syaitan

IBLIS dan syaitan adalah makhluk perosak yang merosakkan fitrah suci ciptaan Allah SWT pada manusia. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku suci (baik) kesemuanya, kemudian syaitan datang menyesatkan (merosakkan) mereka daripada agama mereka, lalu syaitan (menghasut agar mereka) mengharamkan ke atas mereka apa yang sudah Aku halalkan, juga (syaitan) menyuruh mereka agar menyekutukan-Ku tanpa hujah yang Aku tidak pernah turunkan (kepada manusia). (Sahih Muslim)



BERTATU adalah salah satu contoh godaan daripada iblis yang merugikan manusia. - Gambar hiasan

Iblis dan syaitan yang sudah menandatangani akujanji untuk menyesatkan manusia berusaha mempelbagaikan “produk terlarang” untuk manusia. Produk terlarang tajaan iblis muncul dalam berbagai bentuk seperti agama, ideologi, fahaman, hobi dan nafsu songsang LGBT. Semua produk ini termasuk dalam rangkuman percubaan mengubah ciptaan Allah SWT dalam ayat berikut:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka; Yang telah dilaknat oleh Allah dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba-Mu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. (al-Nisa’: 117-120)

Godaan mengubah ciptaan Allah SWT yang dimaksudkan oleh ayat ini sangat luas ruangnya, antaranya:

1 Menanam angan-angan pada manusia bahawa mati masih jauh dan kiamat tidak akan berlaku.

2 Mencipta ajaran baru (bidaah) dalam agama. Bagi konteks musyrikin Quraysh mereka telah menamakan beberapa haiwan seperti Bahirah, Sa’ibah, Wasilah dan Ham sebagaimana yang disebut dalam surah al-Ma’idah ayat 103.

Setelah haiwan tersebut dinamakan sedemikian, musyrikin Qurasyh akan memotong telinganya sebagai penanda pengharamannya. Sikap bodoh mereka mengharamkan haiwan yang asalnya dihalalkan Alah SWT direkodkan dalam ayat lain:

Allah berfirman yang bermaksud: Dan mereka berkata lagi: Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki, - menurut anggapan mereka dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu. Dan mereka berkata lagi: Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (al-An’am: 138-139).

3Mengubah ciptaan Allah SWT iaitu mengufuri agama-Nya, menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal (Tafsir al-Jalalayn), memakai tatu dan menyambung rambut (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Perlu dirawat

Bagi konteks zaman moden, mengubah ciptaan Allah SWT merangkumi pembedahan kosmetik (sebarang pembedahan mengubah bahagian tubuh yang langsung tiada kecacatan demi kecantikan), menukar jantina (tanpa sebab diharuskan syarak pada sesetengah kes khunsa) dan melayan nafsu buas LGBT yang berlawanan dengan fitrah berpasangan ciptaan Allah SWT. Dengan kata lainnya, lelaki atau wanita yang bercinta sesama jenis dalam gejala gay serta lesbian sebenarnya sudah termakan tipuan cinta songsang oleh syaitan.

Walau bagaimanapun, anggota masyarakat dan pendakwah tidak seharusnya menghukum mereka seperti penjenayah, sebaliknya mereka perlu dilihat sebagai “pesakit rohani dan fizikal” yang perlu dirawat dengan ilmu dan kasih sayang (rujuk al-Nahl: 125).

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora? Pintu taubat serta jalan menjadi “normal” sesuai dengan ciptaan Allah SWT untuk mereka sentiasa terbuka luas sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Tags: nafsu, syaitan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments